40 penulis sertai bengkel YIIB, WBS



“Perkara yang paling utama ialah kita mesti banyak membaca. Bacalah apa-apa sahaja bahan bacaan yang bermanfaat untuk sendiri. Ini akan membantu kita untuk menghasilkan karya yang bermutu,” - JISO RUTAN.

LEBIH 40 penulis sekitar Kuching dan Samarahan baru-baru ini menyertai Bengkel Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) dan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Dalam tempoh tiga hari bengkel itu, peserta telah didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu ditulis, aspek tatabahasa dalam penulisan selain media yang menerima karya.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan dalam ucapan penangguhan menjelaskan, para peserta bertuah kerana dapat menyertai bengkel yang diadakan walaupun dalam kadar yang sederhana.

Apa yang penting katanya, peserta harus menggunakan peluang yang disediakan itu untuk memperoleh sebanyak mungkin ilmu dan maklumat yang amat berguna dalam proses penulisan dan penghantaran karya.

Pun demikian jelasnya, bengkel penulisan bukanlah perkara utama dalam memperoleh kejayaan dalam bidang penulisan.

“Jika berpeluang menghadiri bengkel penulisan, itu adalah kelebihan dan merupakan ilmu tambahan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu dalam semua aspek.

“Perkara yang paling utama ialah kita mesti banyak membaca. Bacalah apa-apa sahaja bahan bacaan yang bermanfaat untuk sendiri. Ini akan membantu kita untuk menghasilkan karya yang bermutu,” katanya.

Jiso mengingatkan agar peserta tidak membaca karya penulis tertentu sahaja tanpa membaca karya penulis lain.

Jelasnya, penulis yang baik adalah penulis yang membaca semua jenis karya dan tidak terikat dengan karya seorang penulis sahaja.

“Jika kita membaca karya penulis yang pelbagai, maka kita akan memperoleh ilmu dan pengalaman yang pelbagai. Sebaliknya, jika kita hanya membaca karya seorang penulis, maka karya akan meniru karya penulis itu. Ini yang kita tidak mahu.

“Sebaliknya, jika kita membaca banyak karya penulis yang lain latar belakang, maka kita akan menghasilkan karya dengan gaya yang pelbagai. Kita tidak akan meniru seseorang penulis,” jelasnya.

Tambahnya, perkara yang perlu dicari dalam pembacaan itu ialah cara ataupun kaedah yang digunakan untuk seseorang penulis menyampaikan sesuatu perkara tetapi dalam kaedah yang berbeza.

“Ini yang perlu kita cari. Bukannya membaca hanya untuk seronok-seronok. Jika kita berjaya memperoleh ilmu dan pengalaman yang pelbagai, maka kita akan mudah untuk menjadi penulis yang berkualiti, dan tidak akan meniru penulis yang sedia ada,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 31 Disember 2008

No comments: