Sastera Kebangsaan Pasca PRU 12

SELEPAS sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, banyak perubahan berlaku termasuk dunia sastera. Tokoh kesusasteraan, penggiat serta peminat sastera itu sendiri dapat melihat perubahan ini dalam banyak hal. Malah, perkara tersebut turut dibincangkan pada Sembang-sembang Sastera bertajuk Sastera Kebangsaan Pasca PRU 12 sempena Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di bahagian Mukah, baru-baru ini.

Dipengerusikan oleh Abdul Rassid Subet, acara tersebut memperlihatkan suara Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang diwakili oleh Ketua Satunya, Amirudin Md Ali Hanafiah, Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera) oleh Ketua Duanya, Poul Nanggang, Badan Warisan Budaya Mukah (Warismu) oleh Ketua Duanya, Hipani Alwi dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) diwakili oleh Mohd Faizal Jamil.

Menarik tentang perbincangan tersebut apabila tokoh sastera Sarawak, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah yang hadir dan memberikan sedikit ulasan. Katanya, PRU Ke-12 telah memberikan banyak pihak dalam banyak aspek dan perkara.

“Sekarang sudah beranjak dengan jelas iaitu berpusat kepada ras kaum dan pelbagai kaum,” katanya sambil menambah, pilihan raya itu memperlihatkan bahawa media elektronik semakin penting yang menampakkan ketelusan dalam bercakap.

“Kita juga mula sedar apabila bercakap tentang globalisasi, kita perlu melihat kesan dan impak kepada sosiobudaya,” katanya.

Menyentuh tentang pengurusan sastera dan budaya, katanya, ia adalah bercakap tentang penjagaan hal-hal kebahasaan.

“Menjadi penjaga adalah rakyat. Martabat semakin rendah. Apakah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) satu-satunya tempat kita berpayung? Apakah hanya melihat satu alternatif dan tidak melihat kemungkinan?

“Adakah kita lebih banyak bercakap tentang sastera rakyat? Adakah hanya menumpukan bahan cetak? Bagaimana elektronik? Bicara karya di internet memang wajar dalam program seterusnya,” katanya.

Jelasnya, penting untuk negeri ini melihat apakah impak keadaan tersebut terutama dalam konteks penggunaan bahasa Melayu.

“Bagaimana penggunaannya untuk mengungkap keperluan rakyat? Jadikan bahasa Melayu lebih mantap sebab bahasa ini mengungkap aspirasi rakyat pelbagai kaum.

“Sebagai penulis kita tidak harus terperangkap dengan situasi ini. Kita perlu memahami secara lebih peka tentang penjaga dan penaung bahasa dan sastera,” katanya.

Sebelum itu, Poul Nanggang menjelaskan, agenda sastera seolah-oleh dipinggirkan. “Perjuangan kita belum selesai untuk mengangkasan bahasa Melayu. Agenda memperkasakan bahasa Melayu tenggelam hingga dalam kurikulum, pemilihan teks sastera masih bercelaru.”

Katanya, selain jurang penerbitan buku cukup besar, tanggungjawab mendaulatkan sastera adalah tanggungjawab semua. “Jangan pula berasa diri kita besar dan melihat orang lain kecil.”

Sebagai persediaan jelasnya, penulis harus ada asas dan persediaan dan perlu sehati dalam persatuan.

PUTERA katanya, tidak ingin menjadi raja dan tidak perlu mengatakan bahawa karya tidak layak menerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS).

“Ini tidak perlu dihebohkan. Kita perlu bersaing secara sihat. Kita jadi penulis sebab hendak menghasilkan karya. Jangan dilaga-lagakan.

“Kisah ini turut terjadi yang mengguris hati. Apa sangat hendak dikejar dalam sastera di Sarawak ini? Kita buka gelanggang. Mencabar perlu tepat pada masanya dan bandingkan dengan diri kita.”

Mohd Faizal Jamil pula menjelaskan, wujud perubahan selepas pilihan raya yang lalu yang turut memberikan impak kepada penulis.

“Pun demikian, sastera tidak akan berubah,” katanya dan menambah, Pekasa akan menjadi persatuan yang mantap seperti juga Putera yang sudah menjangkau usia 30 tahun.

Sementara itu, Hipani Alwi berkata, kemungkinan sastera akan lebih terbuka selepas PRU Ke-12, terutamanya semakin ramai penulis mengetengahkan karya dalam blog masing-masing di internet.

”Belum ada akta untuk membendung kebebasan blog. Ini membuktikan kerajaan lebih telus. Ada kebebasana kepada media yang akan menambahkan lagi khalayak sastera. Dengan adanya internet makin ramai khalayak sastera kerana golongan muda tidak dapat lari dari internet.”

Globalisasi ujarnya memberi kesan positif kepada sastera yang sekali gus menambahkan lagi kepelbagaian untuk sastera. “Kita akan mengetahui sastera luar negara seperti di Indonesia dan sebagainya. Sekali gus, menambahkan ilmu sastera kita sendiri.”

Amirudin Md Hanafiah pula mengatakan bahawa wujud keberanian selepas pilihan raya, iaitu penulis bebas bersuara. “Kita (penulis) mesti mendekati parti politik. Mereka (orang politik) mesti membantu karyawan sastera.”

Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak, 7 Ogos 2008

No comments: