BERSEMPENA Minggu Budaya Melayu Sarawak, Malam Muzik dan Nyanyian yang bertemakan Mutiara Yang Tetap Berharga: Sepanjang Jalan Kenangan akan diadakan pada 16 Mac ini, jam 8.30 malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Penyelaras Produksi, Zamhari Haji Mostapha berkata, Malam Muzik dan Nyanyian itu merupakan persembahan secara pakej selama 90 minit merangkumi empat segmen – setiap satunya mencerminkan kehebatan dan kewibawaan penyanyi di zaman yang berbeza dengan nyanyian pelbagai jenis lagu ciptaan anak-anak Melayu Sarawak.
“Bersesuaian dengan tema utama kita, persembahan ini bertujuan memberitahu betapa kaya dan indahnya khazanah seni budaya kita serta betapa gigihnya perjuangan seni anak-anak Melayu kita yang berjaya di zaman silam dan kini.
“Di samping itu, meransang dan mencabar semangat jati diri generasi muda kita agar berminat, sekali gus menyahut cabaran melibatkan diri dalam memastikan bidang ini dan khazanah kita akan terus berkembang cemerlang sampai bila-bila.”
Menurutnya, segmen pertama iaitu “Bintang Terbilang – Mutiara Yang Tetap Berharga” didahului dengan lagu pembukaan.
“Kita dihiburkan oleh beberapa penyanyi terkenal di masa lalu yang akan menyanyikan lagu-lagu gubahan pencipta tempatan atau lagu yang pernah menjulang nama mereka di persada seni.”
Segmen kedua iaitu “Bintang Gemilang – Mutiara Yang Bersinar” pula menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah mengharumkan nama Sarawak dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Mereka juga katanya, akan menyanyikan lagu-lagu ciptaan tempatan yang pernah terkenal suatu ketika dahulu.
Sementara segmen seterusnya, “Bintang Cemerlang – Mutiara Yang Gemerlapan” diabadikan kepada artis dan kumpulan artis yang pernah mencipta nama dari dahulu hingga kini yang sedang meniti kejayaan.
Segmen “Bintang Harapan – Mutiara Yang Sedang Digilap” akan menampilkan beberapa penyanyi kanak-kanak dan remaja yang berbakat yang sudah mula mendapat perhatian, sama ada pernah memenangi pertandingan seni suara atau sedang giat berkecimpung dalam bidang seni suara.
Zamhari menjelaskan, persembahan akan dilakukan secara santai tanpa banyak hebahan, sementara lagu-lagu disusun dan dinyanyikan mengikut kesesuaian merentasi keempat-empat segmen.
“Maklumat penyanyi, kumpulan dan pencipta lagu akan ditayangkan pada skrin layar untuk makluman penonton sepanjang persembahan.
“Seterusnya, dua kumpulan muzik iaitu kumpulan lagu asli daripada Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) dan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) akan mengiringi persembahan,” tambahnya.
UTUSAN SARAWAK, 14 MAC 2009
No comments:
Post a Comment