Pantun, bermukun dalam budaya Melayu Sarawak
SEMINAR Budaya Melayu Sarawak Ke-5 telah bermula Khamis dan akan berakhir pada hari ini (Sabtu). Dengan tema Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas, tiga objektif yang didasarkan.
Pertama, membincang dan menilai secara kritis sejarah kemajuan dan perkembangan masyarakat Melayu Sarawak dalam bidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosio-budaya, kesenian dan politik Sarawak.
Kedua, mengenalpasti dan menetapkan dengan penuh rasa yakin kebermaknaan dan sumbangan masyarakat Melayu Sarawak dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia amnya dan wajah serta imej anak Sarawak khasnya.
Ketiga, menampilkan pelbagai aspek kesenian, dan kebudayaan masyarakat yang unik dan bernilai budaya tinggi.
Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan. Mengenai Dengan makalah Kias dan Ibarat Dalam Pantun Melayu: Nilai Pendidikan dan Teladan, Hazami Jahari daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menjelaskan, pantun yang dikatakan seni sastera yang paling tua dan asli bagi masyarakat Melayu telah memainkan peranan yang bukan sedikit kepada tamadun Melayu sejak zaman-berzaman.
“Namun pada hari ini, pantun sudah mula dilupakan oleh generasi muda dan peranan pantun juga sudah tidak dipedulikan lagi. Maka adalah penting untuk kita menghidupkan kembali seni berpantun dalam kalangan masyarakat demi kelangsungan seni yang sangat indah ini.”
Katanya, dalam sastera Melayu unsur kias dan ibarat begitu banyak digunakan bagi menyampaikan perasaan dan fikiran.
Penggunaan kias dan ibarat itu jelasnya bermula dari tumbuhnya hasil-hasil sastera masyarakat Melayu lama hinggalah ke zaman moden – kias dan ibarat menjadi alatan sastera yang penting dan menjadi cirri khas kepada sastera Melayu.
“Unsur bahasa yang istimewa ini memberi keindahan dan kehalusan tersendiri kepada sastera Melayu kerana sesuatu pernyataan perasaan dan fikiran hanya akan dikemukakan dalam bentuk yang tidak langsung, tidak menyinggung perasaan tetapi tepat kepada makna dan tujuannya.”
Penggunaan kias dan ibarat dalam sastera Melayu juga membuktikan ketinggian intelektual seniman, pemikir dan pendeta Melayu zaman lampau dalam mengungkap pengalaman dan pandangan hidup mereka.
Perasaan dan pemikiran katanya ditapis, dilindung dan disamarkan dengan indah untuk memberikan permainan rasa, ujian minda dan simpang siur makna.
“Proses pencarian makna, penaksiran maksud sekali gus mengajak masyarakat bersama mengembara ke dunia samar yang rahsia itu, membaca lambang, membanding-tara antara dua keadaan dengan kenyataan yang sebenar.”
Sementara itu, Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan membincangkan “Bergendang dan Bermukun Dalam Masyarakat Melayu Sarawak” pula menjelaskan, daripada kajian, walaupun terdapat peratusan yang tinggi mengatakan pernah dengar tentang bergendang dan bermukun dalam masyarakat Melayu Sarawak, berbanding mereka tidak pernah dengar dan tidak tahu, terdapat perkara yang lebih membimbangkan.
“Terdapat faktor yang akan menyumbang ke arah kelenyapan bergendang dan bermukun terutama perihal penglibatan dalam majlis bergendang dan bermukun.
“Cuma segelintir yang yang mengatakan mereka pernah berada dalam majlis bergendang dan bermukun sementara kebanyakan mengatakan tidak pernah berada dalam majlis ini.”
Seperkara lagi katanya, walaupun dalam konteks kontemporari atau moden kini, didapati seni ini Cuma hadir di corong-corong radio atau juga dipersembahkan di pentas budaya.
“Maklum balas daripada responden tentang hal ini memberi kesedaran bahawa masih ada yang mahu aktiviti bergendang dan bermukun ini kekal sebagai budaya unik masyarakat Melayu Sarawak walaupun terdapat pandangan bahawa aktiviti ini tidak lagi popular.”
UTUSAN SARAWAK, 21 MAC 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
kertas-kertas kerja dalam persidangan ini ada dibukukan ke?
Post a Comment