Bicara Orang Muda ...ruang karyawan muda luah perasaan

TIGA hari menjelang 2011, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) menganjurkan Bicara Orang Muda atau singkatannya B.O.M yang dilihat salah satu usaha 'mengebom' ataupun mungkin menghentam atau juga cara melepaskan apa-apa yang terbuku di hati terhadap dunia kesusasteraan di Bumi Kenyalang.

Setiap panel (seramai empat orang) termasuk pengerusi B.O.M menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menyurakan rasa tidak puas hati dalam banyak hal.

Yang utama, mereka berusaha menjentik hati pihak-pihak tertentu untuk lebih memberikan tumpuan dan perhatian kepada penulis muda (penulisbaru ataupun sudah berusia tetapi baharu menulis?).

Lebih-lebih lagi kalangan auidens yang hadir bukannya calang-calang orang. Kesemuanya (tanpa perlu menyatakan nama) merupakan orang yang terlibat secara langsung dalam perkembangan dan pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya di Darul Hana ini. Memang apa-apa yang diutarakan sedikit-sebanyak berupaya menjentik hati kalangan audiens.

Keseluruhannya, perkara yang banyak diketengahkan adalah tentang ruang dan peluang yang terbatas bagi kalangan penulis muda untuk berkarya. Antaranya, wujud perbezaan antara penulis Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Dengan kata lain, penulis Sarawak tidak begitu dikenali oleh tanah seberang (Semenanjung). Tidak kurang pula dikatakan penulis muda tidak diberikan peluang untuk membentangkan kertas kerja.

Melihat kenyataan ini, Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malayais (Gapena), Haji Hamzah Hamdani seolah-olah mencabar agar penulis di negeri ini (terutama) Pekasa mengadakan satu seminar di Kuala Lumpur dengan mengetengahkan penulis Sarawak sebagai panel.

“Cari dana dan buat seminar di Kuala Lumpur. Biar penulis Sarawak yang bercakap dan bercerita tentang penulisan di Sarawak. Kita akan dengar. Dengan ini, penulis di sana (Semenanjung) akan mengenali penulis di sni,” katanya.

Walaupun diluahkan semasa mengulas sekali gus menutup B.O.M, namun dengan pengalamannya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, khususnya sebagai Pengarah, maka cabaran ini harus disahut oleh penulis muda Sarawak. Ini ada benarnya kerana jika “...jika kita tidak ketengahkan diri, orang lain tidak akan kenal dengan kita.”

Mengenai B.O.M, Haji Hamzah tertarik apabila melihat orang muda bercakap yang menunjukkan bahawa mereka (penulis muda) sudah banyak peningkatan, dan mereka lebih agresif.

Katanya, “Sudah banyak peluang diberikan kepada penulis muda. Rebut peluang yang ada dan berusaha baiki karya. Ini penting.”

Mengenai adanya pilih kasih dalam pemilihan pemenang Hadiah Sastera Perdana, katanya, perkara itu tidak wujud kerana panel hanya melihar karya itu sendiri dan bukan melihat karya itu dihasilkan oleh orang Sarawak, Sabah atau Semenanjung.

Mengenai rasa tidak puas hati sesetengah pihak tentang kemenangan empat penulis Sarawak dalam Hadiah Sastera Perdana baru-baru ini, Dahiri Saini pula menjelaskan, pada 2002004/5, seramai tiga penulis Sarawak menang hadiah itu, tetapi tidak ada sesiapa yang menyatakan rasa tidak puas hati.

“Isu ini sebenarnya tidak patut timbul,” kata Dahiri sambil menjelaskan bahawa tanpa DBP, orang tidak akan kenal dirinya adalah penulis.

Dalam B.O.M, Dahiri turut menyatakan rasa kecewanya apabila melihat banyak buku yang dihasilkannya masih berlambak dan tidak terjual.

Oleh itu, dia mencadangkan agar Pekasa mewujudkan jawatankuasa khas untuk memasarkan buku penulis.

“Saya melihat Pekasa harus membeli buku yang dihasilkan oleh ahlinya dengan harga semurah mungkin untuk dijual semula. Ketika menulis, kita harus ada strategi pasaran. Ketahui apakah yang dimahukan oleh khalayak?”

Sementara itu, Mohd Ali menjelaskan, seseorang penulis harus mencipta nama dahulu (menang peraduan), baru orang lain mengenali dan seterusnya menghargai apa-apa yang dihasilkan.

“Saya sebelum ini rasa terpinggir juga. Saya terlibat dengan penulisan melalui peraduan Esei Standart Malaysia. Saya menang. Kemudian, saya menambah ilmu pengetahuan dengan mengikuti bengkel pertama saya anjuran Jabatan Kesenian Sarawak pada 2005/2006. Di situ saya jumpa SM Zakir dan Rahimidin Zahari.

“Bagi mengembangkan bakat, saya mengeluarkan wang sendiri pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) di Kuala Lumpur. Sebab itu karya saya banyak tersiar di Kuala Lumpur berbanding di Sarawak.”

Mengenai pemerkasaan bahasa, dengan nada yang tinggi dan kecewa, dia menyatakan bahawa orang yang mengajak memartabatkan bahasa Melayu tidak mencerminkan dia menggunakanm bahasa Melayu.

“Ketika program yang berkaitan bahasa Melayu, Bulan Bahasa dan sebagainya, masih ada yang menggunakan bahasa Inggeris. Jika dia juga menggunakan bahasa Inggeris, bagaimana orang lain nak ikut serta gunakan bahasa Melayu?

“Jika sektor awam tidak menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu, bagaimana nak mengajak sektor swasta guna bahasa Melayu? Bagi saya, sebagai badan bertanggungajawab dalam bahasa Melayu, haramkan penggunaan bahasa Melayud di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini kerana kedudukannya sebagai pejuang bahasa.”

Sementara itu, Rosani Hiplee pula diajukan beberapa persoalan tentang pencarian seseorang penulis – adakah mencari kepuasan, sanjungan atau honorarium?

“Kadang-kadang persoalan mempunyai jawapan sendiri. Jawapan untuk soalan ini terlalu umum. Terserah kepada individu penulis itu sendiri,” katanya.

Mengenai proses penulisan katanya, “Penulisan merupakan proses menulis resah yang membahagiakan. Sebelum menulis, saya berasa resah selagi tidak meluahkan apa-apa yang dirasakan.”

Penulis di negara ini katanya, sukar untuk mendapat tempat khusus berbanding di negara lain. Di sana (negara luar), filem mengambil beberapa puisi sebagai petikan.

“Berdasar pengalaman, kebarangkalian pelajar (anak muda) tidak minat puisi mungkin ada sebab dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, guru cuma mengajar. Guru ini (sastera) bukan dari aliran sastera.”

Menurutnya, untuk berjaya, seseorang penulis harus berpegang kepada satu genre sahaja sebelum mengembangkan bakat ke genre lain.

Jika gagal menghantar karya, seseorang harus hantar ke media lain. “Dahulu, saya cari media untuk menyalurkan karya. Saya menyertai peraduan dan menghantar karya ke Dewan Siswa. Kita mesti berani mencuba. Jangan berhenti berusaha.”

Giliran Mohd Faizal Jamil, dia banyak menyatakan bahawa sebagai kakitangan DBP, dia tetap perlu bersaing dengan penulis sedia ada yang bukan kakitangan badan berkenaan.

“Ini adalah cabaran. Saya tidak ambil kesempatan bekerja di DBP. Sepanjang berkarya, saya buat secara senyap-senyap. Sebenarnya penulis luar lebih beruntung. Karya saya perlu juga melalui tapisan sebelum diterbitkan. Saya jarang diberikan peluang untuk menunjukkan bakat.

“Walaupun demikian, sentiasa ada kakitangan DBP ytang memberikan semangat untuk menulis. Keutamanaan untuk kakitangan DBP adalah tidak benar,” katanya yang mula terlibat dalam sastera apabila diambil bekerja di DBP pada 2000 setelah tamat kontrak sebagai artis rakaman di NAR Record di Kuala Lumpur.

“Mula-mula saya ditempatkan di kedai buku DBP. Di sekeliling adalah buku. Di situ saya membaca beberapa puisi. Di situ timbul minat terhadap sastera. Saya mula menulis walaupun tidak mendapat asuhan DBP menjadi penulis.”

Dalam diam-diam dia menyertai Puisi Hari Kualiti pada 2001 di Kuala Lumpur. Mendapat tempat ketiga. Sejak itu, hampir setiap tahun menang hinggakan ada yang mengatakan dia tidak perlu lagi menyertai peraduan itu.

Faizal dalam B.O.M turut menyatakan rasa kecewa kerana penulis muda jarang diberikan ruang untuk menghasilkan kertas kerja dan seterusnya membentangkannya kepada khalayak.

Setelah kejayaan B.O.M siri pertama, Pekasa akan mengadakan kegiatan serupa pada masa akan datang. Sekali gus, memberikan lebih ruang kepada penulis muda mengetengahkan idea dan meluahkan perasaan yang terbuku demi kebaikan.

Utusan Sarawak, 22 Januari 2011

No comments: