SEMINAR Kesusasteraan Nusantara di Kuala Lumpur yang berlangsung pada April 1973 adalah perintis kepada satu era baru dalam tradisi pertemuan para sasterawan dan budayawan dari negara- negara wilayah Nusantara.
Menurut Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ismail Hussein, apabila cadangan mengadakan pertemuan seperti itu diusulkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, ia adalah didasari oleh kesederan selepas berlakunya penyatuan ejaan Malaysia-Indonesia pada Ogos 1972.
"… bahawa kemestian penyatuan isi bahasa itu sendiri perlu dilaksanakan agar lebih kukuh kesusasteraan dan kebudayaan kita," katanya.
Terlaksananya ejaan bersama Malaysia-Indonesia itu, tidak syak lagi merupakan satu kejayaan yang penting dalam usaha untuk menyatukan semula Bahasa Melayu di Nusantara. Kejayaan ini juga dengan sendirinya telah mengangkat kedudukan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting di Asia Tenggara.
Namun, penyatuan ejaan semata-mata tidak membawa sebarang makna sekiranya bidang penulisan dan karya yang terhasil dari bahasa yang sama itu tidak dapat dikembangkan selari dengan perkembangan zaman.
Pada titik inilah jelas terlihat peri pentingnya peranan kesusasteraan dan di bahu penulis serta sasterawan terpikul amanah untuk meningkatkan darjat kesusasteraan. Sememangnya sasterawan adalah penggerak utama ke arah perkembangan Bahasa Melayu di Nusantara.
Oleh yang dmeikian, amatlah wajar dikumpulkan golongan ini untuk berbicara, berdiskusi dan menyelamu permasalahan yang wujud demi meningkatkan martabat kesusasteraan. Hasilnya, terciptalah sejarah apabila Singapura merintis laluan pertama selaku tuan rumah Pertemuan Sasterawan Nusantara pada 24 hingga 26 Disember 1977.
Penyataan-penyataan yang lahir daripada pertemuan itu telah menjadi panduan untuk mengadakan pertemuan-pertemuan seterusnya. Antara lain, sedar akan adanya ikatan dan hubungan sejarah rumpun bangsa dan kebudayaan yang berabad lamanya terjalin antara masyarakat di Nusantara.
Kesedaran tentang keperluan memperteguhkan kembali ikatan dan hubungan tersebut kepada satu bentuk baru untuk kepentingan kebudayaan Nusantara dan kesedaran tentang keinginan yang sama antara penulis dan hak mereka untuk mewakili masyarakat membangkitkan persoalan kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Sebagai budayawan dan sasterawan, persoalan untuk menentukan corak perubahan masyarakat perlu terus difikirkan sebagaimana kehebatan saintis, ahli eknomi dan ahli politik melakukannya.
Sekiranya dilihat, kemajuan manusia diukur berdasarkan penyelidikan, statistik dan graf kemajuan sebaliknya sastera dan budaya menggunakan daya intelek, seni dan rohani dengan mengahasilkan karya bermutu bagi mengimbangi kemajuan material.
Justeru, Pertemuan Sasterawan Nusantara tidak hanya membangkitkan kekuatan dan keazaman baru, malah tindakan bersama dapat dirancang bagi memperkayakan kebudayaan Nusantara.
(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, 9 Ogos 2007)
No comments:
Post a Comment