SEMPENA dengan perayaan ulang tahun ke-45 Sarawak Maju dalam Malaysia, masyarakat Melayu Sarawak (MMS), seperti juga masyarakat lain di negeri ini diminta untuk bersama-sama menyumbang dalam merealisasikan semangat dan aspirasi Simposium Budaya Sarawak.
Tiga matlamat yang digariskan ialah mengupas kembali nikmat keunikan dan kekayaan budaya bersama; mengingatkan generasi muda kepentingan hidup bersama dalam suasana kepelbagaian budaya dan masyarakat; dan memperkukuhkan silaturahim, kefahaman dan toleransi pelbagai budaya.
Sehubungan itu, dicadangkan agar masyarakat Melayu Sarawak memanfaatkan kesempatan ini untuk mengenengah, menampil dan memperlihatkan betapa penting dan signifikannya sumbangan meka melalui aspek budayanya membentuk wajah dan imej Sarawak.
Penampilan ini perlu dibuat secara menyeluruh dan bersepadu, terbuka dan teratur agar dapat dikenali, difahami, dinilai dan dihayati kelainan dalam persamaan antara masyarakat Melayu Sarawak dengan masyarakat Melayu di Semenanjung, dan dengan masyarakat suku kaum dan etnik Bumiputera lain dalam rumpun Melayu di rantau ini.
Satu daripada pendekatan yang diambil untuk merealisasikan perkara ini ialah dengan mengadakan Seminar Budaya Melayu Sarawak (SBMS) Ke-5. Pelbagai aktiviti pengisiannya memungkinkan setiap aspek penting Budaya Melayu Sarawak diketahui, difahami, dihayati, diiktiraf dan dihargai.
SBMS Ke-5 bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat Melayu Sarawak dari seluruh negeri berjumpa dan menyelusuri sejarah, cabaran, menilai pencapaian dan merangka aspirasi budaya bangsanya.
Melalui kesempatan itu, mereka akan lebih memahami dan dapat menghayati, dan kemudiannya lebih bersedia untuk memaklumi, menghargai dan mengiktiraf kebermaknaan peranan dan sumbangan masyarakatnya dalam pembentukan jati diri sebuah negara bangsa yang merdeka.
Pada masa yang sama, seminar tu juga bertujuan menyediakan wadah kepada mereka untuk mempamer dan show-case pelbagai aspek budaya yang mencirikan keunikan dan kehebatan masyarakat Melayu Sarawak.
Secara khusus SBMS Ke-5 bertujuan membincang dan menilai secara kritis sejarah kemajuan dan perkembangan MMS dalam bidang-bidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosio-budaya, kesenian dan politik yang dianggap penting dalam pembentukan sejarah dan pembentukan lanskap sosio-budaya dan politik negeri Sarawak.
Selain itu, mengenalpasti dan menetapkan dengan penuh rasa yakin kebermaknaan dan kepentingan sumbangan MMS dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia amnya, dan wajah serta imej anak Sarawak khasnya; dan menampil dan mempamerkan pelbagai aspek kesenian, keadatan dan kebudayaan MMS yang unik dan bernilai budaya yang tinggi.
Dengan tema Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas, antara kegiatan seminar ialah Majlis Ilmu merangkumi forum, bengkel, sembang, ceramah, dan seminar.
Seterusnya, pameran artifak kesenian dan budaya; demonstrasi penghasilan kraftangan, hasil seni, makanan, persembahan acara kesenian dan keadatan; bazarnita menjual produk asli MMS; dan Majlis Penghargaan dan Pengiktiran Budaya.
UTUSAN SARAWAK, 14 MAC 9009
No comments:
Post a Comment