IPR anjur bengkel Penulisan Skrip Drama Kanak-Kanak

MOHD NAZRIN AHMAD

DALAM kita meredah arus pembangunan dan menyahut cabaran dunia tanpa batasan, kita seakan lupa bahawa bidang bahasa dan sastera kian terpinggir. Kerelevan bidang sastera dalam membentuk jati diri dan menjadi wadah penyaluran maklumat ke arah pembentukkan insan yang berilmu sejajar dengan hasrat dan saranan kerajaan untuk melahirkan modal insan kurang diberi perhatian.

Bidang kesusasteran mempunyai definisi tersendiri. Menurut Sasterawan Negara, Dato’ A.Samad Said, kesusasteraan adalah laporan hidup daripada siri krisis yang dihadapi oleh manusia. Ia adalah sejarah jatuh bangun manusia, keperitan, kesukaran yang sedetik dan duka yang berpanjangan, ketawa yang pendek dan tangis yang berulang.

Tetapi, menurut Aristotle, kesusasteraan dalam erti kata sebenar merupakan pengolahan semula kehidupan realiti ke dalam bentuk kehidupan sebuah karya sastera. Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa ilmu kesusasteraan ialah memindahkan dunia realiti ke dunia baru (yang tersendiri) yang dinamakan karya dan sastera adalah peniruan daripada alam.

Sebenarnya, sastera itu bermula dari pemikiran penulis. Sebagaimana yang kita tahu, ketamadunan sesebuah tamadun (tamadun Rom, tamadun Yunani, tamadun India dan tamadun China) banyak dipengaruhi dengan bidang kesusasteraan.

Melalui bidang kesusasteraan, kita dapat mengukur ketinggian dan martabat tamadun itu sendiri dan pengaruhnya terhadap masyarakat. Dari hasil penulisan inilah, kita dapat menilai sejauh mana daya pemikiran mereka.

Ilmu penulisan kreatif ini ialah salah satu cara untuk menyebarkan ilmu. Ini kerana setiap persoalan atau perkara yang diketengahkan dalam karya mesti dipastikan betul, tepat , wajar dan rasional dalam konteks sebuah karya sastera.

Penulis itu sendiri mestilah orang yang mencintai ilmu, rajin berfikir, rajin membaca dan mampu memberi pandangan yang bernas dalam berkarya. Justeru, penulis tersebut mestilah bertanggujawab kepada karyanya dengan memaparkan sesuatu yang dapat dipertanggungjawabkan dari segi cerita,fakta dan keasliannya.

Karya yang dihasilkan bukan hanya kosong, tetapi setiap hasil yang ditulis oleh penulis tersebut merupakan ilmu dan banyak isi tersiratnya. Oleh yang demikian, karya ini akan dikritik dan dikaji oleh mereka yang berpengalaman. Hasil daripada karya tersebut, perbincangan berbentuk ilmiah diharap dapat bagi menyebarkan bidang kesusasteraan ini kepada masyarakat.

Seorang pengarang yang baik sudah tentu mempunyai bakat semula jadi yang juga baik. Di samping mempunyai minat yang tinggi meneroka ruang pemikiran sekalipun isu yang hendak dijadikan penceritaan cukup mudah isunya. Apatah lagi sekiranya seorang pengarang itu bercita-cita tinggi menjadikan penulisannya sebagai alat penyebarluas ilmu untuk dikongsi bersama-sama masyarakat.

Tentu sekali usah ini memerlukan pengarang itu sendiri harus rajin membaca dalam apa-apa jua jenis bidang ilmu pengetahuan. Namun, sekiranya semua perkara yang disebutkan tadi telah dilakukan tanpa mahu atau rajin menulis, maka tidak juga memberi erti dalam konteks menjadi pengarang yang baik. Selalunya, penulis muda atau penulis baru lebih gemar menyimpan karya mereka atas sifat rendah diri dan takut berdepan dengan kemungkinan karya ditolak atau tidak disiarkan

Persoalan yang cukup umum, apakah kita takut menghadapi sesuatu yang realiti dalam kehidupan kita? Soal karya diterima atau tidak itu bukan masalah, selagi kita mempunyai kemahuan dan hasrat untuk memjadi penulisan itu sebagai perkongsian kita dengan pembaca. Kalau tidak untuk sekali, pasti untuk usaha yang seterusnya pasti akan membuahkan hasil juga. Jadi tidak perlu takut dengan kenyataan!

Hal-hal sebeginilah yang wajar dikaitkan dengan pengarangan kita dengan kasil karya kita. Ceritalah keresahan kita seandainya itu mampu membuka ketenangan kita. Nyatakan keperitan kita seandainya itu mampu mengembalikan keselesaan kita. Konflik emosi akan dan sentiasa terjadi dalam diri kita. itu lumrah dan menjadi sebahagian daripada kudrat kehidupan kita

Justeru, kewajaran kita menulis untuk menasihat, menyampai, menegur, merayu dan sebagainya adalah bertujuan mencari nilai yang lebih baik. Bukan untuk mencemuh atau menghina. Kerana akhirnya, penulisan yang kita lakukan melalui karya yang dihasilkan adalah untuk kebaikan dan mengajak kepada hal-hal yang baik. Inilah cara dan makna untuk kita mengawal konflik emosi.

Bidang penulisan ialah satu proses memindahkan idea dari minda secara konkrit dan berstruktur ke kertas ataupun komputer. Bidang penulisan itu sendiri ialah seni dan seni itu ialah bakat. Maksudnya seseorang yang menulis sama ada genre puisi, cerpen , novel atau sebagainya mempunyai pemikiran yang sangat kreatif dan kritis.

Mereka ini dapat mengolah ayat-ayat yang indah dengan penuh makna yang tidak semua orang menpunyai bakat sebegini rupa. Penulis bebas mengunakan segala kreativitinya (imaginasi) dengan mengekploitasikan keindahan serta kehalusan bahasa untuk menyampaikan makna realiti atau kebenaran (fakta) yang terdapat dalam penulisan ini dikatakan benar atau sama dengan kehidupan seharian.

Salah satu genre yang terdapat dalam bidang sastera ini ialah drama. Baru-baru ini diadakan Bengkel Penulisan Skrip Drama Kanak-Kanak 2008 di Institut Perguruan Rajang (IPR), Bintangor anjuran Jabatan Pengajian Melayu Institut Perguruan Rajang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Bengkel ini bertujuan mendedahkan kepada bakal guru mengenai aspek-aspek penulisan skrip drama untuk membolehkan mereka mengembang dan mengasah bakat dalam bidang penulisan karya kreatif.

Dengan tema Penulisan Kreatif Menjana Minda bengkel ini dapat meransang minat bakal guru untuk menjadikan bidang kesusasteraan sebagai salah satu aspek penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok.

Selain itu, bengkel ini juga mendedahkan kepada bakal guru khususnya yang mengambil major dan minor Bahasa Melayu agar terarah untuk menjadikan drama dan lakonan sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi mewujudkan kendiri positif dalam kalangan murid-murid sekolah rendah, di samping dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi murid.

Objektif bengkel ini ialah untuk mendedahkan aspek asas penulisan skrip drama kanak-kanak kepada bakal guru. Merangsang kemahiran penulisan drama kanak-kanak serta menerapkan minat terhadap penulisan skrip drama kanak-kanak.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Institut Perguruan Rajang, Nicholas Ugul. Seramai 160 guru pelatih mengikuti bengkel tersebut. Penceramah yang diundang khas dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak iaitu Ketua Unit Pengembangan Sastera, Hazami Jahari.

Penulisan skrip drama mengutamakan binaan dialog. Dialog watak dengan sedikit penerangan untuk tujuan arahan. Dalam binaan dialog, pengertian cerita dan jalan cerita diperkembangkan iaitu dengan orientasi aksi dan rentetan cerita. Penerangan dan arahan yang terselit antara dialog berperanan menerangkan aksi atau peranan watak yang sedang berdialog.

Keseluruhan skrip yang diisi dengan dialog dan arahan dibina dengan pembahagian babak (adegan ), bahagian dan stukturnya. Pementasan drama merupakan hasil terakhir daripada karya bertulis yang berbentuk skrip. Terdapat beberapa konsep yang mesti ada dalam sesebuah drama. Drama memaparkan pertikaian atau konflik antara watak.

Drama yang baik juga memaparkan pertikaian emosi dalam watak itu sendiri. Kewajaran yang mesti ada dalam membina skrip ialah penulis perlu memahami dialog sebelum ditulis atau diujarkan. Kalau tidak, ini menyebabkan ketidakupayaan paraapelakon dalam menghayati dialog tersebut.

Dalam konsep ini, seni memainkan peranan penting. Seni yang bersifat dramtik yang mengutamakan kesan dan tekanan emosi sebagai penambat. Selain itu, seni pengucapan juga dititikberatkan. Drama akan lebih berkesan nilai sasteranya apabila diucapkan.

Dalam sesebuah drama, nilai dalam drama itu juga tidak kurang pentingnya. Nilai intelek iaitu lahir apabila melalui karya tersebut timbul kefahaman tentang hakikat persoalan dan tema drama tersebut.

Selain itu, pengalaman juga diambil kira. Ini boleh dimungkinkan dengan kias ibarat dan seperti teladan yang dicetus melalui persoalan kemanusiaan yang terungkap dan difahami olehnya serta pastikan pengalaman tersebut dapat memberi pengajaran iaitu dapat memanusiakan manusia.

(Utusan Sarawak, 1 Mei 2008)

No comments: