SERAMAI 150 peserta baru-baru ini berkampung di Brunei Darussalam untuk menyertai Dialog Borneo – Kalimantan Ke-9. Acara yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan kegiatan di bawah Program Mesyuarat Kerjasama Kebahasaan dan Persuratan yang diwujudkan khusus untuk mengeratkan jalinan kerjasama kebahasaan sekitar Borneo dan Kalimantan.
Dialog tahun ini memilih tema "Kesusateraan Melayu: Antara Harapan dan Cabaran" merupakan satu tema yang mengarah kepada kerja keras dan berterusan. Sesuai dengan keberadaan Pulau Borneo-Kalimantan yang memiliki kekayaan sosiobudayanya yang belum diterokai secara total.
Dalam bidang kesusasteraan Melayu khususnya, Dialog Boreneo-Kalimantan ini sebenarnya ingin melahirkan penulis, penyair, pengkaji sastera mahupun budayawan berani tampil menjadi wadah kepada penduduk di wilayah ini, dan seterusnya menuangkan segala kekayaan kesusasteraan itu melalui apa jua bentuk media penulisan.
Sebanyak 15 kertas kerja yang berkisar permasalahan dan cabaran dunia kesusasteraan disampaikan dengan begitu menarik oleh pemakalah khas dari setiap negara.
Menteri Hal Ehwal Agama Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato’ Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin dalam ucap utamanya menyatakan penggiat sastera hari ini bertanggung jawab untuk mengangkat martabat kesusasteraan sedaya mungkin memandangkan generasi hari ini mula meminggirkan bidang kesusasteraan.
Selaras dengan matlamat penganjuran Dialog Borneo-Kalimantan kali ini iaitu untuk mempertemukan sasterawan, seniman juga budayawan serta menjalinkan kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan serumpun antara tiga negara leluhur melayu iatu Malaysia, Brunei dan juga Indonesia ternyata mampu menyuntik semangat baru kepada ahli Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) yang turut menjadi delegasi selama tiga hari itu.
Kejayaan Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei (ASTERAWANI) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program bertaraf antarabangsa ini menjadi wadah kepada PEKASA untuk lebih maju dan berjaya pada masa akan datang.
Di samping itu, Ketua Satu PEKASA, Ja’afar Hamdan ketika dalam sesi pembentangan kertas kerjanya turut menyatakan bahawa kegiatan kesusasteraan sepatutnya selaras dengan tuntutan zaman supaya mampu menarik minat golongan muda untuk melibatkan diri dengan dunia kesusasteraan dan penulisan.
Tambahnya, hal ini sebenarnya mampu mengangkat nilai sastera itu sendiri agar tidak tenggelam dengan peredaran zaman.
Lebih membanggakan apabila Dialog Borneo-Kalimantan ke IX kali ini dirasmikan sendiri oleh Yang teramat Mulia Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzadin Waddaulah.
(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, 16 Ogos 2007)
No comments:
Post a Comment