DBP anjur pelbagai peraduan

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Peraduan Menulis/ Mengisahkan Semula Cerita Rakyat, Peraduan Menulis Esei Bahasa bersempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 kategori Cerpen, Peraduan Menulis Puisi 2008 serta Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007.

Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berkata, Peraduan Menulis/ Mengisahkan Semula Cerita Rakyat diakan dengan tujuan untuk memperoleh bahan cerita dalam bentuk bertulis untuk tujuan penerbitan, sama ada dalam bentuk buku atau makalah.

“Di samping itu, ia sebagai usaha pendokumentasian dan usaha menanam dan memupuk semula minat serta penghayatan orang ramai terhadap warisan sastera rakyat yang terdapat dalam pelbagai masyarakat dan budaya di negeri ini.

“Serta untuk menggalakkan bakat dalam penulisan semula bahan-bahan sastera rakyat,” katanya pada sidang media di DBP Cawangan Sarawak, semalam.

Menurutnya, cerita rakyat yang dikehendaki katanya, merupakan cerita asal-usul meliputi cerita seperti cerita asal-usul tempat (nama tempat), kejadian, benda/objek, amalan budaya dan sebagainya.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Disember 2008.

Peraduan Menulis Esei Bahasa bersempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara katanya pula diadakan untuk mencungkil dan menggalakkan perkembangan bakat penulisan khususnya yang berbentuk ilmiah dalam kalangan penulis-penulis tempatan.

Kedua, untuk memberi kesedaran dan menanamkan semangat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan.

Ketiga, untuk memperkayakan khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa kebangsaan di negeri ini.

Keempat, untuk memupuk dan mengembangkan upaya kerativiti dan daya fikir kritis penulis dalam mengupas isu-isu bahasa.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 1 Ogos 2008.

Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 kategori Cerpen yang turut dianjurkan bertujuan untuk mencungkil dan memupuk bakat dalam bidang penulisan daripada kalangan pelajar dan penulis muda.

“Serta menggalakkan minat terhadap bidang penulisan kreatif khususnya, serta mendapatkan bahan atau karya yang bermutu untuk tujuan dokumentasi dan penerbitan.

“Penyertaan untuk peraduan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di Sarawak. Tema adalah bebas, tetapi hendaklah sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan mana-mana kaum, kepercayaan dan budaya di negara ini.”

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Jun 2008

Peraduan Menulis Puisi 2008 yang juga tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2008 dianjurkan dengan objektif untuk mendapatkan bahan yang bermutu daripada para penulis bagi tujuan dokumentasi dan penerbitan.

Seterusnya, mencungkil bakat dalam bidang penulisan puisi daripada kalangan penulis Sarawak, serta menggalakkan minat terhadap penulisan puisi dalam kalangan penulsi di negeri ini.

Sementara Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007 diwujudkan untuk mencungkil bakat penulisan di kalangan pelajar dalam bahasa Melayu, menggalakkan dan memupuk minat pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif.

Selain itu, menggalakkan usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan pelajar dalam penerbitan majalah sekolah yang bermutu.

Juga untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pemupukan minat dan bakat para pelajar yang berkebolehan menghasilkan karya-karya yang bermutu, yang juga sebahagian daripada khazanah sastera dan ilmu negara serta penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pihak sekolah menerbitkan majalah sekolah yang bermutu.

“Hanya majalah tahunan rasmi sekolah terbitan tahun semasa yang layak dipertimbangkan. Jika majalah berkenaan diterbitkan dalam lebih daripada satu bahasa (pengantar), salah satu bahasanya mestilah berbahasa Melayu, dan kandungan bahasa Melayunya mestilah sekurang-kurangnya 60 peratus.”

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 2 April.

Borang boleh didapati di DPP Cawangan Sarawak atau muat turun melalui laman wed di alamat http://www.dbp.gov.my.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

No comments: