Peradaban Melayu Sarawak

“DALAM masyarakat Melayu Sarawak, mereka merupakan sebahagian daripada rumpun Peradaban Melayu di Nusantara.” kata Suffian Mansor membentangkankan makalah berjudul Mutiara Di Tengah Samudera: Peradaban Melayu Sarawak Dalam Konteks Nusantara pada Seminar Budaya Melayu Sarawak baru-baru ini.

Mengulas lanjut judul itu katanya, terdapat beberapa pengaruh penting dalam memantapkan dan membangunkan peradaban Melayu di Sarawak.

Pertamanya ialah pengaruh daripada kegemilangan Empayar Majapahit yang membawa kepada penaklukan Borneo. Dalam karya Prapanca iaitu Negara Kertagama menyebutkan terdapat tiga nama di Borneo di bawah empayar Majapahit dianggap menyamai nama yang hampir serupa dengan nama-nama tempat di Sarawak pada hari ini.

Tempat-tempat ini ialah Sawaku, Melano dan Kalka menunjukkan bahawa telah ada permulaan peradaban manusia di SarawaK. Kemunculan penempatan ini sejajar dengan pertumbuhan politik-politik awal di alam Melayu seperti Lembah Bujang di Kedah (abad ke-4), Kuala Selinsing di Perak (abad ke-5), Kan-t'o-li di Sumatera (abad ke-5), Jambi/Melayu (abad ke-6/7), Srivijaya (abad ke-7), Surabaya dan Tuban di Jawa Timur (abad ke-11), Melaka (abad ke-15) dan Acheh (abad ke-17).

“Walaupun tidak banyak lagi diperkatakan tentang nama-nama tempat yang terdapat di Sarawak ini, namun pengaruh besar daripada Empayar Majapahit membantu melahirkan komuniti masyarakat yang mengorak langkah ke arah kemajuan.

“Kerajaan Majapahit merupakan kerajaan yang agung dan mempunyai peradaban yang tinggi. Dengan adanya pengaruh ini, maka ia secara tidak langsung menyemai peradaban dijajahannya di Sarawak,” katanya.

Jelas Suffian, walaupun tidak banyak diketahui tentang penempatan yang disebut itu, namun dalam cerita-cerita sastera masyarakat Melayu Sarawak menyatakan bahawa penempatan awal orang Melayu adalah di Kuala (Muara) Tebas, Santubong dan kadang-kala disebut di Tanjung Sipang.

Kehadiran beberapa pemimpin awal Melayu seperti Abang Adi dan Abang Kuli mempunyai kekuasaan ke atas penduduk tempatan di kawasan Sungai Sarawak.

Selepas itu, kedatangan Datu Merpati Jepang menunjukkan adanya pengaruh luar dari seberang (Jawa atau Sumatera) membantu membangunkan Peradaban Melayu di Sarawak.

“Walaupun sukar dipercayai tentang kebenaran dalam cerita-cerita sastera ini tetapi bukti-bukti arkeologi membuktikan bahawa terdapat penempatan dan pelabuhan di Santubong.

“Misalnya, dengan adanya jumpaan wang syiling China yang bertarikh 600 tahun sebelum Masihi dan 112 tahun sebelum Masihi di Santubong membuktikan adanya penempatan di Santubong.

“Manakala jumpaan serpihan tembikar China yang bertarikh 588 sebelum Masihi menunjukkan penempatan di Santubong itu berkekalan dari abad sebelum Masihi sehingga abad ke-6 Masihi.”

Bukti-bukti itu katanya, menunjukkan bahawa penempatan orang Melayu di Santubong telah berkembang sebagai salah satu pusat perdagangan di Kepulauan Melayu.

Santubong bukan sahaja sebagai pusat perdagangan tetapi juga sebagai kawasan penanaman padi huma dan perikanan.

Dari situ munculnya hubungan dua hala antara orang Melayu dan Dayak yang berdagang antara satu sama lain. Di sini, orang Melayu memperdagangkan hasil perikanan mereka dengan orang Dayak yang membawa hasil kebun seperti pisang, tebu dan ubi keladi.

Kepesatan perdagangan ini dikembangkan lagi dengan adanya pedagang China dengan penduduk Melayu di Santubong.

Sumber dari kesusasteraan Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu telah mempunyai kerajaan di Santubong – banyak menguasai bahagian pedalaman bahagian Kuching.

“Sistem cukai juga telah diperkenalkan. Manakala hubungan antara kerajaan Brunei juga dijalinkan. Sementara itu catatan daripada Gonsavo Pereira yang melawat Brunei pada 1530 menjelaskan lagi tentang kepesatan perdagangan di Sarawak yang beliau rujukkan sebagai Cerava.

“Manakala pengaruh daripada Kerajaan Brunei pula membawa kepada pemantapan Peradaban Melayu di Sarawak. Peranan orang Melayu dikembangkan bagi mentadbir wilayah-wilayah di Empayar Brunei.

“Di Sungai Sarawak misalnya, terdapat tiga ketua orang Melayu yang mempunyai kuasa untuk memerintah Sarawak, iaitu Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung. Tugas mereka ialah menjaga kebajikan penduduk dan mengutip cukai.”

UTUSAN SARAWAK, 25 APRIL 2009

No comments: