Penulis senior, muda dituntut bekerjasama

PERSATUAN penulis yang diwujudkan di kebanyakan negeri termasuk Sarawak (beberapa persatuan penulis) akan merangka banyak program untuk ahli-ahlinya, terutama untuk melahirkan ramai kalangan penulis baru untuk bersama-sama berjuang dengan penulis sedia ada.

Pun demikian, terdapat juga persaingan dalam berpersatuan yang mungkin akan membawa kebaikan. Tidak kurang pula akan membawa kepada masalah. Akhirnya, persatuan tidak dapat bergerak untuk melaksanakan sekian banyak program ataupun aktiviti yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan.

Dalam hal demikian, seolah-olah semacam 'individu A tidak setuju dengan individu B'. Jika sikap sedemikian masih dikekalkan dan masih juga mengatakan mewujudkan persaingan, maka ia hanya memusnahkan sastera Sarawak itu sendiri. Juga persatuan penulis.

Kita tidak mungkin mahu perkara yang sama berulang iaitu tidak ada persatuan yang mewakili keseluruhan Sarawak. Kita bertuah kerana mempunyai Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) di bahagian utara negeri ini, dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) di bahagian selatan.

Lebih menarik, kedua-dua persatuan ini turut berdaftar sebagai ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Bermakna, penulis dari negeri ini tidak ketinggalan dalam arena kesusasteraan dan kebahasaan kebangsaan.

Jika pergolakan berlaku, kita tidak mahu akan membawa masalah kepada persatuan penulis. Bayangkan bagaimana keadaan penulis di selatan Sarawak apabila tidak ada persatuan penulis yang mewakili mereka.

Dahulu, sudah berapa lama bahagian Kuching tidak mempunyai persatuan penulis. Kemudian kewujudan Pekasa telah menampung kekosongan tersebut yang akhirnya kini bakal berusia lima tahun. Walaupun masih mudah, tetapi sudah cukup berpengalaman untuk berjuang dalam dunia sastera dan bahasa.

Apa yang kita tidak mahu ialah masalah yang mungkin timbul hanya akan menyebabkan masalah kepada persatuan. Dulu kita ada macam-macam persatuan. Antaranya Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS), PEBAS, AKSARA dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama persatuan), tetapi kewujudannya tidak kekal hingga ke hari ini.

Lantas, siapa yang akan mewakili penulis sedia ada di peringkat nasional. Sebab itu pernah dikatakan bahawa penulis kita di Sarawak ini sukar untuk menembusi medan sastera nasional. Alasannya, ialah kita tidak mempunyai jaringan yang rapat. Jikapun mempunyai jaringan mungkin ia sekadar bersifat individu. Bukan berpersatuan.

Kini, semuanya sudah berubah. Melalui persatuan penulis ramai kalangan penulis kita sudah dikenali di arena kebangsaan. Satu kebanggaan kepada negeri ini. Telah muncul Abizai Abi yang memenangi hadiah sastera di peringkat nasional, juga Poul Nanggang, Jaya Ramba (sekadar menyebut beberapa nama) yang telah memeriahkan sastera Sarawak dan nasional.

Itu di peringlkat PUTERA. Di peringkat Pekasa pula, kita ada Ja'afar Haji Hamdan, Pharo Abdul Hakim, Haji Taufik Firdaus, Dahiuri Saini dan Mohd Faizal Jamil (sekadar menyatakan beberapa nama). Semuanya sudah menempa nama di arena sastera kebangsaan.

Wujudnya persatuan penulis sebenarnya memberikan sinar untuk melahirkan lebih ramai penulis. Tetapi bukan untuk mewujudkan persaingan.

Atas sebab ini, penulis ingin menegaskan bahawa sastera Sarawak akan maju jika setiap penulis mengenepikan sikap tidak senang antara satu sama lain.

Bekerjasama adalah jalan terbaik. Tidak kira penulis itu senior ataupun muda. Mereka saling memerlukan. Sastera Sarawak akan malap dan musnah juga oleh penulis itu sendiri jika beranggapan orang lain adalah pesaing tidak sihat baginya.

Oleh itu, apa yang harus dilakukan sekarang? Mewujukan kerjasama sesama penulsi dan badan penulis atau tidak?

Sastera bina tamadun hebat

NILAI-NILAI luhur seperti kesopanan, kesusilaan, kejujuran, kebertanggungjawaban dan kekeluargaan yang terpancar daripada hasil karya sastera bermutu tinggi akan membentuk pemikiran, nilai dan budaya masyarakat maju yang seimbang.

Menegaskan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18 baru-baru ini, menyatakan bahawa para karyawan sastera menggalas amanah untuk menyuburkan nilai-nilai luhur yang menjadi tunjang dan sumber kekuatan masyarakat sejak zaman-berzaman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat maju perlu mempunyai jati diri dan ketahanan rohani sebagai sumber kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran getir dalam mendepani era revolusi maklumat yang membawa perubahan kepada pemikiran, nilai, budaya dan landskap sosial masyarakat pasca industri.

"Tidak ada gunanya kita berjaya melahirkan masyarakat yang maju dari segi kebendaan sedangkan jiwa, perasaan dan impian anggota masyarakat lompong serta tidak berdaya, daif nilai kemanusiaan dan miskin kasih sayang terhadap sesama insan dan alam semesta.

“Dalam arus globalisasi sekarang, negara berhadapan dengan hakikat bahawa sempadan nilai dan budaya makin kurang signifikan dalam mentakrif jatidiri dan menjana kekuatan jiwa sesuatu bangsa,” katanya.

Mengulas perkara ini, Poul Nanggang menyatakan bahawa jika mahu membina sebuah tamadun bangsa yang hebat, sastera merupakan antara ilmu yang harus diberikan ruang dan tempat ke arah itu.

“Kita jangan asyik mahu bercakap sahaja, tetapi tidak melaksanakan apa-apa yang diucapkan bagiakan aksara-aksara itu mempunyai roh.

“Kita amat berbangga dengan apa yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa karyawan sastera galas amanah menyuburkan nilai-nilai luhur. Harapan kita bukanlah retorik semata-mata tetapi wawasan yang memajukan bangsa,” katanya.

Dalam hal yang lain katanya, contohnya dalam pemilihan teks Komsas dan sastera Melayu mestilah terpilih daripada karya-karya yang dinobatkan ini.

“Lantaran inilah karya yang dianggap hebat (pemenang Hadiah Sastera Perdana). Kenapakah harus diketepikan? Kalau bukan semua, pilih mana-mana yang terbaik.

Baginya, tidak guna mengiktiraf karya-karya ini kalau langsung tidak dimanfaatkan. Inilah tanggungjawab meletakkan karya yang terbaik untuk dijadikan ruang perbincangan dalam kalangan generasi muda agar mereka teruja dan terasa keindahan sastera bangsa yang agung ini.

“Semua kita mahukan suatu tindakan yang bermakna bukan sekadar duplikasi kata-kata yang hambar atau sekadar mahu mengangkat jiwa pengarang kita, hasilnya masih tidak ke mana.

“Kita harus perkasakan sastera kita menjulang angkasa raya sebagai sebuah khazanah yang tidak akan kering dek panas atau hancur dek hujan ribut melanda.”

Sementara itu, Ja'afar Hamdan berkata, sastera sudah sekian lama berperanan sebagai wahana pemikiran.

Menurutnya, penceritaan yang menjadi karya diolah melalui rakaman realiti dan imaginasi.

“Tentu sahaja proses "sebab-akibat" dalam pengkaryaan akan menonjolkan nilai baik dan buruk sebagai pilihan. Pasti yang baik akan menjadi cukup dominan untuk diketengahkan dan yang buruk wajar dikalahkan.”

Namun katanya, perkembangan semasa memperlihatkan terlalu banyak karya yang lebih mengutamakan cinta asyik berdasarkan permintaan massa.

Justeru ada menimbulkan pembahagian yang jelas antara sastera berat dan sastera ringan. Sudah tentu, sastera ringan lebih berjaya dari segi jualan dan kepopularan berbanding dengan sastera berat.

“Maka, perkembangan sastera mutakhir bukan lagi terpikul oleh karyawan tetapi juga oleh pembaca yang harus lebih bijak memilih dan menentukan bahan bacaan yang lebih tepat dan berilmu.”

Seterusnya, Toh Chee Leong menyatakan, “Memang benar apa yang telah disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang karyawan sastera menggalas amanah menyuburkan nilai-nilai luhur. Apa yang ditulis itu berfungsi untuk mengubah minda kita hasil daripada pembacaan yang luas.”

Itu semua katanya, kerana pengaruh, semangat dan nilai jati diri yang ada pada penulis itu sendiri yang berjaya menghasilkan artikel, buku dan lain-lain lagi untuk pembacaan para pembaca.

“Contoh paling jelas ialah penjawat awam. Mereka perlu mempunyai sifat-sifat dan semangat kerja yang lebih profesional lagi.

“Profesionalisme ini hanyalah dapat dibentuk melalui kempen kesedaran, juga boleh melalui buku, artikel semasa, majalah dan sebagainya untuk membentuk sebuah negara yang berprestij dalam menangani segala masalah dalam kehidupan kita seharian.”

Sebaran makalah hasil daripada para penulis tidak kira penulis yang mempunyai pengetahuan tentang ekonomi, politik, sosial, motivasi dan sebagainya berjaya untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat hari ini, tambahnya.

Pertemuan tingkat kerjasama NGO budaya


SEPERTI biasa, pada penghujung tahun Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) Sarawak akan mengadakan Pertemuan Budaya iaitu antara jabatan berkenaan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang terlibat secara langsung dalam kegiataan kebudayaan dan kesenian.

Pelbagai kegiatan diadakan pada pertemuan tersebut yang bertujuan untuk menghimpunkan kalangan budayawan negeri ini dalam satu program. Pada masa yang sama, mereka dapat bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain bagi meningkatkan lagi tahap perkembangan kebudayaan negeri ini di peringkat kebangsaan.

Diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, antara acara yang diadakan ialah persembahan nyanyian, bergendang termasuk persembahan daripada mereka yang pernah menaikkan nama Sarawak ke peringkat kebangsaan, malah antarabangsa. Memenangi pertandingan.

Ahli Parlimen P200 Batang Sadong, Hajah Nancy Shukri yang menjadi tetamu utama pada malam tersebut dalam ucapannya menjelaskan, pertemuan tersebut merupakan kegiatan yang dapat merapatkan perhubungan antara JKKN Sarawak dengan pihak NGO.

“Pada masa yang sama, pihak NGO berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat warga jabatan ini. Dengan ini, mereka akan dapat mengetahui aktivit-aktiviti yang dirancangkan pada masa akan datang.

“Saya berharap semua ahli pertubuhan budaya yang mengambil kesempatan melalui program sebegini untuk berkongsi idea dan pengalaman bagi merancang dan menetap hala tuju sama ada dari pihak ahli NGO ataupun jabatan ini untuk memperkasakan lagi kegiatan dan budaya di negeri ini pada 2010 nanti,” katanya.

Beliau amat berharap agar tokoh, pemimpin, seniman dan ahli pertubuhan budaya di negeri ini agar sentiasa memberikan sokongan dari segi idea dan kepakaran kepada jabatan berkenaan memperkembangkan kebudayaan dari negeri ini.

“Marilah kita sumbangkan hasil karya seni budaya yang berbentuk seni persembahan, produk seni kreatif dan data-data seni budaya yang bermutu dan mempunyai estetika, logika dan etika yang amat tinggi nilainya.

“Sumbangan ini perlu kita kemukakan kepada pihak jabatan. Jika karya tersebut diakui mempunyai nilai seni yang tinggi, boleh dipertonton, dipamer dan didokumentasi ke peringkat kebangsaan.”

Nancy berkeyakinan dan percaya masih banyak khazanah seni budaya, warisan tempatan yang terdapat di negeri ini masih terpendam dan belum digali dan diketengahkan.

Dengan adanya kesungguhan, komitmen dan usaha sungguh-sungguh antara NGO budaya negeri ini dan pihak JKKN Sarawak, kekayaan seni negeri ini dapat dipamer dan dipersembahkan kepada masyaraiat luar.

“Sekali gus bertujuan mempromosi dan di samping itu menambah koleksi seni budaya yang sedia ada. Saya menaruh harapan pada tahun akan datang, kegiatan seni dan budaya di negeri ini akan bertambah rancak dan mempunyai ramai pendukung dan peminatnya.

“Pada masa yang sama, hasrat dan misi jabatan untuk membudayakan masyarakat negeri tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua,” katanya.

Timbalan Pengarah JKKN Sarawak, Haji Saini Lihi turut hadir.

Sumpah Budayawan ke-30 malam esok



WARTAWAN BUDAYA

Kami, budayawan dan seniman muda sedar di Sarawak, meskipun datang dari latar belakang hidup yang berlainan, berkecimpung dalam dunia seni yang berbeza, dan mempunyai cara dan bentuk pengucapan yang berbagai-bagai bersumpah bahawa: Kami sesungguhnya mempunyai satu negara – Negara Malaysia, satu bangsa – Bangsa Malaysia, dan satu bahasa – Bahasa Malaysia.
Dan kami berikrar bahawa: Kami sesungguhnya mempunyai satu semangat, satu suara, dan satu cita-cita, iaitu, mahu memberi sumbangan dengan cara dan gaya kami yang tersendiri kepada penentuan, pembentukan, pembinaan, pengembangan, pemupukan, dan penghidupan kebudayaan nasional yang kami cintai – Kebudayaan Malaysia.

TEKS di atas merupakan teks Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak yang pernah diikrarkan 30 tahun yang lalu menjelang jam 12 tengah malam 31 Disember 1979 di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak, Kuching (kini Muzium Sarawak).

Buat kali ke-30, ikrar ini akan dilafazkan sekali lagi pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-30 Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama pada 31 Disember ini (esok).

Majlis itu merupakan satu manifestasi kerjasama di kalangan anak seni pelbagai bidang yang cuba menyuarakan fahaman budaya mereka terhadap persekitaran sosial yang dirasakan masih dibelenggu oleh sanjungan terhadap budaya penjajah.

Dengan kata lain, majlis malam itu merupakan satu pernyataan berani anak-anak muda terhadap arah tuju dan corak perjuangan mereka dalam mengisi erti kemerdekaan dan membentuk masyarakat yang mereka warisi.

Pada malam itu, anak-anak seni dari pelbagai cabang kegiatan berhimpun bersama-sama di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak dan upacara dimulakan dengan azan Maghrib diikuti bacaan al-Quran dan tahlil sebelum solat Isya.

Lepas itu, setiap kumpulan kesenian yang ahlinya hadir mengadakan persembahan masing-masing yang pastinya pelbagai dan banyak kerana antara Isya dan tengah malam ada lebih tiga jam.

Bagaimanapun disebabkan hampir kesemua seniman malam itu berpakaian beradab yakni baju kebangsaan dan baju kurung maka persembahannya amat terkawal.

Kemuncaknya ialah apabila dilafazkan ikrar menjelang jam 12 tengah malam setelah lagu Negaraku dinyanyikan bersama-sama dan di samping diadakan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang.

Ramai yang hadir ketika itu menitiskan air mata mengenang betapa anak seni tanpa banyak disokong oleh kerajaan ketika itu mampu bersatu mengadakan majlis yang dianggap besar ketika itu memandangkan kebiasaannya pada malam Tahun Baru para pembesar berhimpun di kelab dan hotel untuk menyambutnya secara barat.

Di bawah kibaran lesu bendera Jalur Gemilang anak-anak seni mengangkat tangan dan menyambut ketibaan dekad 80-an dengan satu lafaz sumpah yang menegaskan sumbangan anak seni secara tersendiri terhadap kemajuan dan pembangunan bangsa dalam konteks mereka adalah satu bangsa, bangsa Malaysia – satu bahasa – bahasa Malaysia dan satu negara – negara Malaysia.

Dengan kata lain pada saat itu, 30 tahun lalu telah diungkapkan oleh anak-anak seni Sarawak konsep atau gagasan 1Malaysia kerana sedar hanya dengan menentukan arah hala dan tujuan bersama dapat warga pelbagai kaum dan latar budaya dapat hidup bersama dalam suasana aman damai dan sejahtera sambil sama-sama mencapai tujuan dan cita-cita.

Dengan itu, setelah dihadirkan Gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak mempunyai makna tersendiri, melambangkan kematangan dan kebijakan anak muda berperanan di dalam pembangunan nusa dan bangsa.

HADIAH PENGHARGAAN PENULIS SARAWAK 2008/2009


Kategori Cerpen


i. Roslan Jomel – Perkahwinan di Hujung Runcing Bumbung
ii. Bibi Sabariah Haji Abang Awet – Dayang Esah Tandang Sari
iii. Dahiri Saini – Lelaki Lintah
iv. Poul Nanggang – Ayah Kami
v. Naziah Naziri – Cinta Maharani

Kategori Puisi

i. Zainal Abidin Suhaili – Gua Purba (Di Sini Puncak Tamadun Pernah Berdiri)
ii. Sahibul Anuar bin Asrani – Doa Pengantin Perempuan di Malam
iii. Zaini Oje – Gong dari Matenggong
iv. Hajah Latifah Haji Mohamad Shebli – Berhijrahlah
v. Zainal Jiee – Pisau Cauvinis

Kategori Esei

i. Abang Pathdeli Abang Muhi - Kota Larangan Qui Jong Chian Lai: Motif Naratif Folklor Dalam Strategi Naratif
ii. Abdul Rasid Subet - Menghayati Sebaginda Bujang dan Anak Cuik Keramat Melali Pendekatan Moral
iii. Hajijah Mainol - Menelusuri Citra Wanita Dalam Naluri Hidayah
iv. Hazami Jahari - Merentas Minda: Analisis Awal Pengkaedahan Melayu
v. Abang Haliman Abang Julai - Aspek Sosiobudaya Dalam Karya Jong Chian Lai

Peraduan Menulis Sastera Kreatif (Novel) 2009

Tempat pertama: Dahiri Saini - Loagan Bunut
Tempat kedua: Yusuf Mustanir - Semangat Tanah
Tempat ketiga: Almarjan Yusoff - Citra Puteri Kenyalang

Hadiah Penulisan danPenerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2008/2009

Kategori Cerpen

Pertama : Dayangku Umi Nadzirah Awangku Metosen (SMK Anthony, Sarikei) - Zycolypse: Di Ambang Kehancuran dalam Majalah Anthonian
Kedua: Mohd Ridwan Abdul Rahim (Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri) - One dalam Majalah Kenyalang
Ketiga: Jamri Atong (SMK Muara Tuang, Kota Samarahan) - Cerita Dari Sebuah Banglo dalam Majalah Sri Muara

Hadiah Sagu Hati

i. Siti Arifah Ismail (SMK St Joseph Miri) - Mira dalam Majalah Kenyalang
ii. Khairunnisa Tuah (Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang) - Prolog dalam Majalah Kenyalang
iii. Rhezywandha Ubong (SMK Riam Miri) - Berakhirnya Sebuah Penderitaan dalam Visi Edisi 1508
iv. Nur Ahya Athirah Abdul Razak (SMK Riam Miri) - Destinasi Impian dalam Visa Edisi 1508
vi. Asma Hanisah Mohd Shawal (SMK Agama Sibu) Kenangan Semalam dalam majalah Nurul Huda

Kategori Puisi

Pertama: Priscilla Ak Nari (SMK Saratok) - Sajak Khas Untuk Mu Cikgu dalam Majalah Suara Sebetan
Kedua: Nur Faizah Abdul Rahman (SMK Agama Sheikh Haji Othman) - Ratu Hatiku dalam Majalah Al-Misbah
Ketiga: Tan Geok Chieng (SMK Mukah) - Erti Merdeka dalam Majalah Tapow

Hadiah Sagu Hati

i. Nor Bayzura Sapee (SMK Muara Tuang) - Perjuangan Nurani dalam Majalah Sri Muara
ii. Siti Salehah Abdul Kadir (SMK Agama Sheikh Haji Othman) - Santun Bahasaku dalam Majalah Al-Misbah
iii. Sandra Udeng (SMK Saratok) - Kalimah Keramat Buat Cikgu dalam Majalah Suara Sebetan
iv. Christina Diana Darleen ak Samuni (SMK Muara Tuang, Kota Samarahan) - Kesepian dalam Majalah Sri Muara
vi. Nur Azlynda Mahmud (SMK Augustine, Betong) - Kesepian dalam Majalah Sri Muara

Kategori Esei

Pertama: Munyat Samsudin (SMK Muara Tuang, Kota Samarahan) - Sekolah Medan Terbaik Pupuk Integrasi Kaum dalam Majalah Sri Muara
Kedua: Ting Lee Chyn (SMK Bintulu) - Memartabatkan Rukun Negara Sebagai Ideologi Mengukuhkan Perpaduan Negara dalam Majalah Mansang
Ketiga: Mohamad Noor Aslan Hadi Adnan (SMK Muara Tuang, Kota Samarahan) - Pelancongan Aset Ekonomi Negara: Apa Daya Aset Malaysia dalam Majalah Sri Muara

Hadiah Sagu Hati

i. Siti Nuraishah Naser (SMK Tun Abang Haji Openg) - Gejala Sosioal Dari Perspektif Kebudayaan dalam Majalah Suara Openg
ii. Benedict Geraman (Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang) - Langkah-langkag untuk Meningkatkan Mutu Sukan Sekolah dalam Majalah Kenyalang
iii. Muna Halimah Abdul Rahman (SMK Tunku Abdul Rahman Kuching) - Peranan Malaysia Dalam Memastikan Keamanan Dunia dalam Majalah Aspirasi Star
iv. Syuhaidah Mohd Salim (SMK Tunku Abdul Rahman Kuching) - Apakah Peranan Malaysia Dalam Memastikan Keamanan Dunia dapat dicapai dalam Majalah Aspirasi Star
v. Liong May Ling (SMK Sacred Heart Sibu) - Bincangkan Punca dan langkah-langkah untuk Mengatasi Gejala Rasuah dalam Majalah The Sacred of the Heart

Hadiah Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2008/2009

Kategori Bahasa

Tempat pertama: Majalah Suara Openg (SMK Tun Abang Haji Openg)
Tempat kedua: Majalah Sri Muara (SMK Muara Tuang)
Tempat ketiga: Majalah Memori (SMK Balai Ringin)

Majalah Terbaik 2008: Majalah Suara Openg (SMK Tun Abang Haji Openg)

Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2009 (puisi)

Pertama: Mohamad Khafizul Awam Mohd Amran (SMK Bahasa Malaysia Saratok) - Makam Putih
Kedua: Nur Irfan Kalmaniyah Wira (SMK Bakong, Miri) - Perkampungan Pinggir Lembah
Ketiga: Ahmad Muizuddin Ahmad Faizal (SMK Simanggang) - Mama

Sagu hati

i. Angeline Geruda anak Esau (SMK Marudi) - Daerah Baram
ii. Siti Kalsum Tuni (SMK Tun Abang Haji Openg) - Nostalgia Semalam
iii. Aliff Farhan Madehi (Kolej DPAH Abdillah, Kuching) - Keinsafan
iv. Nurul Nadia Roslan (SMK Tun Abang Haji Openg) - Keindahan Itu Adalah
v. Connelua anak Elly (SMK Sacred Heart Sibu) - Ombak Pelabuhan
vi. Lenny Jongang (SMK Kanowit) - Watak di Panggung Sengsara
vii. Mohamad Irma Khairuddin Wira (SMK Bakong Miri) - Dia 2009
viii. Dayang Siti Aishah Abang Husaini (SMK Simanggang) - Bila Sendiri
ix. Dayang Siti Amira Abang Husaini (SMK Simanggang) - Sahabat dan Persahabatan
x. Edmen Olise (SMK Three Rivers) - Ada Apa Pada Cinta

Peraduan Pengisahan Semula Cerita Rakyat 2007/2008

Pertama: Batik Bidin @ Evelyn - Asal Usul Pokok Nipah
Kedua: Radzemah Bolhassan - Telaga Tun Bratman: Kampung Belawai
Ketiga: Agnes Sanbai ak Barat - Asal Usul Kaum Iban Pantang Mnbubuh Burung Tiung

Sagu hati

i. Widyawati mahmud - Kisah Keramat Tum Bratma
ii. Nurhafiz Morjidi - Asal-Usul Sungai Bukui
iii. Frankie Anak Latit - Bala Antu Palak
iv. Jemat Gani - Buluh Perindu
v. Nurul Hidayat Louis Abdullah - Sumpahan Kampung Sunda
vi. Ngadit Anak Sawing - Asal-usul Kaum Iban Pandai Membuat Rumah Panjang
vii .Ngadit Anak Sawing - Asal-usul Aji Bulan Baban Busuk

Sumbangan penulis cukup besar



SUMBANGAN para sasterawan dan penulis cukup besar dalam pembangunan industri kreatif di negeri dan negara ini. Sesungguhnya, banyak karya penulis dalam pelbagai genre dapat diangkat ke pentas teater, dan layar perak sebagai alternatif tambahan untuk mengetengahkan karya-karya terbaik dan berkualiti tinggi.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II dan Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Amar Awang tengah Ali Hasan berkata, karya-karya penulis yang kaya warna-warna tempatan yang bersumberkan seni bahasa, seni sastera dan seni budaya pelbagai etnik di negeri ini akan menyerlahkan keunikan, keharmonian dan ketinggian nilai hidup bermasyarakat dalam kalangan pelbagai kaum yang terdapat di Sarawak.

“Kesemua ini serasi dengan konsep Confluence of Cultures dan gagasan 1Malaysia. Penulis dan sasterawan juga berupaya menjadi ejen perubahan dengan cara merubah dan mempengaruhi pemikiran dan tanggapan rakyat terhadap apa yang diingini meneruis karya-karya yang ditulis sedemikian rupa.

“Walau bagaimanapun, saya yakin penulis dan sasterawan tidak menyalahgunakan keistimewaan mereka ini dengan menghasilkan karya-karya yang berbentuk hasutan dan berniat jahat kerana inginkan nama dan wang tanpa memikirkan baik buruk kesannya terhadap masyarakat dan negara.

“Sebaliknya, tulis dan ciptakan karya-karya yang dapat merubah pemikiran rakyat ke arah kebenaran dan tujuan yang murni. Lebih baik lagi, tulis dan ciptakan karya-karya yang dapat menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada kemajuan dan pembangunan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi ketika kerajaan hendak melonjakkan negara ke status ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Tinta Kenyalang 2009 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak baru-baru ini.

Generasi muda

Generasi muda katanya, harus merebut segala peluang yang ada semasa berada di bangku sekolah untuk mengasah bakat dan memahirkan diri dengan penulisan ini.

“Kamahiran ini akan menjadi nilai dan bonus yang sangat berguna terutama apabila mereka meninggalkan bangku sekolah atau alam persekolahan nanti.

“Penghargaan yang diterima oleh penulis merupakan penghargaan atas sumbangan masyarakat sasterawan serta penulis yang sentiasa prolifik, produktif dan prihatin untuk turut membangunkan literasi budaya dalam kalangan masyarakat kita.”

Seperti yang sedia maklum, setiap bangsa mempunyai karya agung masing-masing yang membawa tema tentang hidup manusia dan kemanusiaan.

Keistimewaan golongan penulis jelasnya, terletak pada sensitiviti dan kreativiti mereka terhadap alam, persekitaran serta nilai manusia dan kemanusiaan yang harus diterokai, difahami dan akhirnya dituangkan ke dalam karya-karya sastera yang indah, baik dan bermutu.

Di samping terus giat menulis, aspek promosi dan pemasaran karya-karya yang dihasilkan oleh para sasterawan dan penulis juga, juga harus diberi perhatian oleh pelbagai pihak.

Insentif-insentif lain, selain hadiah dan anugerah juga harus dikenal pasti untuk memberikan nilai tambah harta intelektual golongan tersebut yang memerahkan minda mereka untuk menghasilkan karya-karya yang cemerlang.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan para sasterawan dan penulis kita tidak akan dipinggirkan dalam arus perdana pembangunan di negeri kita ini.

“Ini adalah kerana kita menghargai dan mengiktiraf sumbangan signifikan golongan tersebut dalam membangunakn jasmani, rohani dan intelek masyarakat pelbagai kaum di negeri ini melalui pemikiran-pemikiran bernas dan kreatif mereka dalam karya-karya sastera mereka.”

Peranan pihak swasta

”Saya yakin pihak lain termasuk pihak swasta dapat menyumbang ke arah kemajuan dan perkembengan sastera dna penulisan ini. Sebagai contoh, mereka boleh menaja dan menganak-angkatkan kegiatan-kegiatan sastera tertentu yang dijalankan olen badan-badan atau pihak-pihak berwajib.

“Sehubungan dengan itu, saya suka mengambil kesempatan di sini agar syarikat swasta yang terdapat di negeri ini tampil ke hadapan dan membantu dalam usaha yang murni ini. Setidak-tidaknya anggaplah bantuan dan sumbangan itu sebagai tanggungjawab sosial dan sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara.”

MAJLIS TINTA KENYALANG 2009

DISEMPURNAKAN OLEH

YB DATUK AMAR HAJI AWANG TENGAH BIN ALI HASSAN
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II dan
Menteri Kemudahan Awam

di Dewan Asajaya, Hotel Grand Margherita, Kuching pada hari Rabu, 25 November 2009, jam 10.30 pagi

ATUR CARA

10.30 pagi : Ketibaan tetamu jemputan

10.45 pagi : Ketibaan Tetamu Kehormat

11.00 pagi : Bacaan Doa

: Ucapan Alu - aluan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak

: Ucapan Tetamu Kehormat

: Persembahan Lagu Puisi oleh kumpulan ‘Anak Alam’

: Penyampaian Hadiah

i.Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2008
ii.Peraduan Menulis Novel 2009
iii.Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Negeri Sarawak 2008
iv.Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2009 (Kategori Puisi)
v.Peraduan Menulis Cerita Rakyat Sarawak 2008/2009

: Penyampaian Cenderamata Kepada Tetamu Kehormat

12.00 tengah hari : Makan tengah hari dan Bersurai

KARYA PAPAR STATUS SOSIAL PENGARANG

SASTERA hadir dalam bentuk institusi dan karya. Karya pula bukan sekadar memaparkan realiti sosial tetapi, turut memancarkan status sosial pengarang atau sasterawannya, ideologi, pemikiran serta kritikannya terhadap masyarakat.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, sastera ialah medium komunikasi yang cukup berkesan untuk membina dan membangunkan minda masyarakat.

Justeru, para sasterawan dan penulis jelasnya, memainkan peranan yang cukup signifikan melalui bakat seni dan kreativiti mereka untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermanfaat kepada pembangunan rohani, emosi dan intelek masyarakat.

Kerajaan Negeri amat menyedari hakikat ini, dan melalui Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, telah dan akan terus mendukung dan menyokong pembangunan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini.

“Saya menyeru setiap anggota masyarakat, sasterawan, penulis dan karyawan seni daripada pelbagai suku kaum di negeri ini agar terus berkarya, sekali gus memanfaatkan segala peluang dan kemudahan yang disediakan demi pembangunan bidang kesusasteraan kebangsaan dan penulisan di negeri ini.

“Kerajaan akan merangka strategi terkini dalam usaha mengiktiraf golongan karyawan dan seniman di negeri ini bagi membolehkan mereka mendapat imbuhan setimpal dengan bakat masing-masing.

“Usaha tersebut merupakan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan berkenaan kepada masyarakat melalui aktiviti kesenian,” katanya berucap pada Majlis Penganugerahan Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak 2008/2009 kepada Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah baru-baru ini.

Kerangka strategi tersebut jelas Pehin Sri akan dibincangkan dengan mendalam dan mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh tiga tahun akan jika mendapat respon daripada pihak berkaitan.

“Sudah sampai masanya kita mengiktiraf sumbangan golongan seniman negeri ini. Kita tidak mahu kehadiran mereka hanya berlalu begitu sahaja sebaliknya, kita ingin melihat mereka terus berkarya.

“Golongan ini juga berhak mendapat imbuhan yang sewajarnya dan pendekatan itu akan menjadi motivsi kepada mereka untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urabanisasi, Dato Sri William Mawan Ikom menjelaskan, Anugerah Sastera Kebangsaan Sarawak merupakan program berprestij yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui KPSU, khsususnya untuk memberi pengiktirafan tertinggi di peringkat negeri kepada sasterawan yang telah memberi sumbangan yang besar dan signifikan kepada pembangunan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini.

“Kami menaruh harapan yang tinggi anugerah ini akan dapat merangsang semangat dan keinginan para sasterawan, penulis dan anggota masyarakat daripada pelbagai kaum untuk terus berkarya dan menulis dalam bahasa kebangsaan demi membina serta membangunkan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini,”

KPSU akan terus bekerjasama dengan mana-mana institusi dan organisasi dalam menganjurkan pelbagai program dan kegiatan kesusasteraan serta penulisan di negeri ini.

UTUSAN SARAWAK, 21 NOVEMBER 2009

SEJARAH PENERIMA ANUGERAH SASTERA NEGERI SARAWAK (KATEGORI UTAMA)

ALLAHYARHAM Muhammad Bujang atau nama penannya, Melati Sarawak dan Ikhlas dilahirkan pada 1915. Anak Melayu ini mendapat pendidikan awal di Government Vernacular School mulai 1925 hingga tamat Darjah 5 Madrasah Melayu (1931), Maktab perguruan Sultan Idris (1925 – 1937).
Kemudian, pernah menjawab jawatan sebagai Guru Besar di Sekolah Abg. Aing, Simanggang (1937 – 1945), pengajar di Madrasah Melayu Sarawak, Penyelia Kelas Perpaduan Rakyat (1972 – 1975). Selain itu, Muhammad Bujang juga bergiat aktif dalam pertubuhan seperti Persatuan Melayu Sarawak. Pernah menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Amanah Masjid Bahagian dan Ahli tertinggi Majlis Islam. Hadiah penghargaan yang pernah diterima ialah Hadiah Penghargaan Penulis 1982, Tokoh Guru Negeri Sarawak (1982) dan Tokoh Guru Kebangsaan (1984). Pengkaryaan Muhammad Bujang begitu menyerlah. Antara karya yang pernah dihasilkan ialah syair Mengapa, Mandi Tepung Tawar, Sedikit Pemandangan di Bandar Kuching dan Tidur dalam Warta. Cerpen seperti Si Buta dengan Si Peka, Warta Jenaka, Kalau Saya Kaya (1937) dan Salah Siapa. Rencana seperti Perubahan dan Kemajuan, Dunia dalam Huru hara, Penyakit Sarawak dan Kasihkan bangsa dan Tanah Air, Bolehkan Dunia Aman dan Cara-cara Berhuma Patut Diperbaiki (1949) tersiar dalam Warta.

MUHAMAMD RAKAWI YUSUF (1995)

ALLAHYARHAM Muhamamad Rakawi Yusuf, lebih dikenali Master Rakawi meninggal dunia 58 tahun lalu dalam usia 47 tahun. Penulis, penggerak sastera dan pemaju dunia persuratan Sarawak ini layak, wajar diberi penghargaan tinggi nilainya. Anugerah Sastera Sarawak diwujudkan satu-satunya penghargaan yang wajar menjadikan beliau penerima pertama. Beliau tidak ada lagi menerima anugerah itu. Waris masih ada. Sebagai pejuang dan penggerak dunia sastera dan persuratan yang dedikasi, pengorbanan membelanjalkan wang pencen untuk menerbitkan akhbar berbahasa Melayu pertama Sarawak bersama-sama rakannya, kemudian menerbitkan novel pertama Sarawak iaitu Melati Sarawak. Dengan berbuat demikian, Muhammad Rakawi mengorbankan warisan harta untuk keluarga. Yang ditinggalkan, khazanah sastera yang amat berguna, berharga untuk masyarakat Sarawak khasnya dan Malaysia. Novel beliau antara novel terawal Malaysia yang diterbitkan oleh beliau, tiga atau empat tahun setelah novel pertama Malaysia. Muhammad Rakawi orang biasa dan bukan golongan bangsawan, perabangan atau pemerintah/pentadbiran berjaya mencetuskan kesedaran dan membawa perubahan sosial, politik, ekonomi dan agama melalui karya dan perjuangan sasteranya. Sumbangan dalam pelbagai pergerakan dapat dilihat sebagai pemangkin/katalis perubatan dan reformasi sosial masyarakat Sarawak ketika itu.

DATU DR. ADI BADIOZAMAN TUAH (2009)

DATU Dr. Adi Badiozaman Tuah mendapat pendidikan rendah di Tatau, Sarawak. Kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri. Memperoleh ijazah Sarjana Muda dari Unversiti Malaya dan Diploma Pendidikan pada 1973 dan Sarjana Pendidikan dalam bidang Perkembangan Kurikulum pada 1979 di universiti yang sama. Mendapat ijazah Kedoktoran Pendidikan dari Universiti Bristol, UK pada 1996 dalam bidang Pengurusan Pendidikan. Sebelum menjadi Pengarah Maktab Perguruan Batu Lintang, pernag menjadi Ketua Pengarah (Hal Ehwal Murid) di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyeliaan Sekolah dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum di Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai Pendidikan Bahagian Sri Aman. Pernah menajdi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, pensyarah Bahasa dan Pengajian Melayu di Maktab Perguruan Batu Lintang, Tutor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Jawatan terakhir sebelum bersara pada Ogos 2007 ialah Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sekarang bertugas sebagai Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara buku yang dihasilkan ialah Lagu Malam (1986) dan Puisi Buat Mama (1988). Selain itu, puisi-puisi beliau termuat dalam antologi bersama seperti Sayang Sarawak (1984), Puisi-Puisi Kenyalang 1 (1984), Nyanyian Wau (1987), Randau di Pulau (1987) dan Menganyam Kedukaan (1997). Puisi beliau berjudul Salam Buat Cikgu memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak pada 1991. Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (1996) dan Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak bagi genre Skrip Drama (1997). Puisi beliau yang berjudul Pertemuan di Hyde Park memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003) kategori puisi (karya eceran).

Siapa penerima Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak?

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak akan diadakan Isnin ini? Siapakah penerima tersebut? Mungkinkah anda?