Festival tari di UiTM Sarawak

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU), Jabatan kebudayaan dan Perpaduan Negara Sarawak, Yayasan Sarawak serta badan swasta seperti Sarawak Shell dan Celcom (M) Berhad akan menganjurkan Festival Tari Universiti-universiti Borneo Kedua.

Festival yang akan diadakan di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak bermula 27 hingga 28 Ogos ini melibatkan enam institusi pengajian tinggi di Kepulauan Borneo.

Lapan universiti telah mengesahkan penyertaan ke festival dua tahun sekali itu iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah, Universiti Putra Malaysai Bintulu, Universitas Tanjung Pura Pontianak, Universitas Mulawarman Samarind, Universiti Tun Abdul Razak dan UiTM Sarawak.

Pihak penganjur menjangkakan sebanyak 10 universiti akan menyertai festival itu yang turut menjemput penyertaan daripada Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Curtin, Universiti Teknologi Swinburn, Universitas Lambung Mangkurat Banjarmasin dan Universitas Palangkaraya di Kalimantan.

Untuk rekod, Universitas Tanjung Pura telah menjuarai festival tersebut pada 2006 seterusnya memenangi Piala Ketua Menteri Sarawak.

Majlis penutupan dijangka oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud. Sementara majlis pembukaan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Dato Sri William Mawan Ikom.

Tujuan penganjuran festival itu ialah memberi peluang kepada penggerak seni budaya di universiti di Kepulauan Borneo bargabung, bertukar pendapat, berkreatif dan seterusnya mengembang seni budaya bangsa agar ia terus kekal serta diminai oleh generasi akan datang.

Seterusnya, dapat menggalakkan mahasiswa bergiat dalam kegiatan sihat melalui aktiviti kebudayaan dan menjadi model kepada belia di luar. Di samping itu, mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian dari masyarakat berbilang kaum.

Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dan kerjasama serta perpaduan kaum melalui kebudayaan, membantu kerajaan dakam usaha mengembangkan kebudayaan, kesenian dan warisan bangsa dan menggalakkan kerjasam di antara universiti di Borneo.

Pertandingan tersebut melibatkan dua kategori iaitu tarian asli tradisional dan tarian kreatif.

Kedua-dua kategori menawarkan wang tunai RM5,000 bagi johan, RM3,000 (Kedua) dan RM2,000 (ketiga). Setiap pemenang juga akan menerima piala.

Koreografer Terbaik untuk kedua-dua akan menerima RM1,000 sementara RM2,000 adalah hadiah untuk Kostum Terbaik.

Di samping pertandingan, satu bengkel tarian dan acara persembahan lagu asli dari daerah masing-masing juga akan diadakan sebagai acara saringan.

Selain itu, Seminar Seni Budaya akan diadakan pada 27 Ogos.

Utusan Sarawak, 21 Ogos 2008

No comments: