Budaya Melayu Sarawak diangkat ke pentas

JARANG benar penulis menyaksikan persembahan di pentas yang menggunakan sepenuhnya bahasa Sarawak. Jika adapun, mungkin hanya pementasan teater Kalan Tambang beberapa tahun yang lalu. Teater itu penuh dengan isu-isu berat.

Tetapi tidak jika kita berkesempatan meluangkan masa menyaksikan Malam Persembahan Puisi, Lagu Puisi dan Lagu Rakyat di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam tadi.

Dari mula persembahan lagi, penulis dapat mendengar setiap kata bahasa Melayu Sarawak dipertuturkan sepanjang persembahan. Bagi penulis, persembahan bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam itu dapat penulis samakan sebagai pementasan teater muzikal.

Alasan penulis ialah setiap kali selepas lakonan, pasti akan dilanjutkan dengan persembahan bacaan puisi, lagu puisi dan paling menarik ialah persembahan lagu-lagu rakyat. Pelbagai jenis lagu rakyat Melayu Sarawak dinyanyikan sama ada oleh orang dewasa ataupun kanak-kanak.

Sekali gus dapat mengimbau kenangan lalu ketika di zaman kanak-kanak yang hanya dihiasi dengan nyanyian lagu-lagu rakyat ketika permainan. Tahniah kepada pihak penganjur terutamanya Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) dan Majlis Islam Sarawak yang menganjurkan program itu dengan tema Mutiara Irama Serentak Rasa sempena Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5.

Menyingkap tentang persembahan tersebut, jika promosi yang dilakukan adalah secara menyeluruh, pasti kehadiran penonton melebihi jangkaan. Dengan kata lain dapat mengulangi kata-kata lama ‘pecah panggung’. Pun demikian, kehadiran penonton pada malam tadi begitu menggalakkan.

Jikapun tidak pecah panggung, namun kehadiran mereka berjaya memeriahkan lagi persembahan. Dengan demikian, dapat pulla mengangkat budaya Melayu Sarawak melalui puisi, lagu puisi dan lagu rakyat. Sekali gus, menjanjikan usaha mengekalkan budaya Melayu Sarawak akan berterusan.

Persembahan dimulakan dengan fragmentasi pertama yang berlaku di dalam istana. Anakanda Sultan diceritakan berduka dan hanya mendiamkan diri walaupun pelbagai persembahan dipersembahkan di hadapannya.

Pada mulanya, Sultan menitahkan dayang membaca syair dan kemudian Sultan sendiri terpaksa membaca sebuah sajak bersama-sama anakanda sulungnya. Namun anakada Sultan tetap mendiamkan diri.

Seterusnya, kalangan rakyat hadir ke istana mempersembahkan lagu rakyat Laduh Lanang namun tidak juga berjaya menghiburkan anakanda Sultan. Hingga kepada kalangan anak-anak remaja membuat persembahan, yang juga lagu rakyat akhirnya anakanda Sultan ketawa dan turut menari.

Perkara yang ingin diketengahkan di sini ialah lagu rakyat juga mampu menarik minat di kalangan remaja. Pada masa yang sama, lagu rakyat yang dipersembahkan di istana dapat diibaratkan sebagai satu usaha untuk mengangkat lagu rakyat ke tahap yang lebih tinggi. Jika lagu rakyat di negeri lain boleh menjadi ikutan ramai warganegara Malaysia, mengapa tidak lagu rakyat Melayu Sarawak?

Kemudian, persembahan beralih ke fragmentasi kedua. Kali ini, kisah berlaku di kedai kopi. Sedang sibuk penduduk kampung menjamu selera, muncul Pak Junid membaca syair.

Tatkala negeri bertambah maju
Orang lain berpusu-pusu
Kita termenung tersipu-sipu
Apa nak dibuat kita tak tahu


Dengan gayanya sendiri, dia mampu menarik perhatian penduduk di kedai kopi tersebut.

Namun, dia telah menyindir anak-anak muda dengan mengatakan mereka hanya tahu bohsia, rempit dan sebagainya. Tidak tahu menilai jati diri Melayu. Sebagai anak Melayu yang kuat dengan nilai kemelayuannya, anak-anak muda menyanggah pandangan Pak Junid. Sebagai bukti mereka menunjukkan rasa cinta kepada Melayu dan kebergunaan mereka sebagai Melayu melalui puisi.

Untuk itu, Nurjahan mencelah menafikan menggunakan Sepenuhnya dalam bahasa Sarawak,“Kamek tok bukan orang macam ya. Tau kamek erti penghidupan. Kamek tok orang Melayu. Tetap orang Melayu.” Seterusnya dia menjelaskan lagi penafiannya melalui sajak Aku Mencari Melayu karya Latifah Haji Shebli.

Hari ini
Aku mencari Melayu
Yang bersarung dan berketayap
Itukah Melayu?
Yang berbaju kurung dan bertudung
Itukah Melayu?
Aku mencari Melayu
Jati Melayu?


Kemudian, Wezan tampil mendeklamasikan puisi Melayu Yang Kutahu karya Pharo Abdul Hakim.

Melayu bangsaku pahlawan perkasa
Mencantas ombak meredah desa
Berbekalkan keris dan tombak
Bangsaku merentas lautan dalam
Membawa bersama silat dan gurindam
Membina mandala membangun empayar
Membela pertiwi mempertahankan diri
Buat generasi yang bakal mengganti


Kemudian muncul kumpulan lagu puisi Santari. Kata mereka, “Kamek orang tok walaupun berpakaian rock, tapi kamek semua ada jati diri sendiri. Kamek sik suka dengar lagu rock, rap dan sebagainya. Pak Junid nak dengar kamek orang berlagu? Lagu puisi.”

Sekali gus satu sindiran kepada mereka yang suka mengatakan bahawa anak muda begitu taksub dengan hiburan luar. Walaupun tidak dinafikan hiburan luar banyak menarik minat remaja, namun ada kalangan remaja yang begitu tinggi minat mereka terhadap kebudayaan Melayu, khususnya di Sarawak.

Setelah itu, persembahan diteruskan dengan fragmentasi ketiga yang juga masih berlatarkan kedai kopi. Suffian tampil dengan mengajak penduduk kampung bermain permainan rakyat yang bersyarat. Mereka yang kalah akan dihukum. Antaranya membaca puisi, berpantun dan sebagainya.

Orang pertama yang kalah ialah Mastijah dengan persembahan gurindam dengan teks Gurindam Rindu oleh Melayu Sarawak.

Ya Ilahi malik udayyan
Peliharakan hambamu yang daif pengetahuan
Pancainderaku tidak ketahuan
Adakah ia dirasuk syaitan

Allahu Akbar kahilulalam
Peliharakan hambaMu siang dan malam
Perasaan laksana timbul tenggelam
Terminum racun gadis pualam

Permainan diteruskan yang memaksa Dayang Radzifah membaca puisi Wajah Melayu Baru karya Abizai Abi.

Melayu baru
Ialah pengurus cekap berpendirian tegap
Bijak mencongak coran perancangan
Pintar melebar jalar pelaksanaan

Melayu baru
Ialah arkitek cerdik berperibadi molek
Mahir mengukir sketsa pembangunan
Tekun menenun sutera kemajuan

Suffian Jalet pula menjalani hukuman permainan dengan membaca puisi Adi Badiozaman Tuah berjudul Kukira Tasikmu Tak Kan Berkocak.

Kukira tasikmu tidak akan berkocak
Bila gugur aku
Daun di hujung dahan
Ke permukaan airmu
Kejernihan yang tidak pernah ternoda
Kerana aku
Adalah daun hijau
Meniti tangga waktu
Dari dahan ke dahan
Tidak berpandu
Hingga sampai di titian akhir
Menjadi kering


Kemudian, remaja hadir untuk menghibur dengan lagu rakyat. Akhirnya, Kumpulan Akira membuat persembahan. Sebelum itu, Faizal membuat persembahan pantun yang begitu menebal dalam diri orang Melayu satu ketika dahulu.

Sayur sawi dipatah liat
Tanam serai merimbun daun
Kalau sehari tidak melihat
Rasa bercerai seribu tahun

Ijo ijo dalam perigi
Kacang golok di dalam puan
Terigo igo termimpi-mimpi
Bantal kupeluk rasamu tuan

Turut membuat persembahan ialah Kumpulan Anak Alam dan kemudian Malek Hassan bersama-sama Wezan dan Suffian Jalet mempersembahkan puisi Saiee Driss berjudul Dogma Perjuangan dalam bentuk qasyidah.

tahun demi tahun
telah kita susun catatan perjuangan
setiap saatnya berisi pengalaman
yang mendewasakan
jasad dan jiwa

usia telah kita isikan
dengan saling kenal mengenali
hati budi, harapan dan cita
dan makna nafas-nafas yang dihembus
titis-titis peluh kemercik
atas nama usaha


Keseluruhannya, persembahan ini banyak meneydarkan bahawa budaya Melayu Sarawak juga mampu diangkat ke atas pentas dan mampu pula menarik perhatian penonton. Lebih penting, budaya Melayu Sarawak yang pelbagai harus bijak diadun agar mampu berkekalan sampai bila-bila.

UTUSAN SARAWAK, 20 MAC 2009

No comments: