Kota budaya, citra sejagat: Kota bernama Malaysia

Sambungan minggu lepas

“… jika kita lihat aspek sejarah di Malaysia pula, latar belakang masyarakat majmuk kita dipengaruhi oleh elemen-elemen penjajahan dan pengalaman keperitan hidup masyarakat Tanah Melayu menjadi asas pegangan dan perpaduan di Malaysia,” kata Mohd Azri Ibrahim.

Katanya, pengalaman dijajah oleh Portugis, Bugis, Jepun dan British telah mengajar untuk bangkit dan bersatu-padu menuntut kemerdekaan dan seterusnya berusaha memajukan negara Malaysia.

“Perjuangan menentang penjajah dan permuafakatan politik antara kaum di Tanah Melayu adalah kunci kejayaan masyarakat majmuk di Malaysia dalam membentuk sebuah negara yang maju dan nilai-nilai hidup serta budaya yang dikongsi bersama serta dapat diterima oleh nasyarakat luar.”

Menurutnya, tidak salah jika dikatakan negara bangsa di Malaysia masih belum wujud dan masih dalam proses pembinaan.

“Jika Wawasan 2020 menjadi kenyataan, maka Malaysia masih ada masa untuk menyaksikan kewujudan negara bangsa (negara maju yang didokong oleh penerimaan masyarakat majmuk dan amalan budaya yang pelbagai) di Malaysia.

“Namun dalam pembinaan ini, kita sudah lihat kejayaan-kejayaannya seperti dalam aspek politik. Malaysia adalah antara negara yang paling berjaya dalam mengamalkan permuafakatan politik.”

Aspek Budaya

Jika dilihat dalam aspek sosial dan budaya, pelbagai program yang berbentuk nasional telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan program-program ini mendapat sambutan yang menyeluruh daripada semua kaum dan lapisan masyarakat di Malaysia.

“… rumah terbuka yang menjadi amalan setiap perayaan di Malaysia; setiap perayaan yang berasaskan kaum sedia menerima kunjungan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan kepercayaan, namun perasaan kecintaan terhadap Malaysai cukup mendalam,” jelasnya.

Daripada huraian itu, Mohd Azli Ibrahim menjelaskan, jelas bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan tetapi pada masa yang sama mempunyai banyak persamaan yang dapat dikongsi bersama oleh anggota masyarakat majmuk di negara ini.

“Penerimaan ini bermakna, nilai-nilai dan budaya hidup masyarakat di Malaysia telah dapat diterima oleh keseluruhan masyarakat di dunia; dalam semua aspek seperti politik, sejarah, budaya, sastera dan sebagainya.

“Oleh itu, aspek-aspek inilah yang menjadi asas kepada penyatuan masyarakat di Malaysia dan ditambah dengan membudayakan nilai-nilai dan cara hidup berdasarkan kepada kepelbagaian etnik di Malaysia.

“… dan ini diharapkan akan dapat menjadi pegangan setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum bagi memastikan pembentukan negara bangsa dan kota Malaysia yang sempurna menjadi kenyataan.”

Pada masa yang sama katanya, peranan Malaysia dan masyarakat Malaysia juga dapat memainkan peranan yang penting di pentas global.

Ini kerana nilai-nilai dan budaya majmuk yang diamalkan di Malaysia boleh diterima pakai untuk masyarakat tempatan dan juga untuk masyarakat antarabangsa.

“… penerimaan ini boleh dianggap berbentuk sejagat tanpa mengira sempadan negara, bangsa, kepercayaan dan keturunan.

“Ini kerana yang lebih penting ialah budaya dan cara hidup masyarakat kota di Malaysia dapat menyumbang kepada kebaikan negara Malaysia dan negara-negara luar,” jelasnya.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

No comments: