Bahagian Penerbitan DBP jumpa penulis

ANTARA ahli Kelab Penggiat Sastera Sarikei (Kepessa) yang hadir pada perjumpaan dengan Bahagian Penerbitan DBP.


PENERBIT pergi kepada penulis. Ini adalah antara satu usaha yang dilaksanakan oleh Bahagian Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dan DBP Cawangan Sarawak untuk memperoleh sebanyak mungkin karya untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP.

Untuk itu, rombongan ini telah mengadakan perjumpaan dengan penulis di setiap bahagian di Sarawak. Baru-baru ini, perjumpaan tersebut diadakan di Bahagian Sarikei.

Perjumpaan dengan ahli Kelab Penggiat Seni Sarikei (Kepessa) itu diadakan pada sebelah malam, yang banyak membincangkan tentang penghasilan karya yang bermutu untuk diterbitkan.

Ketua Bahagian Penerbitan DBP Kuala Lumpur, Padilah Haji Ali, Editor Dewan Siswa, Zaiton Abu Samad dan Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Dewan Abang Patdeli Abang Muhi turtu.

Turut serta ialah Editor Wadah Bahasa dan Sastera, Awang Zaidel Awang Jamil yang mewakili Ketua Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, dan pihak Dawama Sdn Bhd.

Dalam pertemuan itu, Padilah Haji Ali banyak membincangkan tentang penerbitan, yang merangkumi prosedur karya-karya yang layak untuk diterbitkan dalam majalah-majalah terbitan DBP.

Seterusnya, Zaiton Abu Samad yang juga seorang penulis menjelaskan tentang cara-cara menulis atau berkarya terutama bagi pelajar yang kemudian akan diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan sebagainya.

Abang Patdeli Abang Muhi sendiri pula memberikan penjelasan berkaitan karya-karya bermutu yang diterbitkan oleh DBP Cawangan Sarawak.

Dalam penjelasan itu, dia turut memberitahu tentang prosedur sesebuah kumpulan karya yang dihantar untuk diantologikan melalui proses penilaian dan kemudiannya diterbitkan.

Perjumpaan tersebut lebih kepada bual bicara serta soal jawab berkaitan kemusykilan berkenaan penerbitan sesebuah karya.

Diadakan secara santai namun, perjumpaan itu padat dengan perkongsian ilmu antara panel dan peserta yang hadir.

Perjumpaan seperti itu harus dilanjutkan kerana memberi banyak impak pengetahuan berkaitan penerbitan karya-karya di majalah terutama kepada para pelajar dan guru-guru yang turut hadir pada perjumpaan itu.

UTUSAN SARAWAK, 7 FEBRUARI 2009

No comments: