Perlukah istilah Penulis Pelbagai Kaum?



PENULIS Pelbagai Kaum atau penulis Sastera Kebangsaan? Dua istilah yang berbeza tetapi menghimpun penulis yang sama, yang menghasilkan karya dalam medium bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu ataupun bahasa Malaysia, atau juga dikenali sebagai Bahasa Kebangsaan.

Jika istilah penulis Sastera Kebangsaan sudah diterima pakai oleh seluruh Malaysia, mengapa pula perlu diwujudkan istilah Penulis Pelbagai Kaum; lebih-lebih lagi jika penterjemahan perpaduan bangsa Malaysia dijadikan asas dalam berkarya?

Perkara ini difikirkan apabila kali menerima surat undangan menghadiri Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008 yang bermula 12 hingga 14 Disember lalu. Sekitar 100 penulis yang datangnya dari pelbagai kaum hadir.

Ketika kolokium, soalan ini cuba penulis ketengahkan dengan bertanya kepada pemakalah tetapi dibenam sahaja dalam fikiran, kerana ketika pembentangan makalah, suasana sudah menjadi panas dengan pelbagai isu yang diutarakan oleh pemakalah serta peserta.

Oleh itu, di luar dewan kolokium, pemakalah tadi menjadi sasaran. Jaya Ramba yang merupakan penulis berketurunan Iban menjelaskan, “Perlu wujud. Apabila tidak diwujudkan, kebanyakan penulis pelbagai kaum akan ketinggalan. Kalau tidak diwujudkan, maka penulis yang mantap dari segi pembentangan makalah mungkin tidak diberi peluang.”

Katanya, kalau diwujudkan penulis pelbagai kaum, mereka akan diberikan peluang membentangkan kertas kerja dan diberikan peluang juga sebagai peserta.

“Saya rasa istilah Penulis Pelbagai Kaum perlu wujud sampai bila-bila. Biarlah matlamatnya boleh menghimpunkan penulis pelbagai kaum terutamanya dari Sabah dan Sarawak yang memiliki etnik yang begitu banyak.

“Kita harus bezakan. Kita tidak mahu penulis pelbagai kaum dijadikan sebagai penulis Malaysia secara total. Penulis pelbagai kaum walaupun dia menulis dalam bahasa Malaysia, dia tetap berbangsa Iban, Bidayuh, Kayan, Bisaya dan sebagainya. Bagi saya, yang elok ialah Penulis Pelbagai Kaum walaupun dari konteks besar dia adalah penulis Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan.”

Mengulas hal ini, Jeniri Amir yang berketurunan Melanau menjelaskan, dia tidak melihat dirinya sebagai penulis Melanau. Sebaliknya lebih suka kepada penulis yang menyumbang karya dan menulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Kebangsaan.

“Walaupun kita akui wujudnya masyarakat berbagai kaum di Malaysia, saya fikir kita tidak perlu mengasing-asingkan lagi kerana kita seharusnya mengungkapkan karya dalam bahasa Melayu. Lagipun, kita lihat sekarang yang dominan ialah kaum-kaum tertentu sahaja.

“Penulis dari pelbagai latar belakang adalah rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Jadi, saya fikir konsep dan istilah itu (penulis pelbagai kaum) tidak perlu digunakan lagi. Setiap rakyat Malaysia walau dari mana pun, harus menyumbang ke arah memantapkan dan mempelbagaikan karya dalam bahasa Melayu.

“Kriteria ialah dari latar mana sekalipun penulis itu, akhirnya yang dilihat ialah keupayaannya mengungkapkan dirinya dalam bahasa Melayu yang baik. Lagipun, kita sudah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun dan apa yang hendak kita capai ialah bangsa Malaysia yang tulen.”

Jeniri menjelaskan, jika penulis diasing kepada kaum tertentu, seolah-olah hendak memecahkan penulis kepada pelbagai kelompok walhal yang penting ialah sumbangan mereka dan mutu karya yang dihasilkan penulis itu tanpa mengira kaum.

Sementara itu, Hazami Jahari berkata, “Saya secara peribadi memang tidak bersetuju. Dalam konteks sastera, kita tidak boleh memecahkan penulis kepada suku kaum. Ini kerana bahasa yang digunakan dalam sastera sudah menunjukkan bahasa Melayu. Idea dan pemikiran pun dalam kelompok Melayu dalam pengertian yang besar.”

Jelasnya, jika adanya sastera pelbagai kaum, seolah-olah ada pemisahan antara sastera kebangsaan (berbahasa Melayu) dengan sastera yang boleh difahami mengikut bahasa sukuan.

Sekarang kata Hazami, penulis bukan Melayu sudah setanding dengan penulis keturunan Melayu, dan kualiti karya, sudah tidak ada beza lagi.

“Tidak perlu lagi difikirkan adanya satu bahagian pengelompokan penulis pelbagai kaum yang seolah-olah membezakan penulis Melayu dengan bukan Melayu.

“Kita sudah ada istilah mantap iaitu Sastera Kebangsaan. Terasnya ialah bahasa Melayu. Kita tidak perlu menggunakan penulis pelbagai kaum tetapi Sastera Kebangsaan yang terus dirujuk kepada sastera berbahasa Melayu. Kita mengambil konsep yang sama dengan Kebudayaan Kebangsaan.”

Pemeneng S.E.A. Write Award yang berketurunan Cina, Jong Chian Lai memberitahu, Sastera Pelbagai Kaum semacam meletakkan sebagai satu kumpulan minoriti – tidak diletakkan dalam Sastera Kebangsaan.

“Kalau boleh kita tidak mahu gunakan Sastera Pelbagai Kaum. Jadi tidaklah kita terdengar suara-suara mengatakan Sastera Pelbagai Kaum ini sebagai sastera minoriti, tidak dianggap sebagai Sastera Kebangsaan.”

“…kita tidak mahu Sastera Pelbagai Kaum. Kalau boleh yang ditulis oleh etnik lain dianggap sebagai Sastera Kebangsaan sebab ditulis dalam bahasa Melayu.

Penyair, Saiee Dris dengan nada tegas berkata, “Perlu atau tidak perlu Pelbagai Kaum diwujudkan? Hakikatnya memang ada penulis yang berbilang kaum. Apakah kita mesti menegaskan kepelbagaian itu?”

Setiap kali ditegaskan, penulis akan berhadapan dengan suasana orang yang cuba mengekalkan/mempertahankan wujudnya Penulis Pelbagai Kaum, sedangkan pelbagai kaum ini memang sudah wujud lama tanpa disedari ataupun disedari tetapi dihebohkan.

“Kenapa kita mesti hebohkan? Itu satu hal. Saya rasa semakin kita heboh, semakin wujud rasa perbezaan. Ini menimbulkan suasana pengkaryaan yang akhirnya mencari perbezaan sedangkan kita harus mencari persamaan.

Saiee menentang pencarian perbezaan. Kalau menegaskan perbezaan, walau adapun perbezaan anggaplah perbezaan itu yang boleh dimanfaatkan. Bukan perbezaan yang mesti dipertahankan hingga orang lain tidak boleh masuk.

“Inilah masalahnya. Kita harus ingat semakin global dunia, semakin ada usaha untuk menyatupadukan. Maka setiap orang akan berusaha untuk menentukan individualitinya. Ini faktor yang harus kita ingat.

“Saya rasa wujud atau tidak (Penulis Pelbagai Kaum) adalah perkara yang harus kita fikirkan. Kita mahu buat apa jika diwujudkan? Kalau sekadar mengisi keperluan politik, itu tidak payah. Kalau dengan menentukan kewujudan itu akan meningkatkan kualiti, menentukan karya itu bertambah banyak, mengetengahkan kepelbagaian tema, itu ok.”

Kewujudan istilah Penulis Pelbagai Kaum kata Jais Sahok pula adalah kerana pada peringkat awal diwujudkan hadiah galakan sastera.

Cuma pada hadiah galakan sastera difikirkan, diwajarkan dan dikertas kerjakan. Kemudian apabila dipertimbangkan di peringkat Sarawak sahaja.

Sastera sukuan perlu diwajarkan juga tetapi selepas pemberian kali pertama dan kedua, kali ketiga sudah kehilangan sastera bahasa sukuan itu, maka hampir ditiadakan.

“Mulai sekarang orang sudah mula memikirkan untuk meniadakannya. Pada pendapat saya pada peringkat awal dulupun sudah perlu ditiadakan, namun pertimbangan ketika itu ialah politik jaga hati, atau jaga kewajaran. Saya kira bukan jaga kewajaran tetapi jaga hati, iaitu lebih kepada perspektif sosio-politik. Dalam satu entiti Malaysia, bagi saya tidak perlu.”

(Utusan Sarawak, 17 Disember 2008)

No comments: