Pemikiran Melayu, pencapaian dalam sains, teknologi

“BILA membincang tentang pemikiran Melayu, tokoh ilmuan, Profesor Diraja Ungku Aziz seringkali membicarakan tentang tragedi pemikiran Melayu,” kata Profesor Dr. Fatimah Abang daripada Universiti Malaysia Sarawak(Unimas) membentangkan kertas kerja Sains dan Teknologi dan Masyarakat Melayu: Suatu Perspektif pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 di Kompleks Pelancongan Sarawak, Kuching.

Dr. Fatimah menjelaskan, budaya Melayu yang tidak menggalakkan bertanya adalah tidak saintifik kerana pendekatan bertanya dan menyelidik merupakan dua elemen asas pemikiran berteraskan sains.

Menurutnya, pemikir zaman Yunani menyelsaikan masalah dengan bertanyakan soalan.

“Bersoal-jawab merupakan amalan mereka dalam menyelesaikan sesuatu kemusykilan. Malah, pemenang Hadiah Nobel Laureatte meraih kejayaan melalui penyelidikan yang dicetus oleh soalan-soalan asas dari minda inkuisitif terhadap sesuatu kejadian Ilahi.

“Tetapi untuk orang Melayu, budaya minda inkuiri ini tidak begitu berkembang. Sebahagian ini kemungkinan lahir dari budaya ‘tidak bertanya soalan’ atas sebab tanda hormat kepada orang yang lebih tua (yang tersemai dalam budaya Melayu.

“Di kalangan masyarakat Melayu tradisi, bertanya soalan dianggap biadap. Namun demikian, hari ini budaya ini tidak sekuat dulu. Ibu bapa generasi hari ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan mereka yang berpelajaran. Walau bagaimanpun, tidak dinafikan masih terdapat keluarga tradisi yang masih mewaris budaya fikir tersebut,” katanya.

Ungku Aziz kata Fatimah menjelaskan, pemikiran Melayu hari ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British.

Banyak terdapat bahan ilmiah membincangkan bagaimana British mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu – sikap lebih kepada menerima dan mengguna, dan kurang bertanya dan menyiasat.

Selain minda terjajah, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan midan seperti buda fikir, faktor pemakanan dan pengaruh keluarha dan insan terdekat.

“Taraf pendidikan ibu, latar belakang keluarga dan sosio-ekonomi sedikit sebanyak memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan seseorang insan. Sebagai insan paling rapat dengan anak, taraf pendidikan ibu boleh mempengaruhi minda dan seterusnya budaya fikir anak.

“Taraf pendidikan juga boleh dikaitkan dengan pemikiran tahap tinggi. Justeru, ibu yang berpendidikan tinggi secara langsung menerapkan pemikiran yang tinggi kepada anak.”

Mengenai pencapaian Melayu Sarawak dalam bidang sains dan teknologi, Dr. Fatimah menjelaskan, perkataan sains dan teknologi telah menjadi begitu sinonim dengan kemajuan sesuatu bangsa atau negara. Pendek kata, sesuatu bangsa atau negara itudinilai sebagai maju dan makmur jika perkembangan sains dan teknologi itu pesat, kata.

“Sewajarnya begitu kerana sains mempunyai tanggungjawab sosial dan sentiasa saling berhubung dengan bidang-bidang kemanusiaan yang lain. Justeru itu, pengetahuan sains dan teknologi mampu membawa kesejahteraan hidup penduduk sesuatu negara dan membawa kepada kemakmuran eknomi sesebuah negara,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks dunia global, Malaysia khususnya bangsa Melayu masih dianggap ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

“Untuk mencapai kemajuan dalam bidang tersebut, pembudayaan sains dan teknologi harus berlaku,” katanya.

Dari kaca mata orang Melayu, mungkin sains dan teknologi masih dilihat sebagai perkara pinggiran dan hanya dikaitkan dengan anak-anak yang masuk ke sekolah atau ke institut pengajian tinggi sahaja.

Sehubungan itu, maka tidak hairan jika dikatakan orang Melayu jauh tertinggal dalam bidang sains dan teknologi.

“Tidak dinafikan bahawa terdapatnya Melayu Sarawak yang telah meraih kejayaan yang cemerlang sebagai doktor perubatan, jurutera dan saintis pelbagai bidang sains.

“Berasaskan pemikiran saya, dan hasil penelitian bahan-bahan rujukan ilmiah yang berkisar sekitar isu Melayu dari sudut sains dan teknologi, pendidikan, pemikiran dan sebagainya, pencapaian orang Melayu Sarawak dalam bidang sains dan teknologi boleh dikatakan masih kurang.”

Masalah itu katanya, harus ditangani dengan serius jika mahu matlamat dalam mengangkat martabat bangsa Melayu tercapai, perlu ditangani dari peringkat akar umbi – dalam sistem pendidikan bermula dari sekolah rendah lagi.

Usaha dalam menggalakkan pelajar Melayu menjurus kepada bidang sains dan teknologi ujarnya, harus dipupuk dan disemai dari awal lagi.

“Seterusnya, langkah memperbanyakkan bilangan ini diteruskan, dipantau dan dinilai pencapaiannya sehingga ke tahap graduan yang keluar dengan ijazah dalam bidang sains dan teknologi dan menjadi profesional negara,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 28 MAC 2009

No comments: