Pendefinisian semula jati diri Melayu Sarawak

SAIEE Driss melalui makalah Pendefinisian Semula Jati Diri Melayu Sarawak Dalam Pembinaan Bangsa Malaysia ada mengatakan, “Mungkin ada yang sudah putus asa untuk mengupas soal jati diri dan ciri-ciri Melayu, tetapi mereka tidak boleh bosan untuk memikirkan jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan.”

Menurutnya, masalah jati diri walaupun bukan sesuatu yang mudah dan lumrah dibincangkan secara terbuka, tetapi sama sekali tidak boleh didiamkan dan diketepikan dengan harapan ia boleh lenyap begitu sahaja.

“Kalau soalan itu lenyap, istilah Melayu Sarawak tidak lagi perlu wujud dan orang Melayu Sarawak akan mengaku mereka sebagai bangsa Malaysia,” katanya membentangkan kertas kerja.

Berkata demikian pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5, Saiee menjelaskan, perlu ditinjau semula jati diri Melayu Sarawak dalam pembinaan bangsa Malaysia pada peringkat ini kerana cukup banyak perubahan demografi, sosioekonomi dan sosiopolitik telah berlaku.

“Suasana baru mengubah kedudukan elemen-elemen kaum dan ras di negara ini sehingga menuntut penentuan dan pendefinisian semula agar dapat dipastikan batas dan hak masing-masing demi mengelakkan kecelaruan tentang hak dan batas kuasa.”

Jati diri kata Saiee ialah asli, murni, tulen dan tidak bercampur – membawa maksud identiti yang memisahkan suatu peribadi dengan peribadi yang lain.

Katanya, jati diri merujuk kepada ciri-ciri sejati yang dimiliki oleh seseorang bukan sahaja yang terlibat secara lahiriah, termasuk nilai-nilai yang menjadi pegangannya.

“Dalam konteks jati diri dan ciri-ciri Melayu Sarawak wajar sekali ditakrifkan semula dalam konteks usaha pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang akan menghuni negara ini pada masa depan.

“Apakah jati diri Melayu Sarawak kini kukuh dan mantap untuk peranan pentingnya iaitu menjadi perekat utama dalam pembinaan bangsa itu?”

Saiee turut mengatakan bahawa, mungkin wajar bagi memulakan proses mencari jawapan kepada sebarang kekusutan dan kecelaruan dalam menetapkan jati diri Melayu dalam konteks pembangunan bangsa Malaysia.

Ke arah itu, Daru Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah dalam menggubalkan tata kerja untuk Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak yang diterajuinya menegaskan enam rukun kelangsungan ummah iaitu:

i. Kesehalaan Tuju
ii. Keserasian Rasa
iii. Keharmonian Suara
iv. Kesepakatan Aspirasi
v. Kesatuan Agenda
vi. Kesepaduan Tindakan

“Baginya, untuk memulihkan kesegaran dalam jati diri Melayu/Islam Sarawak dalam konteks semasa orang Melayu sendiri harus menggembleng tenaga mencari satu tujuan.

“Dengan itu mereka menserasikan perasaan dan dan citra supaya dilihat sebagai tenaga atau kekuatan.

“Dalam berhadapan dengan situasi dan cabaran yang datang mereka harus sanggup mengharmonikan suara dan tuntutan dengan mengutamakan hak ramai daripada hak perseorangan.

“Sebarang perselisihan di kalangan golongan yang memang sudah kecil itu hanya akan menjadi suara dan tuntutan serpihan kecil yang semakin tidak diambil berat,” tambahnya.

Orang Melayu menurut Saiee harus sepakat dalam aspirasi dan cita-cita dengan mengutamakan cita-cita kesleuruhan kaum mereka berbanding dengan kepentingan peribadi dan kelompok kecil.

Dengan itu, jelasnya, mereka juga harus menyusun agenda agar setiap pelaksanaan item agenda membawa kea rah kejayaan mereka seluruhnya bukan kelompok atau individu tertentu sahaja.

“Akhir sekali mereka harus melaras dan menyepadukan tindakan agar kesemua tindakan membawa semakin dekat ke destinasi dan punca kejayaan bukan yang stau menyaingi dan menggagalkan yang lain seperti kisah ketam sebakul.

“Kita yang sudah menyedari hakikat kita minoriti yang sedang sedikit kebingungan tentang jati diri sebagai salah satu kaum yang menyumbang kepada pembinaan Bangsa Malaysia harus meneliti rukun kelangsungan itu dengan serius.”

UTUSAN SARAWAK, 4 APRIL 2009

No comments: