Judul buku: Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam
Pengarang: Abdul Latip Talib
Genre: Novel Sejarah Islam
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd. (www.pts.com.my)
Halaman: 324
ISBN: 978-983-3603-32-9
NOVEL sejarah Islam berjudul Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam oleh Abdul Latip Talib terbit dalam pasaran ketika masyarakat terutama generasi muda terdedah luas dengan pelbagai budaya barat.
Mungkin ada yang mengenali pahlawan Islam atau sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW tetapi tidak ramai yang tahu akan sejarah hidup dan cabaran yang terpaksa ditempuhinya.
Adalah wajar novel seumpama ini muncul di pasaran untuk mendedahkan generasi muda kepada keberanian pahlawan Islam.
Selain kuat fizikal, pahlawan tersebut juga sanggup berjuang habis-habisan demi agama Islam yang dianutnya.
Apa juga rintangan yang dihadapi ketika memperjuangkan Islam, tidak pernah membuatkan pahlawan-pahlawan ini gentar untuk bertarung.
Kegigihan dan kekuatan inilah yang perlu dicontohi dan boleh diaplikasi dalam bentuk lain, misalnya, pelajaran atau pekerjaan.
Justeru ibu bapa atau penjaga, terutamanya, perlu mendedahkan generasi muda kepada novel seumpama ini yang mungkin akan membina kekuatan dalam diri mereka pula.
Pengarang memulakan kisahnya dengan detik awal kelahiran Khalifah Umar al-Khattab. Tidak ramai yang tahu ibu Umar, Hantamah mengalami kesukaran untuk melahirkannya.
Ia dikatakan mungkin disebabkan dosa-dosa yang dilakukan suaminya. Apalagi al-Khattab seorang yang keras hati, bertabiat buruk, susah diajar dan mempunyai pergaulan yang buruk dengan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya.
Bagi memudahkan kelahirannya, al-Khattab kemudian berlembut hati ke Kaabah dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan hingga memudahkan kelahiran Umar.
Zaman kanak-kanak Umar juga tidak mudah. Ini kerana bapanya mahu Umar dididik dengan keras dan kasar supaya apabila dewasa dia menjadi seorang pahlawan. Kerana itu Umar telah ditugaskan untuk mengembala unta dan kambing.
Pada mulanya Umar menentang ajaran Nabi Muhammad SAW sehinggakan beliau sanggup memukul hambanya, Labinah hingga pengsan semata-mata kerana Labinah menjadi pengikut Nabi Muhammad.
Kemudian adiknya Fatimah dan suaminya, memeluk Islam hingga membuatkan Umar cukup marah. Umar membelasah adik iparnya dan menampar Fatimah. Tetapi kemudian Umar sendiri berasa kasihan dan meminta untuk melihat lembaran ayat al-Quran.
Sebaik sahaja membaca ayat-ayat suci itu, hati Umar mula terbuka untuk memeluk Islam.
Setelah itu Umar menjadi pencetus zaman keemasan negara Islam yang mendapat penghormatan dan sanjungan sepanjang zaman.
Beliau manusia berbakat dan pintar menjadi lambang kejayaan bangsa Arab dan umat Islam. Dalam masa 10 tahun 6 bulan beliau memerintah, seluruh empayar Rom dan Parsi tunduk di bawah kuasa pemerintahan Islam.
Selain sebagai penakluk Umar al-Khattab juga berjaya menyusun pentadbiran yang berkesan dan teratur. Beliau pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam negara dan berjaya membentuk sebuah negara Islam baru.
Bukan itu sahaja, Umar al-Khattab mahir dalam ilmu fikah dan seorang pemidato yang hebat. Beliau seorang ahli gusti dan penunggang kuda yang cekap. Walaupun berada di tampuk kekuasaan, pencetus zaman keemasan negara Islam ini hidup sederhana mencontohi Rasulullah.
Dalam bidang keselamatan dalam negeri, beliau menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut.
Pahlawan yang berjaya menundukkan Parsi dan Rom ini turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasaskan sistem pelajaran Islam.
Sebenarnya buku-buku yang bercerita tentang pahlawan Islam seumpama ini sudah diketengahkan di pasaran tetapi kebijakan pengarang ini menampilkan novel sejarah Islam ini cukup menarik sehingga memungkinkan sesiapa sahaja akan tergerak untuk membacanya.
UTUSAN SARAWAK, 14 MAC 2009
No comments:
Post a Comment