RESOLUSI KOLOKIUM PENULIS PELBAGAI KAUM 2008

KUCHING, Ahad – Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Sastera Kebangsaan harus dijadikan asas, pegangan, prinsip dan akar kepada gerakan penulis menjadikan karya penulis yang pelbagai latar diterima sebagai karya milik bersama rakyat Malaysia.

Pengurus Projek Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008, Ja’afar Haji Hamdan berkata, konsep Sastera Kebangsaan harus diperkemas dan dipeluaskan supaya ia lebih bersifat sejagat dan sezaman.

Menurutnya, pertemuan dalam kolokium itu bersetuju agar definisi Sastera Kebangsaan ialah yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh karyawan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar dan ras etnik.

“Oleh itu, beberapa pendekatan perlu diambil. Antaranya ialah Dasar Pendidikan Negara khususnya kurikulumnya harus memberi penekanan hasil daripada sastera etnik di dalamnya. Tidak sekadar berbentuk tempelan agar unsur-unsur polemik pembahagian etnik dalam karya dan penulisan dapat diatasi dari generasi muda lagi.

“Sastera Kebangsaan harus diperluaskan maknanya dan tidak hanya berdasarkan kepada sastera Melayu menjadi asas agar nilai sastera kebangsaan itu dapat dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

“Justeru, dicadangkan agar diadakan satu perbincangan yang lebih serius oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), persatuan penulis, karyawan serta pihak yang bertanggungjawab,” katanya membentangkan Resolusi Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008 anjuran DBP dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) di sini hari ini.

Ja’afar menjelaskan, promosi tentang karya pelbagai kaum haruslah dipergiatkan sama ada menterjemahkan kembali sastera tersebut atau memperbanyakkan sastera pelbagai kaum dalam pelbagai kaedah dan bidang.

Resolusi itu katanya, turut mencadangkan diadakan perbincangan/diskusi sama ada berbentuk seminar atau kolokium untuk membincangkan atau menilai kembali secara serius kedudukan sastera/penulis pelbagai kaum dalam arus sastera kebangsaan.

“Sastera Kebangsaan harus mengaitkan ciri-ciri kepelbagaian kaum ke arah pembinaan warga Malaysia yang bersatu-padu.

“Dalam konteks ini, hasil karya haruslah mempunyai nilai keilmuan yang tinggi. Justeru, penulis harus berusaha mencari idea-idea baru dalam penulisan. Oleh itu, dicadangkan diwujudkan dan digerakkan kembali Unit Terjemahan Sastera Sukuan di DBP,” tambahnya.

Ujar Ja’afar, kolokium itu berpendapat agar definisi khusus tentang kepelbagaian latar penulis dan karya tidak dipolemikkan supaya keutuhan nilai sastera kebangsaan itu dapat dihayati dan diterima bersama oleh warga Malaysia.

Katanya, “Kolokium ini juga bersetuju bahawa hasil karya sebagai asas utama Sastera Kebangsaan, bukan bangsa atau ras etnik penulis tersebut.”

Pada masa yang sama jelasnya, penulis pelbagai kaum harus menjadikan hasil karyanya bersifat sejagat dengan mempunyai nilai ketamadunan tinggi dalam karya supaya karya-karya yang dihasilkan menjadi khazanah peradaban yang tinggi dalam negara.

“Justeru, dicadangkan agar DBP dan persatuan penulis harus seiring dan sentiasa menggembleng usaha untuk membina budaya berfikir dalam kalangan penulis dalam apa-apa juga pendekatan.”

Kolokium itu juga tambahnya, memohon agar Kementerian Pelajaran mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Ini kerana dengan dikembalikan fungsi bahasa Melayu dalam kedua-dua bidang tersebut, hasrat untuk membentuk masyarakat Malaysia yang mencintai dan menghayati nilai pusaka yang akan datang.

“Di samping itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi harus mewujudkan kembali pelajaran sastera secara khusus dengan meneliti dan menilai semula keperluan tersebut pada peringkat paling asas atau sekolah rendah dan di peringkat institusi pengajian tinggi,” katanya.

No comments: