Kerjasama jadikan BM bahasa terbilang


USAHA mengekal dan memelihara kedaulatan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan dengan serta-merta dan bersungguh-sungguh oleh semua pihak.


Ahli Parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof berkata, semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan perlu memberi kerjasama dalam usaha memelihara dan menjadikan BM sebagai bahasa yang terbilang di rantau ini.


Menurutnya, untuk itu, jalinan hubungan yang akrab perlu diwujudkan antara budayawan dan penggubal dasar kerajaan bagi menjamin setiap sasar yang digubal tidak menjejaskan aspek bahasa dan budaya.


"Melalui hubungan ini, pihak budayawan boleh menyediakan panduan bagi merangka dasar dan strategi pelaksanaan berkaitan bahasa budaya kepada pihak penggubal dasar," katanya yang juga Penaung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).


Justeru, beliau merancang perjumpaan pada Sesi Parliman antara Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan.


"Dari langkah mula ini kita harap dapat mencorakkan langkah lebih besar dalam usaha kita memartabatkan bahasa dan budaya," katanya berucap merasmikan Dialog Bahasa 2007 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.


Dialog anjuran GAPENA melalui PEKASA dan dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak itu tanda keseriusan menyahut seruan DBP untuk bersama-sama memikirkan usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya.


Gabungan DBP Cawangan Sarawak sebagai agensi bertanggungjawab terhadap hal-hal kebahasaan, GAPENA sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bersifat nasional dan antarabangsa serta PEKASA sebagai pergerakan peringkat negeri dalam merealisasikan program ini.


Menjadi harapan program itu membuka horizon baru membina kecemerlangan usaha, memupuk kegemilangan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu cukup terbilang dalam arus pembangunan negara.


Objektif dialog bahasa itu ialah pertama, membincang dan merumus isu bahasa dan sastera tentang perkembangan bahasa dan sastera di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya. Kedua, menghimpunkan para sarjana dan karyawan, serta mendapatkan input terhadap isu semasa tentang perkembangan semasa bahasa dan sastera.


Ketiga, menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang persoalan-persoalan semasa dalam bidang bahasa khususnya memantapkan fahaman tentang tugas, peranan dan tanggungjawab bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Keempat, memperkukuhkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai wahana pembinaan modal insan dan seterusnya menghasilkan resolusi atau gagasan bersama tentang hasrat memperkasakan bahasa Melayu.


Dialog ini juga adalah satu kegiatan bersempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 selain sebagai salah satu program di bawah Pasca Kongres Bahasa VII. Selain itu, ia sebagai program perintis ke arah membincangkan isu kebahasaan dan disempenakan dengan sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2007.


Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendeta Dr. Haji Ismail Hussein dal;am sesi dialog menjelaskan, perjuangan budayawan perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana ini salah satu faktor penting untuk merencana masa depan negara.


Beliau melahirkan kebimbangan kerana sekarang ini sudah wujud fenomena peminggiran budaya serta bahasa, malah peminggiran kalangan budayawan sendiri. Sekiranya ini terus berlaku, beliau secara tegas melahirkan rasa pesimis terhadap masa depan Malaysia.


Mengenai usaha menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini, Ismail berkata, GAPENA tiada masalah tentang hal itu malah sanggup membantu generasi hari ini menguasai bahasa global itu.


"Bahasa Inggeris memang penting untuk anak-anak yang bakal menguasai dunia tetapi dalam masa yang sama bahasa Melayu harus dimartabatkan setinggi-tingginya." – RADIN AZHAR AHMAD


(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak, Khamis, 19 Julai 2007)

Pemerkasaan BM perlu daya juang, komitmen politik

RADIN AZHAR AHMAD

SEBAGAI salah panel Dialog Bahasa 2007, Dato’ A. Aziz Deraman menjelaskan, "Bahasa adalah asas pembinaan tamadun bangsa dengan kesedaran tanpa diketepikan keperluan umat Melayu dan bangsa Malaysia menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain. Tumpuan perancangan strategik memerlukan tumpaun pemerkasaan ke peringkat antarabangsa dengan suatu daya juang dan komitmen politik ke arah merealisasikan Bahasa Melayu (BM) berperanan bagi maksud luar negara."

Membincangkan tajuk ‘Permasalahan Bahasa dan Persuratan Melayu’, A. Aziz Deraman berkata, gerakan ke arah menjadikan BM sebagai satu bahasa komunikasi Asia Tenggara; sebagai salah satu bahasa perdagangan rantau; salah satu bahasa komunikasi atau bahasa perdagangan Asia Timur; BM menjadi salah satu bahasa sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan terus diperkembang sebagai bahasa pengajian tamadun Melayu di institusi pengajian asing di luar negara seharusnya tidka dilihat sebelah mata.

"Pada hemat penulis, abad ke-21 bagi Dunia Melayu haruslah dijadikan abad gerakan bersama mengangkatkan peradaban serantau dengan keutamaan meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa penting dunia. Untuk memastikan kejayaannya, maka beberapa tindakan positif yang sudah atau yang sedang diambil atau akan diambil hendaklah diberikan tunjangan langsung oleh kerajaan dan dengan kerjasama yang kukuh oleh pelbagai pihak."

Perancangan baru katanya, perlu meneliti beberapa aspek. Antaranya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai badan induk utama pembina dan pengembang bahasa Melayu, melihat smula keterabaian beberapa program bahasa dan sastera di peringkat antarabangsa yang sudah sedia berjalan rancak itu dengan suntikan komitmen dan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

Selain itu, penyediaan forum yang sedia ada seperti MABBIM, MABM, MASTERA, FOKEPS, MEKKAP mulai kaku dan rangkaian kerjasama institusi tidak dimanfaatkan. Kini kelihatan hendaklahkan diaktifkan semula bagi memudahkan perundingan dan penyelarasan aktiviti kebahasaan dan persuratan di peringkat rantau dan antarabangsa.

"Juga, meneruskan sokongan moral, bantuan kerjasama kepada mana-mana institusi yang bersedia membuka pusat-pusat bahasa Melayu/pengajian Melayu di luar negara seperti kewujudan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, dan membantu mengukuhkan program BM dan kajian tentang tamadun berbahasa Melayu di Eropah, Rusia, Amerika dan Asia-Oceania.

"Mendorongkan usaha menambahkan jumlah Kursi Pengajian Melayu mengikuti kesesuaian negara atau bekerjasama mendirikan Jabatan Pengajian Melayu/Program berbahasa Melayu di luar negara. Serta, merangka pewujudan pusat sumber bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dan kelas bahasa Melayu (umum) di Kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara."

Jelasnya, penelitian juga perlu dengan menyediakan program peminjaman tenaga pakar bahasa/sastera, pertukaran oensyarah, sarjana, pengajar, pelajar dan petugas bahasa dan pengajian Melayu antara negara.

Mengada dan meneruskan program penggalakan yang berupa aktiviti sosio-budaya seperti pertandingan debat, pidato, forum, pertandingan menulis karya kreatif dan esei serta program dan hadiah lawatan sambil belajar/kerja, ujarnya.

"Mengadakan kerjasama peningkatan ilmu, kepakaran dan keterampilan berbahasa Melayu dalam semua bidang dengan IPT di dalam dan luar negara. Menyediakan atau berusaha mendapatkan sokongan dan sumber dana atau sumber-sumber lain dari syarikat-syarikat multinasional Malaysia untuk menjayakan program kebahasaan bagi negara yang kurang mampu.

"Menyebarkan bahan-bahan terbitan dalam bahasa Melayu mengenai dunia dan pemikiran Melayu juga bahan kesusasteraan yang relevan (bercetak dan elektronik). Berunding dan menempa jalan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak kementerian yang berkaitan (di dalam Malaysia), kedutaan-kedutaan luar, persatuan dan majlis di peringkat ASEAN dan antarabangsa bagi mengenegahkan penggunaan BM."

Selain itu, tambahnya, merangka serta melaksanakan pengisian tambahan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani, secara berperingkat-peringkat melalui kerjasama dengan institusi dann negara yang berkenaan.

(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawa, Khamis, 19 Julai 2007)

Bengkel Bangsawan Sarawak 2007


DENGAN tujuan untuk mengetengahkan dan memperkenalkan teater bangsawan kepada kalangan pelajar, Bahagian Kebudayaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KSPU) baru-baru ini menganjurkan bengkel Bangsawan Sarawak 2007.

Bengkel seminggu yang diadakan di Biro Wanita, Jalan Sultan Tengah itu disertai pelajar yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah. Dan, bengkel tersebut dikendalikan oleh Abby Noor dan Ahmad Beduwi.

Setelah tamat bengkel, peserta dikehendaki pula mengadakan persembahan pada Majlis Penutupan Bengkel dan Persembahan Bangsawan Sarawak.
Menteri Menteri Alam Sekitar, Dr. Abang Haji Abdul Rauf Abang Haji Zen menutup bengkel berkenaan.

Walaupun dalam tempoh yang singkat, peserta telah menunjukkan minat yang mendalam dalam teater dan bangsawan serta berkeupayaan untuk mempelajari pengetahuan tentang teater.

Yang pasti, ia merupakan pendedahan awal untuk menarik minat generasi kanak-kanak terhadap teater di negeri ini.

(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak, Khamis, 12 Julai 2007)

BM sebagai bahasa tamadun rantau ini

"HAL yang sangat menarik tentang sejarah tamadun atau peradaban rantau ini ialah peranan Bahasa Melayu (BM) dalam proses pembentukan tamadun itu, padahal BM bukanlah bahasa ibunda atau bahasa pertama puluhan kumpulan etnik di rantau ini," kata Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad dalam Siri Bicara Bahasa berjudul ‘Bahasa Melayu Sebagai Teras Peradaban Malaysia’ terbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Katanya, "Kita perhatikan bahawa sejak abad ke-7, BM digunakan sebagai bahasa yang utama atau dominan di pusat-pusat kerajaan, sebagai alat pengembang agama, terutama agama Islam, bahkan juga agama-agama lain di Indonesia, sebagai bahasa perdagangan dan bahasa kesusasteraan dan ilmu sejak zaman Kerajaan Melayu-Srivijaya di Palembang dan Jambi, sampailah ke abad ke-20."

Dalam abad ke-17 menurutnya, Aceh menjadi pusat perkembangan persuratan dan kegiatan ilmu berbahasa Melayu yang sangat gemilang. Tradisi ini bersambung dan kekal sampai ke zaman kuasa Eropah hinggalah kuasa Eropah itu meninggalkan Indonesia dalam tahun 1945 dan Semenanjung Tanah Melayu dalam tahun 1957.

"Dunia Barat, selama mereka berkuasa di rantau ini, tidak meninggalkan tamadun ilmu mereka dalam BM sebagaimana dilakukan oleh mubaligh dan pedagang Islam sebelum itu. Bahasa Inggeris dan Belanda memang telah memperkenalkan sistem pendidikan mereka di rantau ini tetapi ini tidak bererti mereka membawan tamadun ilmu kepada dunia berbahasa Melayu."

Pendidikan mereka jelasnya, dilancarkan melalui bahasa mereka, tidak melalui bahasa tempatan, terutama BM yang pada waktu itu mereka tahu sudah berkembang luas sebagai lingua franca, sebagai bahasa perdagangan, bahasa kerajaan, bahasa persuratan dan bahasa ilmu di rantau ini.

"Orang Eropah itu datang ke rantau kita atas nama Syarikat Hindia Timur masing-masing, semata-mata dengan tujuan untuk menguasai pelabuhan-pelabuhan perdagangan daripada kerajaan Melayu-Indonesia dari persisir Selat Melaka sampailah ke Pulau Jawa dan kepulauan Maluku di sebelh timur.

"… di samping untuk menubuhkan pemerintahan mereka sebagai strategi politik untuk mengawal dan memelihara kepentingan ekonomi dan perdagangan mereka. Bangsa Portugis mempunyai agenda yang lebih gasar: mereka datang utnuk memerangi Islam di rantau ini, kerana itulah bangsa Portugis tidak meninggalkan apa-apa ‘tamadun tinggi’ yang dapat dicontohi oleh penduduk rantau ini."

Oleh sebab itulah, BM dapat terus mengekalkan kuasanya di luar agenda Barat itu sebagai teras tamadun di seluruh rantau ini dalam zaman kuasa Inggeris dan Belanda. Lahir tamdun persuratan dan kegiatan intelektual dalam BM di Melaka (yang diwakili oleh Raja Ali Haji), di Patani, dan seterusnya sampai ke zaman Pujangga Baru di Indonesia dalam tahun 1920-an dan zaman Rashid Talu, Abdullah Sidek, Harun Aminurasyid, Syed Sheikh Al-Hadi, dan zaman Asas 50 di Singapura.

Sastera Inggeris dan kegiatan intelektual dalam bahasa Inggeris tidak wujud di rantau ini, jelas Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad. Buku-buku ‘ilmu tinggi’ atau ‘ilmu moden’ barat dalam bidang sains dan sebagainya tidak ada diterjemahkan dalam BM dalam tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua dan tahun-tahun 50-an.

"Bandingkan keadaan ini dengan keadaan dalam abad ke-17, misalnya: pada zaman itu oara pengarang Melayu di Aceh mempelajari ilmu dari dunia Islam di tanah Arab dan menterjemahkan karya-karya pemikir Islam yang agung seperti Iman Al-Ghazali dalam BM," tambahnya.
(Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 12 Julai 2007)

Puisi-puisi PHARO


KEMBALI KE TALANG-TALANG

Aku ingin kembali
bermalam di Talang-Talang
ketika bulan terang
biar kutemani penyu yang datang
membiak warisan alam
agar tenang hadir bertandang
agar malam bernyanyi girang

Aku ingin kembali
ke pulau seribu janji
ada wajah tinggal bersemi
untuk hiasi galeri seni
di sini aku pernah berjanji
pada langit pagi
akan kulukis hening mentari
yang hadir menghias langit kirmizi

Kembali ke Talang-Talang
ketika ombak kian garang
ketika malam tidak berbintang
dan penyu tidak datang
dan aku terasa malang

18 Januari 2006


SEHENING SAMUNSAM

Aku hadir berteman khuatir
menjenguk Samunsam
bicaranya bahasa kesal
bercerita tentang duka
tersimpan rahsia alam
resah rimba diperkosa
luka persada dinoda

Samunsam berwajah cangkaliwang
diracik haloba manusia
ditikam dendam saudara
dilingkari pawaka iri
membakar rimba janji
menguji dekri harmoni
terpaterikah lagi ikatan hati?

Aku hadir di batas bibirmu
menatap duka nusa
menangis wibawa
menanti depus pawana kuasa
lalu kulaungkan suara
kembalikan hening Samunsam
agar maruah kekal di hujung peta.

4 Jun 2007


MALUDAM DALAM DIAM

Dalam diam
ada malam diulam kelam
dalam payah
ada resah menyapa lelah
dalam sunyi
ada sepi mengulit mimpi
dalam diri
ada hati mengusik janji

Maludam diam
malam kelam
aku menunggu
Maludam dalam diam
membusa cinta pesisir
malam masih kelam

aku dalam keliru
memuja cinta musafir
janji sesepi mimpi

sungai mengalir biru
langit menebar awan kelabu
alam terus berzikir
insan kembali berfikir.

18 Januari 2006 – 4 Jun 2007


Disiarkan di Stail Utusan Sarawak, 5 Julai 2007