Masa depan, jati diri sastera Malaysia

oleh RADIN AZHAR AHMAD

GLOBALISASI telah banyak diperkatakan, tetapi wajah glaobalisasi itu tidak dapat dirincikan dengan sempurna. Pelbagai perubahan telah berlaku dalam sejarah peradaban manusia, tetapi ciri-ciri penerusan budaya lama terus diamalkan. Hal ini yang terus kekal sebagai jati diri setiap masyarakat.

Negara-negara bangsa moden di Asia Tenggara muncul kesan penjajahan barat dan mengambil bentuknya sekarang lepas Perang Dunia Kedua. Malaysia sebagai negara bangsa muncul dengan wajahnya sekarang pada 1963 dengan mengambil bentuk persekutuan.

Dalam memperkukuh jati diri negara bangsa, nasionalisme amat pentingm, kata Prof Madya Dr Mohd Isa Othman menjelaskan ‘Globalisasi: Cabaran, Jati Diri dan Masa Deoan Sastera’ pada Pertemuan Sasterawan Nusantara baru-baru ini.

Sastera Melayu katanya sejak zaman penjajahan memainkan peranan penting sebagai medium menyebarkan pemikiran batu dan meniupkan semangat di kalangan masyarakat terdidik.

Pengarang-pengarang Melayu rata-ratanya bukan dari kelas bangasawan lebih memberi tumpuan kepada kalangan rakyat bawahan dan menggunakan bahasa Melayu.

Katanya, Virginia Matheson Hooke menggolongkan kelompok ini sebagai ‘nasionalisme budaya’, tetapi turut merujuk kelompok ini sebagai etnonasionalisme.

Pengarang-pengaran Melayu jelasnya perlukan jati diri sebagai pengesahan diri, pengenalpastian diri dan menguatkan keyakinan diri sebagai orang Melayu.

Mohd Isa menjelaskan, bagi membangun dan membangkitkan semangat nasionalisme ini, pengarang Melayu telah menggilap kembali retorik lama dan mencipta retorik baru dalam membina kasih sayang, persaudaraan, pengorbanan dan lain-lain berhubung cinta-etnik.

"Jelaslah, nasionalisme anti penjajahan bermula dengan domain dalaman yang mengandungi tanda-tanda identiti budaya yang penting seperti bahasa dan agama.

"Semangat ini perlu dimantapkan oleh domain dari luar yang berkaitan ekonomi, tatanegara, sains dan teknologi," katanya.

Acuan bangsa yang lain ujarnya, turut membentuk jati diri kepengarangan, termasuk dasar bahasa, agama, budaya, ekonomi dan sebagainya.

"Contohnya, jika dasar sastera kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu mula diketepikan, maka wajah sastera Melayu masa depan mungkin akan berundur ke khalayak tradisinya.

"Hal ini juga akan terjadi jika bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu atau mata pelajaran kesusasteraan Melayu sudah terpinggir atau dipinggirkan," tambahnya.

Citra jati diri masa depan juga katanya, akan terus bergantung kepada individu pengarang. Karya sastera secara berterusan terpaksa mengiktiraf jati diri individu pengarang.

Katanya, "Dalam hal ini, Hashim Ismail menganggap, mereka (pengarang) mengarang dan terus mengarang sehingga jati diri itu tidak lagi dibentuk-bentuk, tetapi tanpa disedari jati diri itu sendiri yang muncul menjadi jati diri mereka yang dapat pula dilihat dan dinilai oleh orang lain tentang keaslian rohani dan jasmani jati diri tersebut."

Sepanjang pengalaman sejarah manusia, ujarnya, proses perbubahan terus berlaku. Biarpun begitu, kerangka asas yang menjadi jati diri setiap bangsa terus dipertahankan.

"Pengarang yang menjadi salah seorang ahli masyarakatnya terus berada dalam acuan tersebut, bahkan merekalah pemegang amanah rohani dan jasmani jati diri bangsanya," jelasnya.

(Utusan Sarawak, 15 November 2007)

No comments: