RUANG PENULIS SIMUNJAN BERKARYA

PERSATUAN Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) Simunjan ditubuhkan dengan harapan untuk mewujudkan ruang dan peluang kepada penulis di daerah berkenaan untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang penulisan pelbagai genre.

Ketua 1 Pekasa Simunjan, Kemeri Jalani menjelaskan bahawa mungkin melalui persatuan itu, mereka (masyarakat penulis) di Simunjan akan lebih nberani dan giat untuk berkarya.

“Dengan adanya persatuan ini, secara langsung menggambarkan kegiatan kesusasteraan turut menular dan berkembang di Simunjan,” katanya.

Sebelum ini jelas Kemeri, tidak ada persatuan penulis yang ditubuhkan secara rasmi, namun penggiat-penggiat sastera tetap aktif walupun bergerak sendirian.

“Sebab itu, kegiatan kesusasteraan di sini (Simunjan) seperti tidak ada,” katanya dan menambah, umumnya masyarakat penulis dan peminat sastera berminat menyertai Pekasa Simunjan.

Katanya, “Sebahagian besar mereka berharap dengan adanya Pekasa Simunjan, kegiatan kesusasteraan di sini (Simunjan) akan semakin berkembang. Mereka juga berharap persatuan ini akan memberi banyak manfaat dan ruang kepada mereka untuk berkarya dengan lebih terbuka.”

Mengenai sasaran Pekasa Simunjan, Jelas Kemeri, untuk jangka pendek, ahli jawatankuasa yang dipilih berusaha untuk memantapkan persatuan berkenaan dalam aspek dalaman (pengurusan).

“Dengan pengurusan yang sistematik, persatuan akan menjadi kuat. Untuk jangka panjang, kita berusaha untuk menambah keahlian kepada khalayak yang lebih terbuka.

“Pada masa yang sama, kita akan merancang beberapa aktiviti dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi pengurusan persatuan dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Beliau berharap dengan adanya Pekasa Simunjan, semua pengiat sastera di daerah berkenaan berganding bahu untuk menghidup dan menggiatkan lagi aktiviti kesusasteraan dan kebahasaan di Simunjan.

“Saya juga berharap setiap aktiviti yang akan diadakan mendapat sokongan padu daripada para pemimpin (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri), peminpin tempatan, masyarakat penulis, masyarakat umum dan sesiapa sahaja,” katanya.

Bagi menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh Pekasa Simunjan, Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Syukri membiayai sepenuhnya Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di daerah berkenaan baru-baru ini.

Bengkel dua hari yang dikendalikan oleh Hajah Zaharah Nawawi itu merupakan aktiviti pertama dilaksanakan oleh Pekasa Simunjan sejak ditubuhkan dua bulan lalu.

Kata Kemeri, bengkel itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada ahli tentang ilmu penulisan kreatif.

Bengkel tersebut dijalankan di bilik Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Abang Man, Simunjan. Seramai 25 peserta mengambil bahagian.

Peserta yang hadir terdiri daripada ahli Pekasa Simunjan dan individu yang berminat dari Simunjan, Samarahan dan Kuching.

Di samping ceramah, para peserta dilibatkan dengan sesi editing, mengarang dan memberikan pendapat.

“Kita berharap para peserta mampu menghasilkan karya-karya bermutu dan ilmiah,” kata Kemeri.

AJK Pekasa Simunjan

Ketua 1 : Kemeri Jalani
Setiausaha 1 : Dayang Sabrina Abang Masra
Setiausaha 2 : Hetty Afzan Fadil
Bendahari : Aminah Haji Ismail
Ahli Jawatankuasa Kerja
: Nur Rahimah
: Askaimi
: Jemali Mantali
: Sanisah Haji Bujang
: Awang Jamaludin Awang Hanafi

No comments: