Indahnya kesenian Islam


INDAHNYA kesenian Islam. Tiga perkataan ini dapat penulis ungkapkan setelah menyaksikan Malam Kesenian Islam Dalam Budaya Melayu sempena Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 yang berlangsung bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam tadi.

Dewan dipenuhi hampir 500 penonton. Satu jumlah yang amat menggalakkan jika melihat kepada banyak pementasan sebelum ini yang hanya mampu mengumpul sekitar 200 penonton.

Pada masa yang sama, memberikan penjelasan bahawa kesenian Islam dalam budaya Melayu jika diadun dengan baik dan bermutu, pasti sahaja akan mampu menarik perhatian dan minat kalangan rakyat.

Menyingkap persembahan malam tadi, konsep persembahan ialah menggabungkan dua elemen iaitu local dan kedaerahan yang ada dalam kehidupan masyarakat Melayu di Bumi Kenyalang.

Sebelum pementasan lagi, Penata Konsp dan Pengarah Persembahan, Abdillah Untong ada memberitahu penulis, “Apa-apa pun bentuk, dan apa-apa pun jalannya, sumbernya tetap satu.

Katanya, “Garapan ini akan terkabung jalin dalam kronlogi yang saling tidak bertautan, namun masih diikat dengan pengabadian kepada sumber yang satu,” katanya.

Inti pati persembahan yang menjurus kepada pengabdian kepada Yang Esa hanya begitu menarik. Jalinan dua elemen (local dan kedaerahan) memang menghiburkan. Jarang benar dapat disaksikan setiap persembahan kesenian Islam mendapat tepukan gemuruh penonton.
Nyata, Malam Kesenian Islam punyai keunikan yang tersendiri. Penonton seoleh-oleh bersatu dengan persembahan. Satu perkara yang memang diutamakan ketika sesuatu persembahan pentas.

Dikira berjaya jika persembahan pentas mampu menjadikan penonton sebahagian pelakonnya. Misalnya, malam tadi, penonton bukan sahaja terhibur, malah mereka turut sama menyanyikan lagu nasyid dan turut sama mendendangkan Ratib Saman walaupun hanya duduk di kerusi penonton.

Bukan sahaja golongan dewas dan warga emas, malah anak-anak muda yang hadir turut sama menyanyikan lagu Asma al-Husna. Mereka tidak hanya mendiamkan diri. Setelah sesuatu persembahan berakhir, tepukan gemuruh tanda penghargaan.

Banyak perkara boleh diperkatakan pada malam kesenian Islam dalam budaya Melayu. Rupa-rupanya, banyak kesenian Islam yang boleh diangkat ke pentas persembahan.

Malah, penulis sendiri terpegun melihat keindahan kesenian Islam ini. Banyak yang penulis sendiri belum ketahui dan saksikan di depan mata. Jika dahulunya, hanya mendengar daripada cerita-cerita orang tua, malam tadi menyaksikan kesenian itu sendiri.

Ratib Saman misalnya. Begitu indah dialunkan. Begitu juga Lakon beradat. Pergerakan yang lembut, tertib dalam persembahan memang menarik perhatian. Satu gambaran betapa kesenian Islam walaupun lembut pergerakannya, tetapi memberi begitu banyak pengajaran kepada masyarakat.

Rugilah kepada mereka yang tidak hadir malam tadi. Bukannya mudah untuk melihat kesenian ini dipentaskan. Kebanyakan kesenian ini sudah diketahui masyarakat, terutama di kalangan generasi muda. Dengan kata mudah unuk difahami – kesenian ini kian pupus.

Penulis tetap ingat dengan kata-kata Abdillah Untong, persembahan dengan tema Mutiara Syahdu Melodi Insani itu berkonsepkan kesejagatan Islam – persembahan yang akan menazirkan dua komponen estetika – kesenian lokal dan kedaerahan.

“Kedua-dua elemen ini disulam dan dianyam dengan cabang kesenian berwajah kontemporari dan lebih terbuka luas seninya.

“Penyatuan dua komponen ini dijemalkan lewat irama dan melodi syahdu jernih mutiara insani menuju Pencipta yang menciptakan karya agung kehidupan serta alam semesta.”

Persembahan malam tadi bermula dengan paluan gendang daripada Kumpulan Gendang Nusantara – gabungan gendang, beduk, marwas, tar, gendang sunda dan disertai dengan gubahan gerak dan nyanyain selawat Nabi.

Diteruskan pula dengan paluan beduk serta dentingan piano dan tiupan flute dan kemudiannya akan menyaksikan empat penyanyi nasyid (Kumpulan Embun) bergerak ke tengah pentas dan bersatu dalam lingkaran. Mereka menyanyikan lagu Cahaya Hati - Allah Ya Nur. Paling menarik dalam persembahan ini, piano dimainkan dalam bentuk nasyid.

Kumpulan Suara Fakir yang disertai 20 kanak-kanak dan empat dewasa pula menyanyikan lagu Assalamualaikum.

Kemuculan Kumpulan Gambus Sambir menjadi tarikan – persembahan menggunakan gambus.

Mereka akan mengimbau kambali rutin ketika majlis Khatamal al-Quran. M membawa pulut kuning. Bacaan Tahtim oleh Haji Mawi daripada Suara Seni. Semuanya memang seperti ketika majlis khatam al-Quran.

Kumpulan Suara Sambir seramai 15 ahli seterusnya membuat persembahan lakon beradat yang jarang-jarang dilihat.

Seterusnya, kumpulan nasyid Sautul Amin daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik yang merupakan Johan Nasyid Sekolah Rendah Kebangsaan 2007 menyanyikan lagu nasyid. Diikuti kumpulan nasyid Suara Fakir daripada Taman Yen Yen.

Dilanjutkan lagi dengan persembahan Ratib Saman oleh Suara Seni daripada Tabuan. Persembahan ini akan dilakukan oleh warga emas. Ini kerana persembahan ini kian pupus dan tidak ramai kalangan generasi sekarang mengetahui Ratib Saman.

Turut membuat persembahan ialah kumpulan daripada Sri Aman yang akan mempersembahkan Zikir Berdah – diiringi paluan gendang.

Kumpulan Nasyid Citra daripada Sri Aman yang merupakan Johan Nasyid Kebangsaan 2008 dan Kumpulan Nasyid Istaiqaza iaitu Johan Nasyid Peringkat Negeri Kategori Tradisi turut membuat persembahan nasyid.

Pelajar Sekolah Seni membuat persembahan tarian ala-ala Arab yang menggabungkan Qasidah dan gambus. Seterusnya persembahan Kumpulan Gambus Sambir.

Paling menarik ialah persembahan oleh The Islamic Hijrah Orchestra. Kumpulan seramai 34 ahli merupakan pemuzik Melayu sekitar Sarawak yang berkemahiran dalam persembahan orkestra.

Keseluruhannya, malam kesenian Islam tidak hanya dipersembahkan sempena Seminar Budaya Melayu. Dengan kehadiran ramai penonton, dan sebagai satu usaha mengekalkan budaya Melayu, ia harus dikerapkan.

UTUSAN SARAWAK, 21 MAC 2009

1 comment:

Gmea said...

macam srunuk jugak ..
berkenaaan dgn ratib tue...
sy mmg tak tau pon amenda tue...

camana yer dia ?