Sebelum Zohor penuh humor

RADIN AZHAR AHMAD

PEMENTASAN Teater Berkala anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak kembali. Satu berita yang begitu dinanti-nantikan oleh khalayak teater Sarawak, khususnya sekitar bandar raya Kuching. Untuk itu, pada 15 Mac ini, gabungan artis lama dan baru melalui Kumpulan Sanggar Teater Akar akan membuka gelanggang pementasan dengan mementaskan ‘Sebelum Zohor’.

Satu tajuk dengan penuh keagamaan, tetapi memaparkan banyak unsur humor dalam setiap gerak-geri lakonan. Menurut Pengarahnya, Ali Mohamad, drama pentas yang diadaptasikan daripada skrip ‘Kasanova’ karya Kalam Hamidi ini dari awal pementasan hingga akhir akan memaparkan latar belakang padang pasir.

“Walaupun berlatarbelakangkan padang pasir, namun drama pentas ini begitu dekat dengan kehidupan di sekeliling kita. Suasana ini diolah sesuai dengan kehidupan kita. Banyak konflik yang wujud.

“Teater ini tidak mengetengahkan kesan khas dan sebagainya. Sebaliknya, abang melihat teater ini sebagai drama pentas yang lebih berbentuk hiburan. Jadi, audiens yang hadir nanti pasti akan terhibur dengan gerak lakon di atas pentas kelak,” katanya.

Sehubungan itu, Ali mengharapkan setiap ahli produksi melaksanakan tugas (mementaskan teater) Sebelum Zohor dengan niat yang murni, dan tidak mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

“Ini bukan sahaja kepada ahli produksi teater ini. Sebaliknya kepada mereka yang terlibat dalam dunia teater. Teater adalah bidang yang kita minati dan dilaksanakan secara sukarela. Apabila kita suka, maka kita akan rela melakukannya.”

Ali mengharapkan kerjasama yang sebaik mungkin daripada penggiat teater agar menjayakan Pementasan Teater Berkala dengan sempurna. “Berjayanya pementasan bukan kerana hero, sebaliknya adalah disebabkan kerjasama semua.”

Sebelum Zohor akan dipentaskan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, 15 Mac ini, jam 8.00 malam. Semua penggemar teater dijemput hadir. Kemasukan adalah percuma.

Melihat kepada sinopsi, cerita rekaan ini berbentuk komedi yang mengisahkan seorang guru agama yang fanatik. Mempunyai seorang anak bernama Zulkifli yang mendapat pendidikan di Sekolah agama di Mesir. Zulkifli baru sebulan bekerja sebagai Ustaz di salah sebuah sekolah agama di bandar raya Kuching.

Pun demikian, kerana minat dan berbakat, Zulkifli telah melibatkan diri dalam kumpulan teater dan terpilih sebagai pelakon utama dalam teater berjudul Kasanova.

Ketika gambar Zulkifli tersiar dalam akhbar dan majalah untuk publisiti, dia menggemparkan penduduk kampungnya terutama keluarganya dan keluarga tunangnya.

Untuk mengatasi masalah iaitu bagi mengelakkan Zulkifli jatuh hati kepada heroin teater yang bernama Siti Norbaya seperti tersiar dalam akhbar, maka keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju memanggil Zulkifli pulang segera. Alasan yang diketengahkan ialah ayahnya “meninggal dunia” melalui panggilan telefon daripada ibunya sendiri, Mak Busu.

Apabila Zulkifli pulang, mereka merancang menangkap dan memaksa dia dinikahkan dengan tunangnya, Siti Maryam.

Namun rancangan “kawin tangkap” itu digagalkan oleh sahabat karib Zulkifli bernama Lebai Kidam. Dia terlebih dahulu menghubungi Zulkifli tanpa pengetahuan ayah dan ibunya.

Ketika Zulkifli pulang dengan Siti Borbaya semua terperanjat besar. Lebih-lebih lagi Zulkifli mengisytiharkan “Siti Norbaya” itu isterinya dan meminta Siti Maryam dimadukan. Majlis menjadi gempar. Siti Maryam dan keluarganya lari meninggalkan majlis. Ayah Zulkifli diserang sakit jantung lalu meninggal dunia.

Pelakon drama pentas ini ialah Ali Mohamad, Wezan Saili, Sarina Ibrahim, Dayang Rejemah.

(Utusan Sarawak, 13 Mac 2008)

No comments: