Pemerkasaan BM perlu daya juang, komitmen politik

RADIN AZHAR AHMAD

SEBAGAI salah panel Dialog Bahasa 2007, Dato’ A. Aziz Deraman menjelaskan, "Bahasa adalah asas pembinaan tamadun bangsa dengan kesedaran tanpa diketepikan keperluan umat Melayu dan bangsa Malaysia menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain. Tumpuan perancangan strategik memerlukan tumpaun pemerkasaan ke peringkat antarabangsa dengan suatu daya juang dan komitmen politik ke arah merealisasikan Bahasa Melayu (BM) berperanan bagi maksud luar negara."

Membincangkan tajuk ‘Permasalahan Bahasa dan Persuratan Melayu’, A. Aziz Deraman berkata, gerakan ke arah menjadikan BM sebagai satu bahasa komunikasi Asia Tenggara; sebagai salah satu bahasa perdagangan rantau; salah satu bahasa komunikasi atau bahasa perdagangan Asia Timur; BM menjadi salah satu bahasa sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan terus diperkembang sebagai bahasa pengajian tamadun Melayu di institusi pengajian asing di luar negara seharusnya tidka dilihat sebelah mata.

"Pada hemat penulis, abad ke-21 bagi Dunia Melayu haruslah dijadikan abad gerakan bersama mengangkatkan peradaban serantau dengan keutamaan meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa penting dunia. Untuk memastikan kejayaannya, maka beberapa tindakan positif yang sudah atau yang sedang diambil atau akan diambil hendaklah diberikan tunjangan langsung oleh kerajaan dan dengan kerjasama yang kukuh oleh pelbagai pihak."

Perancangan baru katanya, perlu meneliti beberapa aspek. Antaranya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai badan induk utama pembina dan pengembang bahasa Melayu, melihat smula keterabaian beberapa program bahasa dan sastera di peringkat antarabangsa yang sudah sedia berjalan rancak itu dengan suntikan komitmen dan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

Selain itu, penyediaan forum yang sedia ada seperti MABBIM, MABM, MASTERA, FOKEPS, MEKKAP mulai kaku dan rangkaian kerjasama institusi tidak dimanfaatkan. Kini kelihatan hendaklahkan diaktifkan semula bagi memudahkan perundingan dan penyelarasan aktiviti kebahasaan dan persuratan di peringkat rantau dan antarabangsa.

"Juga, meneruskan sokongan moral, bantuan kerjasama kepada mana-mana institusi yang bersedia membuka pusat-pusat bahasa Melayu/pengajian Melayu di luar negara seperti kewujudan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, dan membantu mengukuhkan program BM dan kajian tentang tamadun berbahasa Melayu di Eropah, Rusia, Amerika dan Asia-Oceania.

"Mendorongkan usaha menambahkan jumlah Kursi Pengajian Melayu mengikuti kesesuaian negara atau bekerjasama mendirikan Jabatan Pengajian Melayu/Program berbahasa Melayu di luar negara. Serta, merangka pewujudan pusat sumber bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dan kelas bahasa Melayu (umum) di Kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara."

Jelasnya, penelitian juga perlu dengan menyediakan program peminjaman tenaga pakar bahasa/sastera, pertukaran oensyarah, sarjana, pengajar, pelajar dan petugas bahasa dan pengajian Melayu antara negara.

Mengada dan meneruskan program penggalakan yang berupa aktiviti sosio-budaya seperti pertandingan debat, pidato, forum, pertandingan menulis karya kreatif dan esei serta program dan hadiah lawatan sambil belajar/kerja, ujarnya.

"Mengadakan kerjasama peningkatan ilmu, kepakaran dan keterampilan berbahasa Melayu dalam semua bidang dengan IPT di dalam dan luar negara. Menyediakan atau berusaha mendapatkan sokongan dan sumber dana atau sumber-sumber lain dari syarikat-syarikat multinasional Malaysia untuk menjayakan program kebahasaan bagi negara yang kurang mampu.

"Menyebarkan bahan-bahan terbitan dalam bahasa Melayu mengenai dunia dan pemikiran Melayu juga bahan kesusasteraan yang relevan (bercetak dan elektronik). Berunding dan menempa jalan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak kementerian yang berkaitan (di dalam Malaysia), kedutaan-kedutaan luar, persatuan dan majlis di peringkat ASEAN dan antarabangsa bagi mengenegahkan penggunaan BM."

Selain itu, tambahnya, merangka serta melaksanakan pengisian tambahan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani, secara berperingkat-peringkat melalui kerjasama dengan institusi dann negara yang berkenaan.

(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawa, Khamis, 19 Julai 2007)

No comments: