PENULIS SEBAGAI ALAT PEMERSATU


GAMBAR HIASAN: TENGGELAM... Situasi banjir di Batang Sadong, Serian yang memaksa kereta berat seperti lori dan bas melalui air banjir sejauh satu kilometer. Manakala kenderaan ringan langsung tidak dapat melalui jalan tersebut.

“DALAM hal ini jelas kelihatan bahawa penulis memegang peranan yang sangat penting. Pengetahuannya hendaklah pelbagai, intrinsic budaya dan tamadun dan ekstrinsik budaya dan tamadun serta silang budaya dan tamadun,” kata Jais Sahok membincangkan makalahnya, Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia.

Dibentangkan pada Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008, Jais menjelaskan, penulisan karya hendaklah mengambil kira perkara tersebut, selain kritikan sastera hendaklah mengambil kira acuan tempatan, budaya dan sosio-budaya tempatan.

Menurutnya, teori barat dan teori sedia ada boleh digunakan tetapi teori diri hendaklah dicipta.

“Sudah tiba masanya penulis kritikan sastera tidak leka menggunakan teori orang lain kerana upaya cipta teori sendiri terletak di tangan sendiri. Menuding jari kepada orang lain cuma akan menyerlahkan kelemahan diri semata-mata.

“Di samping itu, penulis hendaklah memastikan dirinya orang yang berilmu dan faham akan konsep ilmu pengetahuan, yang merupakan maklumat yang informative dan akan mengubah seseorang dalam lima perspektif, iaitu perubahan kognitif, afentif, psikomot, perlakuan sosial dan kerohanian,” katanya.

Tugas utama penulis jelasnya, ialah menulis tentang suku kaumnya dalam bahasa kebangsaan yang mantap dan indah.

“Hal ini penting kerana kalau bukan dia yang menulis tentang kaumnya, dan kalau orang lain yang menulis tentangnya reliabiliti tidak tinggi kerana kebenaran data, maklumat dan pengetahuan dapat dipertikaikan, tidak sahih, tidak asli.

“Jika penulisan karya sastera tentang satu-satu suku kaum sentiasa dilakukan oleh orang lain selain kaum itu sendiri dengan kebertanggungjawaban penulis berpaksi kepada nilai sosial dan nilai keilmuan yang berpaksi pada dirinya, akan sentiasa berulanglah penulisan ‘tentang kita’ oleh penulis Barat,” katanya.

Jika itu berlaku, tambahnya, sudah menyalahi tamadun manusia kerana dalam tamadun manusia, manusia mati meninggalkan nama dan dalam tamadun ilmu, ‘nama’ itu hendaklah difaham sebagai maklumat dan ilmu yang ditinggalkan kepada generasi terkemudian.

“Ilmu yang mantap sahaja mampu menjadi alat pemersatu dalam karya sastera para penulis Malaysia. Karya sastera kita hendaklah diperkasa dengan elemen-elemen yang terkandung dalam inteligens tinggi seseorang penulis.”

Jelas Jais, perbezaan sosio-budaya etnik yang boleh memicu sosial devide dalam negara dapat diserlahkan melalui kewujudan kepelbagaian secara semula jadi, paparan dalam sastera kreatif dan upaya kepengarangan para penulis.

“…dan kemudian dihuraikan secara bijaksana dan penuh keilmuan melalui kritikan sastera yang betul pada disiplin pengkritiknya dan dilakukan melalui pelbagai kegiatan.

“Pendekatan dan teori akan membantu karya sastera yang terhasil itu dimasyarakatkan secara yang lebih intensif dengan pembacaan dan pemahaman yang bersifat pencaian ilmu. Karya-karya yang dibaca melalui niat yang baik, sudah tentu akan mencipta perubahan dalam sistem kognitif seseorang pembaca.

“Seseorang yang berubah dalam sistem kognitifnya oleh apa-apa sahaja maklumat dan ilmu pengetahuan akan berubah pada empat perspektif lain, justeru menghalakan mentaliti dan paradigmanya kepada niat untuk merealisasikan perpaduan kaum dalam negara merdeka seperti Malaysia.”

Katanya, mungkin semantik ‘pemersatu’ Cuma satu idealisme kerana identiti etnik yang perlu dibiarkan mendominasi identitinya hendak dikorbankan. Cuma ‘bersatu’ yang paling intim dengan semantik konteks ini ialah ‘hidup dalam suasana aman dan damai’, tiada perbalahan yang membawa persengketaan.

UTUSAN SARAWAK, 14 JANUARI 2009

1 comment:

Toh Chee Leong's Collections said...

Penulis turut merupakan alat pemersatu di dalam sebuah masyarakat. Jadi, peranan dan kedudukan para penulis tidak harus dilupakan oleh masyarakat hari ini.Mereka menggarap segala idea untuk bacaan orang ramai.Teruskan nilai murnimu.