ASWARA tawar pengajian seni peringkat ijazah


AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ringkasnya ASWARA sebelum ini dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Akademi ini merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang seni persembahan yang didukung oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA).

Objektif akademi ini diwujudkan ialah untuk menyediakan peluang dan ruang kepada pelajar serta penggiat seni mengikuti pengajian latihan secara formal dalam bidang kesenian ke arah melahirkan karyawan dan seniman yang mantap, berilmu dan profesional.

Selain itu, lulusan ASWARA berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai acara kebudayaan dan kesenian anjuran KeKKWA di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa yang diadakan di negara ini.

ASWARA begitu menggalakkan pelajarnya berfikir secara inivatif dan kreatif dengan menjalani pengajian yang berkonsepkan 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori bagi membekalkan pengalaman dalam industri tanah air.

Untuk itu, ASWARA dibina di kawasan seluas 91,900 kaki persegi dan kos pembinaan RM50 juta. Kampus ini dilengkapi pelbagai kemudahan. Antaranya perpustakaan canggih dan moden, makmal komputer dan digital untuk kegunaan produksi dan kretiviti, teater eksperimen serta asrama.

Pun demikian kemudahan asrama adalah terhad kerana ASWARA hanya mempunyai dua blok asrama. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar tahun pertama yang menetap di luar daerah Lembah Klang sahaja.

Bagi memudahkan pengajian, akademi ini turut menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar yang berkeyalakan selain membolehkan pelajar mendapat pinjaman atau penajaan Yayasan Pelajaran Negeri, institusi kewangan di Malaysia dan lain-lain pihak swasta yang berkaitan.

Dan, baru-baru ini akademi ini mengeluarkan dan menjual Buku Panduan dan Borang Kemasukan Pelajar bagi Sesi Akademik 2008/2009 yang mengandungi maklumat tawaran bidang pengajian ke tahap Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Muzik, Teater, Tari, Penulisan Kreatif, Filem dan Video serta Seni Halus.

Pengajian peringkat diploma dan ijazah ini dijalankan secara sepenuh masa selama tiga tahun (enam semester).

Para pelajar juga diwajibkan mengambil modul Pengajian Wajib Akademi selain berpeluang untuk mengambil kursus dari program lain bagi menambah kemahiran dan membuka prospek pekerjaan yang lebih luas.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti program di ASWARA, Buku Panduan dan Borang Kemasukan bagi Sesi Akademik 2008/2009 boleh dibeli dengan menyediakan wang pos berharga RM10 (senaskhah) dan dihantar ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching.

(Utusan Sarawak, 17 April 2008)

No comments: