Menilik proses pengukuhan budaya

TERDAPAT tiga mekanisme utama bagaimana pemartabatan bahasa dan sastera dapat meningkatkan keutuhan budaya se-Malaysia. Pertama, menerusi kewujudan citra perpaduan yang dipupuk natijah daripada penggunaan bahasa komunikasi sepunya, iaitu bahasa Melayu. Kedua, menerusi penerapan jati diri hasil daripada penghayatan sejarah dan nilai ketatanegaraan dalam komponen sastera kebangsaan.

Dr. Ramzah Dambul pada Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 baru-baru ini menjelaskan, tatkala kedua-dua aspek tersebut berjaya diolah, maka akan terbitlah mekanisme ketiga iaitu penataran semangat patriotisme susulan daripada percikan kombinasi rasa kekitaan dan kebanggaan pada identiti asli milik mereka.

Menurutnya, konsep negara-bangsa, yang mula terbit dalam wacana siasah antarabangsa pada beberapa dasawarsa terakhir abad ke-20, merupakan satu manifestasi pengukuhan budaya bangsa sesebuah negara.

Konsep ini menggagaskan bahawa kumpulan rakyat sesebuah pemerintahan mempunyai satu bentuk ketaatan yang saling mengikat antara stau sama lain, realtif kepada identiti negara yang dihuni. Ini berbeza dengan zaman sebelum negara-bangsa, yang memperlihatkan kepelbagaian ragam ketaatan rakyat sesbeuah wilayah.

Bukti kepada kejayaan ini dapat dilihat kepada keutuhan tamadun Jepun yang terpupuk dan terpelihara sejak zaman Meiji, kegemilangan kesatuan negara China yang telah merentas pelbagai dinasti, serta keutuhan beberapa contoh kerajaan Barat yang berjaya memacu tamadun fizikalnya dengan efektif, mislanya Great Britain yang memulakan revolusi industri dan resolusi hijau pada penghujung abad ke-19.

Salah satu kunci yang menunjangi pencapaian-pencapaian tersebut ialah kerana wujudnya dasar bahasa dan sastera sepunya di peringkat nasional. Ia sekali gus boleh mencatu pemikiran dan jalur idealisme sekalian warga untuk berpusat kepada satu hala yang sama,” katanya.

Justeru jelasnya, pemartabatan satu skema bahasa dan sastera kebangsaan yang homogen boleh merintis kepada pemgukuhan pelbagai cabang dan dimensi budaya sesebuah negara, yang merangkumi aspek politik, sosioekonomi dan sosiobudaya.

Bagaimanakah pula tiga mekanisme tersebut dapat dioperasikan secara tuntas supaya dapat menatar matlamat budaya yang disasarkan? Ia dapat dilaksanakan menerusi dasar pendidikan dan iltizam politik, kerana kedua-dua aspek ini adalah teras kepada hala tuju sesebuah negara.”

Tambahnya, pendidikan berfungsi untuk melentur dan membentuk generasi muda supaya kelak membesar sebagai warga yang ampuh dengan elemen-elemen budaya seperti gagasan Kroeber dan Kluckhon.

Manakala, iltizam politik daripada penguas apemerintahan (sama da di peringkat persekutuan, negeri, mahupun unit-unit pentadbiran yang lebih kecil) akan mengolah dan memurnikan dasar-dasar penting negara.

Inilah yang bakal mencorakkan kesepaduan arah tuju kurikulum dan modus pendidikan. Dalam hal ini, pendidikan adalah faktor perantara kepada matlamat yang ingin dicapai. Manakala, ilrizam politik adalah prasyarat yang bertindak sebagai faktor pencetus yang memulakan proses dan modus operasi. Kedua-dua faktor haruslah wujud serentak, dan saling mendokong antara stau sama lain.”

Bahasa dan sastera kebangsaan dalam konteks Memartabatkan Bahasa dan Sastera Kebangsaan dalam Upaya Mempertingkat Ketahanan Budaya se-Malaysia merujuk kepada bahasa Melayu sebagai paksi.

Bahasa ini telah lama tumbuh dalam diri warga Malaysia dan subur berfungsi sebagai alat pemikiran rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini merujuk kepada elemen kedua dan ketiga bagi definisi budaya (Kroeber dan Kluckhon, 1952).

Tiga landasan lazim yang boleh mengungkap pengertian budaya oleh Kroeber dan Kluckhon ialah pertama, cita rasa yang anggun terhadap bidang kesenian halus dan kemanusiaan (juga dikenali sebagai budaya tinggi).

Kedua, satu bentuk integrasi di antara ilmu, kepercayaan dan tingkah laku yang terhasil daripada kapasiti pemikiran simbolik serta pembelajaran sosial.

Ketiga, satu aset perkongsian bersabit dengan sikap, nilai, matlamat dan amalan yang dipegang bersama oleh sesebuah institusi, organisasi atau kumpulan.

Berdasarkan rumusan dua sarjana ini, konteks budaya secara amnya merangkumi cita rasa estetik dan kemanusiaan, ilmu dan pemikiran, serta norma dan etika kehidupan. Maksudnya, budaya adalah satu dimensi yang lengkap untuk menggambarkan ketamadunan sesebuah komuniti dan negara.

Keraguan yang berbangkit – bolehkah elemen bahasa dan sastera menjadi tunjang pengangkat bagi satu aspek segadang budaya? Atau, dalam konteks spesifik, mampukah bahasa dan sastera kebangsaan mempertingkat budaya se-Malaysia?,” ujarnya.

Utusan Sarawak, 1 Januari 2011





No comments: