Amalan, prinsip mengurus organisasi Melayu

“SEBAGAI organisasi yang mempunyai kepentingan awam, apatah lagi jika kewujudannya boleh dikaitkan dengan etos sesuatu bangsa atau marga, sudah pastilah organisasi berkenaan tidak akan terlepas daripada pandangan optimistic dan pesimistik masyarakat,” kata Ketua Unit Pengembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Abang Patdeli Abang Muhi.

Berkata demikian membentangkan makalah berjudul Mengurus Organisasi Budaya Melayu: Amalan dan Prinsip, jelasnya, cara organisasi itu diurus juga tidak akan sunyi daripada kritikan dan teguran – semuanya atas dasar keprihatinan untuk melihat organisasi untuk terus berdaya tahan, berdaya saung dan berdaya maju.

Menurutnya, organisasi budaya sesungguhnya kini menyongsang arus cabaran yang cukup hebat – perubahan persekitaran politik, ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi, demografi dan budaya yang berlaku di dalam negara, dan di seluruh dunia, amat mempengaruhi kelangsungan dan kerelevanan sesebuah organisasi.

Untuk itu, Abang Pathdeli menyatakan cabaran yang harus dihadapi, dan ditangani oleh organisasi budaya, iaitu, pertama, kedudukan fiskal atau kewangan organisasi berkenaan.

“Mampukah organisasi itu bertahan tanpa kebergantungan kepada sumbangan dana daripada kerajaan? Berupayakah organisasi itu merangsang masyarakat untuk menjadi ahlinya, dan menggalakkan masyarakat mahupun penaungnya untuk terus menyumbangkan derma serta dana dana kepada organisasi?”

Kedua, saingan sesama organisasi – adakah mereka mampu bersaing sesama mereka, khususnya dalam memperoleh dana dan peruntukan khusus daripada pihak kerajaan? Bagaimanakah mereka akan memastikan tidak wujud konflik kepentingan dan pertindanan kegiatan antara mereka?

“Seterusnya, kesinambungan kepimpinan. Adakah pelan penggantian dirangka secara sistematik, telus dan bijaksana? Siapakah yang telah dilantik untuk menggantikan kepimpinan organisasi dalam lima, sepuluh atau 15 tahun akan dating?

“Juga keahlian. Sejauh mana usaha menarik lebih ramai anggota masyarakat yang berkenaan untuk menyertai organisasi tersebut dilaksanakan? Adakah pada masa akan datang, wujud perubahan dari segi syarat dan kelayakan untuk menjadi ahli akan lebih telus dan terbuka?”

Kelima, sejauh mana perubahan politik dan pimpinan semasa akan menyokong organisasi yang berkenaan?

“Adakah organisasi akan membiarkan wujud pergeseran politik antara organisasi dengan pihak berwajib?”

Sementara dalam aspek pengurusan, sanggupkah kepimpinan yang sedia ada mengubah pendekatan, strategi dan kaedah pengurusannya yang sudah lapuk demi mencapai segala objektif organisasi, dan memperbaiki sistem penyampaiannya serta meningkatkan imej korporatnya.

Katanya, menjalankan sesebuah organisasi budaya bukanlah kerja yang mudah; kata orang tua-tua, betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Kendatipun, sesebuah organisasi budaya dapat memperoleh faedah daripada pengaplikasian teori, prinsip dan amalan pengurusan, jelasnya.

“Lantas mampu mengorganisasikan dengan lebih baik serta efisien, akan tidak ada satu-satu elemen yang dapat menjamin kelangsungan dan kerelevanan.

“Apa-apa pun, kebijaksanaan dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa itu merupakan kunci kepada pengurusan yang lebih cekap dan cemerlang.

“Selebihnya, harus ikhlas dan jujur untuk melakukan muhasabah diri dan muhasabah organisasi.”

UTUSAN SARAWAK, 28 MAC 2009

No comments: