DATO' A. Aziz Deraman (duduk tengah) bersama-sama isteri (dua dari kiri),
Jiso Rutan (kiri sekali),Haji Saini Lihi (dua dari kanan)
dan Dr. Awang Azman Awang Pawi (kanan sekali).
Jiso Rutan (kiri sekali),Haji Saini Lihi (dua dari kanan)
dan Dr. Awang Azman Awang Pawi (kanan sekali).
RADIN AZHAR HAJI AHMAD
KETERPINGGIRAN kebudayaan dan kesusasteraan – dua khazanah yang merupakan asas pembangunan sesebuah peradaban kian terasa. Mungkin kerana kefahaman sempit konsepnya masih wujud atau sikap semula jadi manusia yang tidak mahu mengukuhkan tradisi keilmuan dan pemikiran. Setelah 50 tahun mereka, masyarakat masih menganggap kebudayaan dan kesusasteraan sinonim dengan seni.
Tokoh Budayawan, Dato' A. Aziz Deraman berkata, “Kita sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan terkikisnya kekuatan jati diri terhadap tradisi kebudayaan yang besar yang kita miliki dan betapa banyaknya pedoman pembinaan modal insan di dalam menjadi terbiar. Di Malaysia, gagasan 1Malaysia menuntut perspektif kebudayaan secara menyeluruh.”
Menurutnya, dalam kebudayaan, falsafah dan pemikiran merupakan salah satu aspek yang penting dan di situ terletaknya kedudukan bahasa dan sastera – alat pembinaan tamadun atau peradaban.
“Peradaban sesuatu bangsa tidak boleh dibina melalui bahasa asing kerana itulah jalan pilihan yang snagat lemah. Bahasa asing bukan segala-galanya untuk pengisian peradaban sendiri. Kalau bahasa lemah, segala ilmu ikut lemah dan apabila ilmu lemah, peradaban bangsa akan ikut menjadi lemah.
“Upaya perlu digerakkan ke arah pemasyarakatan dan pembudayaan yang lebih berkesan. Semua sektor, pihak dan lapisan masyarakat perlu dihayati. Kita ada agenda membina bangsa khususnya membentuk generasi muda yang mempunyai nilai-nilai budaya yang tinggi sebagai teras ke arah melahirkan modal insan cemerlang. Sekali gus peradaban bangsa,” katanya.
Dato' A. Aziz Deraman berkata demikian dalam ceramahnya berjudul Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan pada Bicara Eksekutif 2010 sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini. Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Juso Rutan, Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Warisan Negara, Sarawak, Haji Saini Lihi dan Dr. Awang Azman Awang Pawi turut hadir.
RENCANA II: Transformasi Sosio-Budaya
Katanya, transformasi sosio-budaya dalam pembangunan modal insan bukan mudah dicapai. Manusia mungkin berjaya mendapat latihan di bidang profesionalisme, ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan sebagainya tetapi faktor dalaman yang bersifat rohani akan menentukan sikap, pendangan dan perilaku seseorang.
“Nilai-nilai sosio-budaya pula bersifat abstrak meskipun mudah disebut. Walaupun demikian, kefahaman dan amalan boleh ditingkatkan melalui perancangan dan pelaksanaan program yang tersusun dengan pendekatan dan strategi yang diatur mengikut sesuatu kelompok khalayak itu.”
Di Malaysia jelasnya, kepelbagaian masyarakatnya dengan kehidupan budaya, adat resam, bahasa masing-masing boleh mengakibatkan masalah sosial di kalangan generasi muda. Jadi, pendekatan membangunkan modal insan cemerlang itu tentu menuntut pendekatanyang lebih komprehensif.
“Jika mungkin struktur politik, pengurusan tadbir urus kerajaan hendaklah kekal berjiwa rakyat dan sikap keprihatinan pula dibentuk untuk penghayatan di semua peringkat. Peradaban bangsa Malaysia akan kukuh terbina dengan jaminan dasar yang berteraskan semangat Perlembagaan, Rukun Negara, matlamat ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan perubahan strategi mengikut masa dan kelompok.
“Dalam keadaan bagaimana sekalipun, modal insan tetap bergantung kepada tahap budaya ilmu yang diperoleh. Kuasa abad ke-21 dikatakan sebagai kekuasaan terhadap kekayaan harta, kekuatan perang dan keganasan dan kuasa juga terletak kepada ilmu pengetahuan,” jelasnya.
Ujarnya, nilai dan sikap juga ditandai keprihatinan terhadap kecergasan fizikal seseorang individu misalnya kuat kerja, kerajinan, ketekunan melakukan sesuatu, kemajuan minda, intelektual, anjakan pemikiran dan nilai rohaniah terutama di kalangan generasi baru Malaysia yang terdidik di bawah sistem pendidikan.
Sikap memandang ke hadapan atau pandang keluar, kukuh bersaing, menjalin kesepakatan, mandiri, pedoman dari kejayaan orang lain, ketahanan, inisiatif dan sikap mahu melangkah ke hadapan dengan mendukung nilai tempatan berakarkan Malaysia dan pandangan luas berakalkan antarabangsa serta sedar akan cabaran global.
“Sesungguhnya peringkat perubahan budaya itu boleh kita lihat pada individu, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Di peringkat individu dengan dengan adanya program bina insan yang baik membolehkan timbulnya disiplin, setiakawan, jihad nafsu, menghargai masa, baik tingkah laku, berilmu, berdikari, sihat, mulia akhlak dan nilai-nilai kesempurnaan seorang insan.”
Keluarga pula katanya, terbentuk dari isntitusi perkahwinan dengan segala adat dan adabnya dan banyak terjadi proses pendidikan tidak rasmi dalam lingkungan komuniti. Pemasyarakatan dan pembudayaan yang lazimnya dilalui sesebuah masyarakat tetap mempengaruhi sikap dan pandangan individu.
“Jika lebih banyak ditonjolkan persamaan, maka perbezaan akan semakin terketepi. Kepelbagaian di Malaysia memerlukan kedua-dua proses tersebut dilakukan dengan bijak agar faham perkauman dapat dikikiskan.
“Kita juga memerlukan gerak inisiatif masyarakat yang berupaya membawa pembaharuan dan perubahan, antaranya inisiatif yang mengubah minda dan sikap yang sentiasa mengejar kecemerlangan, amalan etika luhur dan nilai murni, tenaga manusia yang dilengkapkan pengetahuan dan kemahiran, budaya kerja berlandaskan prestasi atau pencapaian dan kepemimpinan,” tambahnya.
RENCANA 2 - Kebudayaan dalam pembangunan sosial
KEBUDAYAAN dan kesusasteraan laksana perbendaharaan tersembunyi dalam peradaban sesuatu bangsa dan umat manusia yang mencitrakan cernaan kemajuan minda dan tahap pemikiran mereka.
“Kebudayaan dan manusia atau masyarakatnya tidak boleh dipisahkan kerana tanpa masyarakat, tidak akan ada budaya.
Di Malaysia, matlamat utama pembinaan kebudayaan kebangsaan ialah perpaduan bangsa dan negara, selain pembinaan keperibadian kebangsaan atau jati diri dan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dengan aspek kerohanian dan kemanusiaan,” kata Tokoh Budayawan, Dato' Haji A. Aziz Deraman.
Menurutnya, istilah kebudayaan kerap dikelirukan sehingga digunakan secara bertindih atau disamakan dengan kesenian. Ada ratusan takrif kebudayaan dan puluhan cabang kesenian yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan.
Kebudayaan jelasnya, membawa makna atau merujuk kepada keseluruhan cara hidup meliputi segala aspek, sama ada berbentuk kebendaan atau bukan kebendaan.
Bidang-bidangnya ialah falsafah dan pemikiran (bahasa, sastera, kepercayaan), nilai, norma (adat resam, istiadat, nilai sosio-budaya), kesenian (seni persembahan, seni tampak) dan aspek kebendaan (bangunan, rumah, istana, peralatan hidup, warisan fizikal sesuatu bangsa).
Katanya, “Kesemuanya berkait dengan manusia dan bagaimana penciptaan atau proses kreatif dan inovatifnya ditentukan akal budi (minda) dan keupayaan modal insannya. Dalam aspek kebudayaan, banyak yang boleh dipelajari dari tradisi falsafah, kesenian dan aspek-aspek kebendaanya.”
“Kerajinan, ketekunan, kesabaran dan banyak nilai terpuji terselit dalam kebudayaan selagi kita tahu memberikan makna dan menghayatinya secara mendalam bahkan boleh membawa kepada seseorang insan itu lebih cemerlang,” katanya.
Dato' A. Aziz Deraman berkata, penekanan pembangunan bukan semata-mata bermaksud pembangunan ekonomi bagi tujuan kesejahteraan hidup sebagai aspek luaran kehidupan kemanusiaan, tetapi juga penekanan membina jiwa dan semangat yang tidak kosong, termasuk semangat kenegaraan, kesatuan, patriotisme dan sebagainya.
“Pembangunan kebudayaan mengisi kekosongan jiwa dengan memenuhi keperluan pembinaan negara dengan penyuburan nilai-nilai budaya positif. Gagasan 1Malaysia tidak dapat dijayakan tanpa perkongsian nilai dan norma yang sama dalam kehidupan berbangsa seperti kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan dan sebagainya.
“Teras-teras perpaduannya terletak kepada penerimaan kepelbagaian kita, prinsip-prinsip kenegaraan yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara dan keadilan sosial,” katanya.
Pembangunan ekonomi ujarnya, perlu diimbangi dengan pembinaan nilai-nilai budaya dari sudut kemanusiaan, rohaniah dan kebangsaan kesatuan dan perpaduan dalam kehidupan sosial.
“Untuk melahirkan modal insan cemerlang, selain sistem dan dasar pendidikan moden, tujuan pendidikan sepanjang hayat, formal dan tidak formal boleh dicapai sekalipun melalui kesenian yang tercerna dalam bermacam bentuk.
“Misalnya, kesenian etnik atau klasik, kesenian rakyat atau tradisional dan kesenian sezaman termasuk seni bina, muzik, teater, seni lukis, seni kraftangan), kegiatan bahasa, sastera, bengkel keilmuan,” tambahnya.
Di Malaysia, katanya, ikatan kenegaraan dan kebangsaan dikanunkan dalam perlembagaan sebagai tonggak bangsa iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa negara, institusi kesultanan (konsep ketua negara atau ketua negeri), Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, kewarganegaraan, hak asasi, dan dasar-dasar nasional dalam sistem pendidikan, kebudayaan dan sosial.
“Sifat-sifat negara bangsa adalah berasaskan perkongsian persamaan nilai-nilai umum, bukannya perbezaan, keperibadian bangsa atau negara, kesetiaan politik, keyakinan diri, nilai-nilai akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, adil, saksama, progresif, makmur, daya saing, daya tahan, tangkas dan dinamis,” jelasnya.
Utusan Sarawak, 16 Oktober 2010
No comments:
Post a Comment