oleh RADIN AZHAR AHMAD
Pohon buluh kayu meranti,
Akarnya sasa batangnya lurus,
Patah tumbuh hilang berganti,
Perjuangan bahasa lanjutkan terus.
UMUMNYA, Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) diselenggarakan untuk mempersegar semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa Melayu. Juga untuk memperkukuh kembali keyakinan terhadap keupayaan dan potensi bahasa kebangsaan sebagai bahasa sosial dan perpaduan, serta bahasa ilmu dan pengucapan budaya tinggi.
BBSN yang merupakan pengisian, penjiwaan dan penghayatan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan ini digerakkan dengan empat objektfi utama iaitu pertama, memantapkan, memperkukuh dan menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan.
Kedua, mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa Melayu; ketiga, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; dan keempat, menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.
Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr. Firdaus Haji Abdullah, BBSN adalah kemuncak kegiatan DBP setiap tahun untuk memperkasa bahasa dan sastera kebangsaan.
DBP katanya, telah terlibat dalam gerekan tersebut sejak zaman Allahyarham Tun Syed Nasir pada 1960-an yang terkenal dengan Gerakan Minggu Bahasa Kebangsaan.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penangguhan BBSN Peringkat Kebangsaan di salah hotel terkemuka di Kuching, baru-baru ini yang dilakukan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Sepanjang hampir 40 tahun yang lalu, gerakan ini diteruskan dengan menggunakan berbagai–bagai panggilan; Minggu Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (1996-2005) dan Minggu Sastera Negara (1987-1998).
Sejak 1999, gerakan ini diberi nama dan format baru, iaitu BBSN. Pada 2007 ini, BBSN mendapat status dan peranan baru sebagai satu program utama dalam teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), iaitu Membina Negara Bangsa.
Dato’ Firdaus menjelaskan, untuk menjayakan BBSN 2007, satu sinergi dan satu bentuk kerjasama yang istimewa telah terjalin antara DBP dengan Kerajaan Negeri Sarawak, dengan merujuk kepada Majlis Penangguhan BBSN 2007 oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Juga perlancaran Hari Semarak Bahasa di Stadium Bandaraya Kuching Selatan yang oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Hon Choon Kim yang dipancarkan serentak ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
Katanya, peranan membina ‘Negara Bangsa’ dalam konteks PIPP sebenarnya adalah kelanjutan daripada peranan dan tanggungjawab DBP semenjak kelahirannya setengah abad yang lalu, iaitu menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan membina jati diri bangsa.
"Malah lebih dari itu, DBP dan kita (masyarakat) juga bertanggungjawab untuk memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu pengetahuan, berupaya menyahut tantangan dan tuntutan dunia moden hari ini.
"Memandang jauh ke hadapan, kira mahu bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa pengucapan budaya tinggi dan berupaya pula mengungkapkan dan membincangkan konsep-konsep terkini yang abstark, di samping berupaya menghasilkan karya sastera yang bernilai tinggi.
"Semua ini kita lakukan dengan kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk memberi pengisian dan penjiwaan terhadap peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita yang merdeka dan berdaulat.
"Sewajarnya kita semua menyedari tugas dan tanggungjawab kita untuk pengisian dan penjiwaan terhadap peruntukan 152 ini supaya ‘kata-kata keramat’ dalam perlembagaan yang luhur itu tidak menjadi kata-kata kosong yang akan menjadi kata-kata cemuhan dan bahan ketawa mereka yang ingin memperlekeh bahasa kebangsaan kita yang sewajarnya disanjung dan dihormati."
Katanya, jika beberapa tahun sebelum ini, bahasa kebangsaan menghadapi ketidakpastian akibat pudarnya keazaman politik, namun sejak akhir-akhir ini, keazaman politik telah dipersegar dan dicergaskan semula.
Keazaman itu jelasnya, ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam perutusan Hari Semarak Bahasa bahawa kerajaan tetap mempunyai kesungguhan dan komitmen untuk memperkukuh dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
"Menteri Pelajaran menegaskan bahawa pucuk pimpinan negara tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Melayu, walaupun sesetengah pihak membuat tohmahan. Kementerian Pelajaran tetap berazam untuk meningkatkan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, di samping menyemarakkan penggunaan bahasa ini dalam ranah yang lain bagi memperkasakan kedudukannya," ujarnya.
(Utusan Sarawak, 22 November 2007)
No comments:
Post a Comment