Mengangkat rumpun Melayu Nusantara


RADIN AZHAR AHMAD

PERTEMUAN Sasterawan Nusantara Ke-14 yang bertemakan "Citra Mahawangsa dalam Sastera Nusantara" yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia berjaya menghimpunkan 300 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand dan Sri Lanka. Pertemuan selama tiga hari itu turut diselenggarakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Dan, diselaraskan pula oleh Majlis Sasterawan Nusantara.

Keseluruhannya, pertemuan tersebut lebih menjurus kepada perbincangan tentang bahasa Melayu, peranan negara rumpun Melayu diseleraskan oleh Majlis Sasterawan Nusantara, selain mengadakan lawatan sekitar negeri Kedah. Beberapa kertas kerja turut dibentangkan. Dato’ Dr. Siti Hawa Salleh yang menyampakan ucap tama pada malam perasmian membincangkan ‘Tradisi Mahawangsa di Nusantara: Putera-Putera Emas Negeri Kedah Darul Aman’.

Katanya, "Dalam suasana meriah menyambut ulang tahun ke-50 Malaysia mencapai kemerdekaan, ingatan kita mestilah juga ditumpukan kepada sumbangan beberapa Putera Emas yang berasal dari Kedah. Berfikir secara insan yang lemah, tertanyalah di dalam hati. Bukankah Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj itu adinda Sultan Badlishah? Bukankah Tun Dr. Mahathir Mohamad berasal dari Kedah? Senarainya terlalu panjang tetapi itulah makna ‘Tradisi Mahawangsa di Nusantara’ dan itulah sumbangan Kedah kepada penerusan ‘Tradisi Bangsa Agung’."

Seterusnya, beliau menjelaskan, kerajaan Melayu lama mencatat perjalanan sejarahnya sendiri dalam masa yang panjang, mengamalkan sistem pentadbiran, perhubungan dan pertahanan dengan caranya sendiri. Hampir setiap kerajaan Melayu lama ini mempunyai catatan sejarahnya yang ditulis dengan tujuan meninggalkan maklumat tersebut kepada generasi terkemudian, memaklumkan kepada mereka apa yang telah dialami oleh nenek moyang mereka seperti yang terbentang dalam Sulalat al-Salatin yang disempurnakan oleh Tun Seri Lanang pada 1612.

"Daripada hasil penulisan sejarah tradisional yang sekarang diisytihar sebagai perbendaharaan Nusantara bertaraf klasik, dapat disimpulkan bahawa penulisan karya-karya ini adalah tugasan khas pujangga istana yang amat faham dan sedar akan tanggungjawabnya." Jviddy AD Daery dari Jakarta, Indonesia pula mengetengahkan ‘Gajah Mada" Sang Pahlawan Agung Nusantara – Dalam Telaah Sastera Nusantara’. Jelasnya, ketika penjajah Belanda merampas dan membakar Istana Puri Cakranegara di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 1894, ditemui Kitab Deswarnana (kemudiannya dikenali sebagai Kitab Negarakertagama) dalam harta rampasan. Kitab ini karya Empu Prapanca, iaitu nama samaran Dang Acarya Nadendra, salah seorang pendeta Buddha dari Istana Majapahit.

"Itulah karya sastera pertama dan paling lengkap bercerita mengenai kejayaan Kerajaan Majapahit yang selama itu(hingga 1894), belum banyak diketahui secara mendalam. Cuma disebut sepintas lalu di berbagai prasasti batu bersurat, juga pada buku sastera kuno di dunia Melayu Nusantara seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai dan Hikayat Banjar dan Kota Waringin.

"Negarakertagama’ digubah pada 1365, setahun setelah Gajah Mada mangkat. Naskhah ini 80 peratus menceritakan keagungan Kerajaan Majapahit Raya yang kekuasaannya dari Tanah Segenting Kra hingga hujung pulau Papua-Irian, bahkan ke Filipina. Dalam 80 peratus itu, banyak memuji dan melaporkan perjalanan Prabu Hayam Wuruk mengelilingi Jawa Timur dan Jawa Tengah.

"Ini kerana naskhah ini sebuah ‘Sastera Puja’ atau sastera persembahan kepada Baginda Hayam Wuruk, agar Sang Prapanca diangkat kembali menjadi pejabat tinggi agama Buddha di istana. Jadi, naskhah ini ditulis selepas Dang Acarca Nadendra dipecat dari jabatannya di Istana Majapahit, lalu melarikan diri ke desa sepi di Bali (kemungkinan di daerah Karang Asem, Bali). Di sinalah naskhah hebat ini ditulis."

Pemakalah dari Yakis, Thailand, Haji Mohd Suhaimi Ismail Awae yang membincangkan ‘Sastera dan Kebudayaan Dalam Pemodenan Bangsa’ berkata, "Apa yang perlu kita lakukan untuk pemodenan bangsa ialah; pertama, bangsa Melayu hendaklah menjadi bangsa pencipta kemajuan dengan acuannya tersendiri. Bidang yang penting untuk dimajukan ialah kekuatan manusia sebagai modal insna."

Kedua, katanya, wujudkan rangkaian kerjasama bangsa berbahasa Melayu di seluruh dunia untuk memantau hal-hal sastera dan kebudayaan sebagai langkah standardization dan uniti. Ketiga, mewujudkan majlis penyelidikan dan kegiatan penghasilan penerbitan ilmu atau ilmiah dalam bidang sastera dan budaya; dan keempat, para pemimpin seharusnya memimpin dialog budaya supaya kerap diadakan secara bergilir-gilir.

Dengan judul ‘Golongan Elit dan Sajak Islam di Negara Brunei Darussalam’, Profesor Madya Dr. Haji Hashim Haji Abd. Hamid pula menjelaskan, "Kita tidak dapat menafikan bahawa menteri mempunyai peranan dan iltizam dalam berdakwah melalui karya sastera kreatif, iaitu sajak. Malah ada antara mereka terutama Shukri Zain dan Adi Rumi menulis drama yang menonjolkan keagungan Islam, pahlawan Islam dan sejarah Islam yang bertapak dan berkembang di tanah air."

Katanya, kelahiran sajak Islam/dakwah yang ditulis oleh menteri adalah sesuatu yang patut dan wajar kerana mereka golongan agama yang mempunyai pengaruh atau dipercayai. Dan, penglibatan menteri dalam berdakwah melalui sajak menggambarkan bahawa gerakan dakwah yang terdahulu dan hingga kini bukan lagi diarahkan melalui jalur di peringkat massa atau golongan rakyat atau penyair biasa.

"Malah, golongan elit juga memainkan peranan yang penting untuk sama-sama menangani, menyebarkan dan mengukuhkan Islam sebagai agama rasmi di Negara Brunei Darussalam khasnya dan dunia Melayu amnya."

Profesor Dr. Setya Yuwana Sudikan dari Dewan Kesenian Jawa Timur, Indonesia dengan judul ‘Menguak Kepahlawanan Syaikh Siti Jenar Dalam Trilogi Novel Syaikh Siti Jenar Agus Sunyoto’, berkata, "… jika kita sepakat dengan apa yang diungkapkan Rendra bahawa sasterawan merupakan agen kontemplasi kehidupan, maka trilogi Syaikh Siti Jenar sesungguhnya hasil kesedaran keagamaan penulisnya. Kesedaran kontemplasi itu sendiri meliputi kesedaran agama, agar, magik dan alam semesta."

"Sehingga trilogi itu juga mengandungi rahsia dan alam ghaib, kesucian agama, magik dan alam. Dalam konteks mutakhir, seniman dalam kesedaran kontemplasi, juga harus mengenal dimensi politik, sosial, ekonomi, dan kekuasaan. Semuanya diketengahkan dalam trilogi Syaikh Siti Jenar dengan naratif, simbolik, metafora, historik dan sufistikatif."


bersambung minggu depan

(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, Khamis, 2 Ogos 2007)

1 comment:

Saiee Driss said...

Semasa masih diberi ruang dan peluang laksanakan tugas dengan ikhlas dan jujur.

Kelak akan tiba masanya, apa yang anda tulis kini menjadi rujukan dan asas penilaian apabila ada yang mahu mengukur pencapaian zaman.

Teruskan dengan yakin dan pasti,

Pak wa