Ungkap pemikiran pelbagai kaum, latar

“KITA perlu meneliti semula kenyataan Profesor Tan Sri Ismail Hussein supaya dibuka bidang sastera kebangsaan supaya ia mengungkapkan pemikiran dan kosmologi pelbagai kaum dan latar budaya yang kelak mungkin asing bagi kerangka pemikiran kemelayuan yang selama ini sempit.”

Berkata demikian dalam makalahnya Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia: Satu Penilaian Semula, Saiee Driss selanjutnya menjelaskan, “Kita harus menilai dan menghargai aspek kemanusiaan di dalam karya bukan aspek eksetika yang sebenarnya disebabkan oleh kejahilan dan fikiran romantik kemelayuan intelek Melayu yang leka dengan konsep ketuanan yang semakin mencabar kesahihannya.”

Kata Saiee, kalau mahu sastera kebangsaan menjadi pemersatu pelbagai kaum, kita harus mengaut ciri-ciri kepelbagaian kaum warganegara Malaysia itu sendiri dan memberi layanan saksama terhadap semua persoalan dan masalah semua kaum itu.

Dengan kata lain, tambahnya, selain harus memperbanyakkan jumlah karya, harus diusahakan pengkayaan tematik sastera kebangsaan itu dengan weltachauung dan kosmologinya.

“Kalau kita dapat menerima karya barat dengan nilai dan minda kebaratannya, maka kita harus dapat menerima bidang kosmologi yang selama ini dilihat eksotik sebagai milik hakiki bangsa Malaysia dan sebahagian daripada budaya besar Malaysia yang boleh sahaja mempengaruhi keperibadian dan warna budaya Malaysia seluruhnya.

Menurutnya, lebih banyak toleransi diperlukan dalam membenarkan pengungkapan pemikiran dalam bahasa yang mungkin sekarang dilihat payah untuk diterima.

Misalnya, penggunaan istilah Tuhan dan Allah bagi konsep Tuhan Esa dan khutbah dan sembahyang kaum dan agama lain serta kitab mereka yang ada nilai sastera diterjemah dan dipopularkan dalam bahasa kebangsaan apakah dibenarkan oleh sastera kebangsaan wujud di dalam korpusnya yang mengupas tema selain Melayu?

“Ekoran itu nanti harus juga kita bersedia dengan kemasukan konsep, ikon, nilai dan imejan dari budaya dan suku lain itu berdiri setara dengan imej, ikon, dan konsep yang mungkin selama ini sakral bagi orang Melayu.

“Atau sebaliknya apa-apa yang sakral bagi masyarakat Melayu kerana sedemikian anggapan sekian lama tiba-tiba merosot kedudukannya apabila ia menjadi milik dan diguna setara oleh semua kaum penulis.

“Kalau dulunya amalan dalam main pateri, makyong dan sebagainya dilihat sebagai sakral dan ada nilai penyembahan, maka kini ada dalam dalang bukan Islam yang lulusan ASWARA dan akademi setaraf dengannya.

“Apakah kelak tidak mungkin ada orang bukan Melayu boleh bermain hadrah malah belajar membaca dan menyampaikan marhaban dan berzanji dan ada syair berzanji itu dibuka pintunya sehingga ada versi yang turut dicipta oleh bukan Islam atau bukan Melayu?”

Jelas Saiee, satu hal yang juga dipertimbangkan ialah wajarnya masyarakat penulis kebangsaan memisahkan diri daripada persempadanan maya politik dengan sedia menerima penulis dan karya dari mana-mana penulis tanpa mengira ideologi politik semasanya dan anutan spiritualnya.

Dengan kata lain katanya, pergerakan penulis haruslah mendominasikan politik dan orang politik, bukan menjadi pengikut. Hanya dengan itu barulah dapat disaringkan pemikiran dan nilai genius dan kebijakan sebenar dan universal dari kalangan sasterawan dan penulis yang tidak dipengaruhi oleh aura politik asabiah dan taksub terhadap ideologi sempit yang menyemputkan rasionaliti.

“Para penulis dan budayawan harus bertindak bijaksana dan seimbang serta holistic tanpa dapat dipengaruh oleh orang politik yang sehingga kini melihat hanya mereka sahaja yang bijak dan harus dominant dalam membuat keputusan bagi kepentingan masyarakat.

“Golongan penulis harus bijak memanfaatkan kecelaruan politik sekarang untuk bangkit menjadi diri mereka sebenar, iaitu sebagai pemikir dan pemimpin masyarakat,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 24 JANUARI 2009

PENGUCAPAN PUISI PALESTIN 31 JANUARI 2009

Pengucapan Puisi Palestin akan diadakan di Amfiteater, Tebingan Kuching pada 31 Januari ini (Sabtu) bermula jam 2.00 petang hingga 6.00 petang. "MARILAH BERPUISI SAMBIL MENDERMA DEMI KEMANUSIAAN SEJAGAT". Teman-teman seperjuangan sekalian, marilah kita sama-sama menghulurkan sumbangan secara ikhlas dan sukarela demi membantu rakyat Palestin, dan demi kemanusiaan sejagat. Datanglah, dan bawa rakan-taulan, sanak-saudara, jiran dan kenalan-kenalan saudara saudari ke Amfiteater Tebingan Kuching untuk sama-sama menyatakan keprihatinan kepada kepada keamaman dan kemakmuran sejagat serta penentangan kita terhadap peperangan yang memudaratkan umat manusia.

PENULIS SEBAGAI ALAT PEMERSATU


GAMBAR HIASAN: TENGGELAM... Situasi banjir di Batang Sadong, Serian yang memaksa kereta berat seperti lori dan bas melalui air banjir sejauh satu kilometer. Manakala kenderaan ringan langsung tidak dapat melalui jalan tersebut.

“DALAM hal ini jelas kelihatan bahawa penulis memegang peranan yang sangat penting. Pengetahuannya hendaklah pelbagai, intrinsic budaya dan tamadun dan ekstrinsik budaya dan tamadun serta silang budaya dan tamadun,” kata Jais Sahok membincangkan makalahnya, Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia.

Dibentangkan pada Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008, Jais menjelaskan, penulisan karya hendaklah mengambil kira perkara tersebut, selain kritikan sastera hendaklah mengambil kira acuan tempatan, budaya dan sosio-budaya tempatan.

Menurutnya, teori barat dan teori sedia ada boleh digunakan tetapi teori diri hendaklah dicipta.

“Sudah tiba masanya penulis kritikan sastera tidak leka menggunakan teori orang lain kerana upaya cipta teori sendiri terletak di tangan sendiri. Menuding jari kepada orang lain cuma akan menyerlahkan kelemahan diri semata-mata.

“Di samping itu, penulis hendaklah memastikan dirinya orang yang berilmu dan faham akan konsep ilmu pengetahuan, yang merupakan maklumat yang informative dan akan mengubah seseorang dalam lima perspektif, iaitu perubahan kognitif, afentif, psikomot, perlakuan sosial dan kerohanian,” katanya.

Tugas utama penulis jelasnya, ialah menulis tentang suku kaumnya dalam bahasa kebangsaan yang mantap dan indah.

“Hal ini penting kerana kalau bukan dia yang menulis tentang kaumnya, dan kalau orang lain yang menulis tentangnya reliabiliti tidak tinggi kerana kebenaran data, maklumat dan pengetahuan dapat dipertikaikan, tidak sahih, tidak asli.

“Jika penulisan karya sastera tentang satu-satu suku kaum sentiasa dilakukan oleh orang lain selain kaum itu sendiri dengan kebertanggungjawaban penulis berpaksi kepada nilai sosial dan nilai keilmuan yang berpaksi pada dirinya, akan sentiasa berulanglah penulisan ‘tentang kita’ oleh penulis Barat,” katanya.

Jika itu berlaku, tambahnya, sudah menyalahi tamadun manusia kerana dalam tamadun manusia, manusia mati meninggalkan nama dan dalam tamadun ilmu, ‘nama’ itu hendaklah difaham sebagai maklumat dan ilmu yang ditinggalkan kepada generasi terkemudian.

“Ilmu yang mantap sahaja mampu menjadi alat pemersatu dalam karya sastera para penulis Malaysia. Karya sastera kita hendaklah diperkasa dengan elemen-elemen yang terkandung dalam inteligens tinggi seseorang penulis.”

Jelas Jais, perbezaan sosio-budaya etnik yang boleh memicu sosial devide dalam negara dapat diserlahkan melalui kewujudan kepelbagaian secara semula jadi, paparan dalam sastera kreatif dan upaya kepengarangan para penulis.

“…dan kemudian dihuraikan secara bijaksana dan penuh keilmuan melalui kritikan sastera yang betul pada disiplin pengkritiknya dan dilakukan melalui pelbagai kegiatan.

“Pendekatan dan teori akan membantu karya sastera yang terhasil itu dimasyarakatkan secara yang lebih intensif dengan pembacaan dan pemahaman yang bersifat pencaian ilmu. Karya-karya yang dibaca melalui niat yang baik, sudah tentu akan mencipta perubahan dalam sistem kognitif seseorang pembaca.

“Seseorang yang berubah dalam sistem kognitifnya oleh apa-apa sahaja maklumat dan ilmu pengetahuan akan berubah pada empat perspektif lain, justeru menghalakan mentaliti dan paradigmanya kepada niat untuk merealisasikan perpaduan kaum dalam negara merdeka seperti Malaysia.”

Katanya, mungkin semantik ‘pemersatu’ Cuma satu idealisme kerana identiti etnik yang perlu dibiarkan mendominasi identitinya hendak dikorbankan. Cuma ‘bersatu’ yang paling intim dengan semantik konteks ini ialah ‘hidup dalam suasana aman dan damai’, tiada perbalahan yang membawa persengketaan.

UTUSAN SARAWAK, 14 JANUARI 2009

SUMPAH BUDAYAWAN, SENIMAN MUDA SEDAR SARAWAK

Kami, budayawan dan seniman muda sedar di Sarawak, meskipun datang dari latar belakang hidup yang berlainan, berkecimpung dalam dunia seni yang berbeza, dan mempunyai cara dan bentuk pengucapan yang berbagai-bagai bersumpah bahawa:

Kami sesungguhnya mempunyai satu negara – Negara Malaysia, satu bangsa – Bangsa Malaysia, dan satu bahasa – Bahasa Malaysia.

Dan kami berikrar bahawa:

Kami sesungguhnya mempunyai satu semangat, satu suara, dan satu cita-cita, iaitu, mahu memberi sumbangan dengan cara dan gaya kami yang tersendiri kepada penentuan, pembentukan, pembinaan, pengembangan, pemupukan, dan penghidupan kebudayaan nasional yang kami cintai – Kebudayaan Malaysia.

Ikrar ini telah dilafazkan secara rasmi kali pertama menjelang detik 12 tengah malam pada 31 Disember 1979 di Dewan Tun Razak, Kuching (kini Muzium Sarawak).

Seterusnya dilafazkan kembali oleh hampir 100 seniman dan budayawan yang hadir ke Majlis Sumpah Budayawan, Seniman Muda Sedar Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru, Kuching pada 31 Disember lalu, kira-kira sejam sebelum sambutan Tahun Baru 2008.

Yang menariknya, kali ini majlis tersebut dilaksanakan hasil permuafakatan antara Pekasa, Mantera dan Biro Pendidikan Majlis Islam Sarawak.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua I Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa), Ja’afar Haji Hamdan. Seterusnya ucapan perasmian oleh Presiden Medan Teater Sarawak (Mantera), Datu Haji Adi Badiozaman Tuah.

Ja’afar Hamdan dalam ucapannya menjelaskan, Pekasa berasakan bahawa pertemuan itu memungkinkan jalinan kerjasama dan pengertian akan terpupuk serta bertunas mesra agar matlamat tercapai walaupun berbeza kaedah, cara dan pendekatan.

“…seterusnya agar ikatan pengertian semakin kental, gigih ke arah penyatuan, dan seterusnya akan menyaksikan kemeriahan sastera semakin terserlah. Juga, keutuhan serta kekuatan makna perjuangan karyawan semakin terbukti benar dan telus, yang sekali gus untuk memartabatkan bangsa, bahasa dan budaya,” katanya.

(Utusan Sarawak, 7 Januari 2008)

DBP HARGAI SUMBANGAN PEKASAKAN BAHASA, SASTERA



TERIMA KASIH… Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyampaikan sijil penghargaan dan cendemata kepada wakil daripada media yang membantu dalam pelaksanaan program kebahasaan dan kesusasteraan anjuran DBP. Turut kelihatan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan.



Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Budi baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.


SERANGKAP pantun empat kerat ini dipaparkan pada buku atur cara dan pada latar belakang pentas Majlis Menjunjung Budi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak minggu lalu.

Objektif majlis tersebut ialah menghargai serta mengeratkan hubungan dan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak agensi kerajaan dan swasta, persatuan, kelab, karyawan dan wartawan untuk menjayakan pelaksanaan projek bahasa, sastgera dan penerbitan DBP Cawangan Sarawak.

Tetamu kenamaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N7 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Berucap pada majlis tersebut, Hasidah menjelaskan, usaha harus diteruskan untuk memperoleh dana khusus bagi membangunkan bidang kesusasteraan, penulisan dan penerbitan yang lebih jitu dan tuntas di negeri ini.

Katanya, dana khas perlu diwujudkan untuk memastikan kecemerlangan selain melindungi inovasi dan membantu capaian kepada seluas mungkin masyarakat.

“Pada masa yang sama dapat membantu penyediaan tapak benih semaian bagi ekonomi kreatif, serta membantu pembangunan semula bidang yang serba kekurangan dan daif,” katanya.

Kerajaan ujarnya, tetap prihatin dan bertanggungjawab memelihara bahasa dan sastera yang membantu proses pembentukan identiti.

Masyarakat yang ketiadaan sokongan kerajaan terhadap bidang kebahasaan dan kesusasteraan jelasnya, akan menghasilkan tamadun yang tandus.

“Memang benar ada aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan penulisan yang boleh berjaya, bertahan dan terus berkembang tanpa pergantungan sokongan kerajaan.

“Namun ada aktiviti yang melibatkan hasil kerja inovatif, sukar, baharu atau esoterik yang wajar mendapat subsidi dan sokongan dana daripada kerajaan,” katanya

Kata Hasidah, menjadi tugas anggota masyarakat untuk mentarbiahkan diri dalam soal peluasan, penggunaan dan pengembangan bahasa kebangsaan supaya menjadi mercu tanda di Malaysia.

“Ini penting supaya orang luar serta-merta dapat mengalami suasana ke-Malaysiaan yang diwujudkan oleh elemen bahasa. Untuk itu, usaha memperluas dan mengembangkan bahasa serta sastera kebangsaan di merata tempat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah disokong oleh semua pihak.

“Saya ingin menyeru jabatan kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan agar memberikan sokongan moral dan material kepada DBP untuk menyemarakkan pembinaan serta pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Hasidah memberitahu, Majlis Menjunjung Budi itu merupakan salah satu cara merapatkan hubungan antara penulis, di samping memugar nostalgia, dan dapat merangsang minat untuk terus menulis.

Majlis itu katanya, menjadi landasan terbaik untuk DBP memberikan penghargaan kepada mereka yang banyak memberikan bantuan dalam soal pemartabatan bahasa dan satera kebangsaan.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan pula menjelaskan, pihaknya memerlukan gandingan kerjasama daripada banyak pihak untuk melaksanakan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di seluruh negeri ini.

“Sukar untuk kita melaksanakan kegiatan tanpa ada sokongan daripada banyak pihak. Oleh itu, Majlis Menjunjung Budi ini adalah penghargaan kita terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pihak-pihak yang membantu kita melaksanakan kegiatan,” jelasnya.

GENRE SASTERA PENGUNGKAP BUDAYA BANGSA

“DI Malaysia, terdapat tiga istilah kebudayaan yang sering kali dijadikan landasan pemahaman tentang budaya dan kebudayaan masyarakatnya, iaitu bahasa kebangsaan, sastera kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan,” kata Mohamad Daud Mohamad daripada Bahagian Teori dan Kritikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Membincangkan makalahnya, Karya Sastera Pelbagai Kaum Pengungkap Budaya Bangsa, Mohamad Daud menjelaskan, ketiga-tiga bentuk pengucapan kebudayaan itu mencerminkan identiti kemajmukan bangsa Malaysia.

Selain itu katanya, ketiga-tiga istilah itu sudah dilembagakan, difahami dan direalisasikan dalam minda masyarakat Malaysia kecuali individu yang tidak menghayati susur-galur sejarah kewujudan negara bangsanya.

“Sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat sudah tentu, mereka menyedari bahawa identiti dirinya akan tercermin daripada bahasa pengucapannya, selain sastera dan kebudayaan yang dipamerkannya.

“Mengapakah perkara ini ditonjolkan? Kerana bahasa dan sasteralah yang mengakari kewujudan kebudayaan kebangsaan,” katanya.

Jelasnya, dengan mengetengahkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 (1) memaknakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan milik semua warganegara Malaysia.

Jika sebelum merdeka, bahasa Melayu ialah media komunikasi para pejuang kemerdekaan, maka sesudah merdeka katanya, bahasa Melayu dianggap status dan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu (sekali gus bahasa pengantar dan institusi pendidikan negara).

Justeru itu, wajarlah jika Dasar Pendidikan Negara menekankan bahawa tujuan Dasar Pendidikan Negara ialah bermaksud hendak menyatupadukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaknya diperbuat dengan beransur-ansur, jelasnya.

Mohamad Daud berkata, berdasarkan pemerhatian itu, menunjukkan bahawa hanya bahasa kebangsaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya integrasi kaum dalam konteks kemalaysiaan kini.

“Maksudnya, setiap warga Malaysia wajib menginsafi dan muhasabah diri dan memahami pola budaya kemajmukan masyarakat di sekitarnya iaitu dengan siapa mereka hidup dan bermasyarakat serta berkomunikasi dan berbahasa.

“Apabila bahasa yang digunakan pelbagai kerana tidak menghayati peta budaya kemajmukan masyarakat, sudah tentu tidak menghasilkan dialog yang komunikatif, sebaliknya menimbulkan monolog yang boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

“Dengan yang demikian, bentuk wicara yang diharapkan iaitu bersatu dalam satu kesatuan tidak mungkin dapat diwujudkan. Padahal jika berdialog dengan cara berbahasa kebangsaan yang betul dan memenuhi syarat-syarat evangelisme bukan evangelisme abad ke-19 yang bersifat pietisme sudah tentu akan mewujudkan suatu budaya yang harmonis,” katanya.

Menyedari hakikat bahawa tidak mungkin bahasa kebangsaan dapat dikembangkan tanpa sastera kebangsaan, maka dalam menentukan hala tuju budaya bangsa Malaysia, sepatutnya pemasyarakatan bahasa kebangsaan wajib seiring dengan pemasyarakatan sastera kebangsaan.

“Padahal para penyelidik, peminat sastera, pelajar dan siswa sastera, guru-guru dan siapa sahaja warga Malaysia yang membaca genre sastera dengan sendiri mereka tergolong sebagai pendukung bahasa kebangsaan dan sekali gus kebudayaan kebangsaan.”

Dalam memperkatakan sastera kebangsaan, Mohamad Daud memberitahu, secara maknawinya merujuk kepada genre sastera yang dihasilkan atau ditulis menggunakan bahasa Melayu. Selain genre sastera tersebut, tergolong dalam genre sastera bukan kebangsaan.

Pengklasifikasian tersebut ulasnya, akan membangkitkan pertanyaan tentang bahasa Malaysia dan dengan logiknya akan disebut bahasanya bahasa Malaysia dan sasteranya sastera Malaysia.

Mohamad Daud menjelaskan bahawa, “Tidak sewajarnya kita mengelompokkan sastera kebangsaan dalam kotak-kotak label sastera seperti sastera bertenden, sastera propaganda, sastera kontemporer, sastera politik, sastera kiri, sastera universal, sastera pascamodenisme dan sebagainya.”

Dengan melakukan pengelompokan itu ujarnya, menyebabkan alam duniawi sastera kebangsaan makin kacau apabila dibangkitkan persoalan: yang manakah genre kreatif-imajinatif tergolong sastera dan yang manakah kreatif-imajinatif bukan sastera?

“Misalnya, novel Shit karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad dan kumpulan cerpen Maharaja Beruk dan Beruk-Beruk Lainnya karya Yahya Ismail, terkelompok dalam kelompok yang mana?

“Atau adakah genre sastera yang ditulis oleh pengarang Melayu dalam bahasa Inggeris terkelompok dalam sastera Melayu? Jika tidak, bagaimanakah kedudukan SN Muhammad Haji Salleh?

“Menanggapi persoalan ini, kita tidak bertelingkah seperti kelompok atau pendukung sastera kontekstual dan sastera tekstual, sedangkan kedua-duanya bertitik-tolak daripada genre sastera itu sendiri sebagai focus utamanya,” katanya.

Soal Mohamad Daud, Berkaitan dengan sastera kebangsaan dan kewujudan istilah sastera pelbagai kaum, logiknya di mana? Sudah nyata bahawa genre sastera kebangsaan yang dihasilkan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi pengucapan bangsa Malaysia, dan secara nyata genre sastera tersebut mencerminkan budaya masyarakat Malaysia.

Katanya, tidak ada alasan yang munasabah untuk memperkatakan ‘sastera pelbagai kaum sebagai pengungkap budaya bangsa’, sebab yang mana satukah genre sastera pelbagai kaum?

“Dengan memaparkan atau membentangkan genre sastera yang ditulis bukan menggunakan bahasa kebangsaan, ia hanya dapat dibaca, difahami dan dihayati hanya oleh segelintir individu manusia yang memahami bahasa tersebut. Bererti genre sastera tersebut bukan genre sastera kebangsaan dan ia tidak wajar dinobatkan.

“Impaknya, jika kita beria-ia untuk menonjolkan genre sastera yang bukan sahaja tidak komunikatif, tidak mengalir dalam diri pembaca umum dan berkemungkinan akan menimbulkan pelbagai prasangka tertentu.

“Sebaiknya kita harus bersifat terbuka, bahawa genre sastera yang ditulis dalam bahasa Cina yang diterbitkan dalam media massa berbahasa Cina, genre sastera yang ditulis dalam bahasa Tamil yang diterbitkan dalam bahasa Tamil, genre sastera yang ditulis dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan dalam media-media bahasa Inggeris serta lain-lainnya, itu dapat digolongkan dalam kelompok sastera dalam acuan masing-masing atau sastera bukan kebangsaan.”

Jelas Mohamad Daud, dikotomi pengelasan sastera kebangsaan dan pelbagai kaum akan membajai serta menyuburkan pertentangan kefahaman kebudayaan, bukan menjurus kepada nilai-nilai kebudayaan madani dan hadhari, sebaliknya menjarakkan integrasi yang sudah sekian lama dirintis.

Dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, sudah termaktub akan inti pati sastera kebangsaan kerana lingkaran kebudayaan kebangsaan itu sudah merangkum bahasa dan sastera kebangsaan.

Utusan Sarawak, 31 Disember 08 / 7 Januari 2008

40 penulis sertai bengkel YIIB, WBS



“Perkara yang paling utama ialah kita mesti banyak membaca. Bacalah apa-apa sahaja bahan bacaan yang bermanfaat untuk sendiri. Ini akan membantu kita untuk menghasilkan karya yang bermutu,” - JISO RUTAN.

LEBIH 40 penulis sekitar Kuching dan Samarahan baru-baru ini menyertai Bengkel Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) dan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Dalam tempoh tiga hari bengkel itu, peserta telah didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu ditulis, aspek tatabahasa dalam penulisan selain media yang menerima karya.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan dalam ucapan penangguhan menjelaskan, para peserta bertuah kerana dapat menyertai bengkel yang diadakan walaupun dalam kadar yang sederhana.

Apa yang penting katanya, peserta harus menggunakan peluang yang disediakan itu untuk memperoleh sebanyak mungkin ilmu dan maklumat yang amat berguna dalam proses penulisan dan penghantaran karya.

Pun demikian jelasnya, bengkel penulisan bukanlah perkara utama dalam memperoleh kejayaan dalam bidang penulisan.

“Jika berpeluang menghadiri bengkel penulisan, itu adalah kelebihan dan merupakan ilmu tambahan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu dalam semua aspek.

“Perkara yang paling utama ialah kita mesti banyak membaca. Bacalah apa-apa sahaja bahan bacaan yang bermanfaat untuk sendiri. Ini akan membantu kita untuk menghasilkan karya yang bermutu,” katanya.

Jiso mengingatkan agar peserta tidak membaca karya penulis tertentu sahaja tanpa membaca karya penulis lain.

Jelasnya, penulis yang baik adalah penulis yang membaca semua jenis karya dan tidak terikat dengan karya seorang penulis sahaja.

“Jika kita membaca karya penulis yang pelbagai, maka kita akan memperoleh ilmu dan pengalaman yang pelbagai. Sebaliknya, jika kita hanya membaca karya seorang penulis, maka karya akan meniru karya penulis itu. Ini yang kita tidak mahu.

“Sebaliknya, jika kita membaca banyak karya penulis yang lain latar belakang, maka kita akan menghasilkan karya dengan gaya yang pelbagai. Kita tidak akan meniru seseorang penulis,” jelasnya.

Tambahnya, perkara yang perlu dicari dalam pembacaan itu ialah cara ataupun kaedah yang digunakan untuk seseorang penulis menyampaikan sesuatu perkara tetapi dalam kaedah yang berbeza.

“Ini yang perlu kita cari. Bukannya membaca hanya untuk seronok-seronok. Jika kita berjaya memperoleh ilmu dan pengalaman yang pelbagai, maka kita akan mudah untuk menjadi penulis yang berkualiti, dan tidak akan meniru penulis yang sedia ada,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 31 Disember 2008

DBP hargai sumbangan perkasakan bahasa, sastera

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Budi baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.

SERANGKAP pantun empat kerat ini dipaparkan pada buku atur cara dan pada latar belakang pentas Majlis Menjunjung Budi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak minggu lalu.

Objektif majlis tersebut ialah menghargai serta mengeratkan hubungan dan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak agensi kerajaan dan swasta, persatuan, kelab, karyawan dan wartawan untuk menjayakan pelaksanaan projek bahasa, sastgera dan penerbitan DBP Cawangan Sarawak.

Tetamu kenamaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N7 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Berucap pada majlis tersebut, Hasidah menjelaskan, usaha harus diteruskan untuk memperoleh dana khusus bagi membangunkan bidang kesusasteraan, penulisan dan penerbitan yang lebih jitu dan tuntas di negeri ini.

Katanya, dana khas perlu diwujudkan untuk memastikan kecemerlangan selain melindungi inovasi dan membantu capaian kepada seluas mungkin masyarakat.

“Pada masa yang sama dapat membantu penyediaan tapak benih semaian bagi ekonomi kreatif, serta membantu pembangunan semula bidang yang serba kekurangan dan daif,” katanya.

Kerajaan ujarnya, tetap prihatin dan bertanggungjawab memelihara bahasa dan sastera yang membantu proses pembentukan identiti.

Masyarakat yang ketiadaan sokongan kerajaan terhadap bidang kebahasaan dan kesusasteraan jelasnya, akan menghasilkan tamadun yang tandus.

“Memang benar ada aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan penulisan yang boleh berjaya, bertahan dan terus berkembang tanpa pergantungan sokongan kerajaan.

“Namun ada aktiviti yang melibatkan hasil kerja inovatif, sukar, baharu atau esoterik yang wajar mendapat subsidi dan sokongan dana daripada kerajaan,” katanya

Kata Hasidah, menjadi tugas anggota masyarakat untuk mentarbiahkan diri dalam soal peluasan, penggunaan dan pengembangan bahasa kebangsaan supaya menjadi mercu tanda di Malaysia.

“Ini penting supaya orang luar serta-merta dapat mengalami suasana ke-Malaysiaan yang diwujudkan oleh elemen bahasa. Untuk itu, usaha memperluas dan mengembangkan bahasa serta sastera kebangsaan di merata tempat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah disokong oleh semua pihak.

“Saya ingin menyeru jabatan kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan agar memberikan sokongan moral dan material kepada DBP untuk menyemarakkan pembinaan serta pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Hasidah memberitahu, Majlis Menjunjung Budi itu merupakan salah satu cara merapatkan hubungan antara penulis, di samping memugar nostalgia, dan dapat merangsang minat untuk terus menulis.

Majlis itu katanya, menjadi landasan terbaik untuk DBP memberikan penghargaan kepada mereka yang banyak memberikan bantuan dalam soal pemartabatan bahasa dan satera kebangsaan.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan pula menjelaskan, pihaknya memerlukan gandingan kerjasama daripada banyak pihak untuk melaksanakan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di seluruh negeri ini.

“Sukar untuk kita melaksanakan kegiatan tanpa ada sokongan daripada banyak pihak. Oleh itu, Majlis Menjunjung Budi ini adalah penghargaan kita terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pihak-pihak yang membantu kita melaksanakan kegiatan,” jelasnya.

(akan diterbitkan di Utusan Sarawak, Rabu, 24 Disember 2008)

Penulis pelbagai kaum dalam arus sastera kebangsaan

“PENULIS pelbagai kaum di Sarawak telah membantu memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan tanah air. Kemampuan mereka menembusi media arus perdana dan memenangi pelbagai peraduan membuktikan bahawa mereka dapat berdiri sama tinggi dengan penulis lain,” kata Dr. Jeniri Amir pada Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008 di Kuching baru-baru ini.

Dalam makalahnya, Penulis Pelbagai Kaum Sarawak Dalam Arus Sastera Kebangsaan, Jeniri seterusnya menjelaskan, karya mereka juga berjaya mengungkapkan aspirasi, masalah dan cabaran kaum berkenaan.

Hal itu demikian katanya, kerana penulis berkenaan lebih berminat untuk mengangkat persoalan sekitar kaum masing-masing kerana persoalan itu lebih dikuasai oleh mereka kerana dilahirkan dan membesar dalam masyarakat tersebut.

“Yang menarik, karya mereka berjaya mengungkapkan aspirasi, msalah dan cabaran kaum berkenaan. Dengan itu, secara tidak langsung, karya mereka dapat merapatkan jurang perbezaan dari segi bahasa, budaya, kepercayaan dan amalan hidup,” katanya.

Usaha sedemikian jelas Jeniri, dapat membantu mewujudkan perpaduan dan integrasi sosial dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini, dan kehadiran penulis pelbagai kaum di Sarawak telah memperkaya khazanah sastera kebangsaan dari segi tema, persoalan, latar, nilai dan bahasa.

Kata Jeniri, kesusasteraan kebangsaan akan lebih bermakna jika setiap kaum memberikan sumbangan masing-masing, yang secara langsung akan dapat memperluas khalayak, sesuai dengan komposisi multietnik di negara ini.

Hal itu demikian jelasnya, kerana pengarang pelbagai kaum dari Sarawak dapat menggali legenda, mitos, cerita rakyat, ‘ensera’, sempama, ‘entelah’ (teka-teki), ‘pengap’ (mantera), dan seumpamanya.

“Dengan memanfaatkan unsur ini, penulis Sarawak tentu dapat memperluas pandangan dan memperkaya laras dan gaya bahasa. Mereka dapat sahaja memanfaatkan bahan kesusasteraan tradisional ini untuk diadunkan dalam bentuk moden.

“Yang penting ialah kreativiti dan kebijaksanaan mengolah bahan berkenaan. Selain memperkaya tema, mereka tentu juga dapat memberi kelainan, termasuk dari segi menghadirkan warna tempatan dalam karya.

“Daripada sastera tradisional suku kaum itu, terdapat begitu banyak ekspresi kognitif dan memori kolektif, serta kata dan istilah budaya, simpulan bahasa, peribahasa, ungkapan, imej dan lambang yang dapat dipinjam dan diterjemahkan atau ditafsirkan bagi memperkaya ekspresi,” tambahnya.

Dari segi sumbangan, penulis kaum Iban kata Jeniri berada di belakang penulis Melayu dan Melanau dari segi jumlah dan sumbangan terhadap perkembangan sastera kebangsaan.

Antara penulis yang sudah menempa nama ialah Douglas Jaga, Jantan Umbat, Jaya Ramba, Joanes Uno, Livis Empanang Taka dan Sirai Daha.

Penulis Melanau pula tambah Jeniri, dikategorikan sebagai penulis bukan Melayu kerana bahasa Melayu bukan merupakan bahasa ibunda mereka.

“Penulis Melanau merupakan kaum yang paling banyak dan aktif membabitkan diri dalam dunia kesusasteraan sejak tahun 60-an lagi,” katanya.

Antara penulis Melanau ialah Saiee Dris, Zaini Ozea, Jeli Bohari Biha, Hipani Alwi, Margi Leo, Lucas Takip, Desmond Manja, Mohamed Dris, Dido Nanas, Johnson Yaakut, Benedict Talip, Bedui Unie, Fredrick Haili Teck, Jow Awie dan beberapa lagi.

“Daripada jumlah yang banyak itu, sebenarnya tidak banyak yang aktif, konsisten berkarya, dan mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan.”

Seperti di peringkat nasional, Sarawak belum banyak dapat melahirkan penulis Cina. Bagaimanapun, antara penulis Cina yang dapat dibanggakan ialah Jong Chian Lai, William Chan Khun Neng, dan Stephen Chung Nguk Hoi, Lawrence Quek dan Ting Mee Ting.

Kecuali Jong dan William, penulis yang lain kelihatan tidak konsisten berkarya, malah kini karya mereka tidak lagi menemui pembaca.

“Daripada yang sedikit itu, nama Jong Chian Lai untuk lebih daripada dua dekad sentiasa berada di hadapan sekali. Sehingga akhirnya dinobatkan sebagai penerima SEA Write Awards – yang menandakan kemuncak pencapaian penulis dari Sarawak setakat ini.”

Sementara itu kata Jeniri, tidak banyak penulis daripada kaum Bidayuh muncul setakat ini. Kedudukan mereka hampir sama dengan kedudukan penulis daripada masyarakat Orang Ulu.

“Belum ada yang benar-benar menyerlah dan dapat dianggap sebagai naratif besar dalam sastera kebangsaan. Meskipun demikian, masyarakat Bidayuh sekurang-kurangnya dapat berbangga dengan kehadiran penulis seperti Jiso Rutan, Lawrence Atot dan Redan Ginoh. Daripada nama itu, Jiso Rutan boleh dianggap berada di hadapan.”

Masyarakat Orang Ulu pula yang tinggal di Hulu Baram, Belaga, Kapit, Bintulu dan Lawas bukan sahaja kurang diketahui adapt resam dan budaya mereka di luar Sarawak, tetapi juga di Sarawak sendiri.

Orang Ulu yang terdiri daripada pelbagai etnik dan subetnik sebahagian besar masih tinggal di kawasan pedalaman meskipun sudah ada yang menetap di Bandar.

Dari segi etnografi, Orang Ulu merupakan kelompok yang unik dan kompleks. Meskipun Orang Ulu terdiri daripada pelbagai etnik dan subetnik, namun penglibatan mereka dalam dunia kesusasteraan kebangsaan tidak menggambarkan komposisi mereka yang sebenar.

“Setakat ini hanya penulis daripada etnik Bisaya dan Kayan menampilkan diri sedangkan etnik dan subetnik lain belum lagi muncul. Mengapakah keadaan ini berlaku ketika semua generasi muda Orang Ulu telah mengikuti pelajaran mereka melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar?

“Penulis daripada masyarakat Orang Ulu yang memperlihatkan kegigihan berkarya ialah Poul Nanggang. Penyertaannya dalam dunia kreatif banyak didorong oleh penglibatannya dalam aktiviti Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera) mulai sekitar 1985 dan kerjayanya sebagai guru.

“Poul lebih dikenali sebagai penulis sajak meskipun beliau mengakui pembabitan awalnya dalam dunia penulisan adalah dalam genre cerpen,” jelas Jeniri.

Kata Jeniri lagi, sesungguhnya kehadiran penulis pelbagai kaum di Sarawak telah memperkaya khazanah sastera kebangsaan dari segi tema, persoalan, latar, nilai dan bahasa.

(akan disiarkan di Utusan Sarawak, Rabu, 24 Disember 2008)

Sejauh mana sastera etnik perkasakan sastera kebangsaan?

KESUSASTERAAN kebangsaan akan lebih bermakna jika setiap kaum memberikan sumbangan masing-masing. Secara langsung dapat memperluas khalayak, sesuai dengan komposisi multientik di negara ini.

Persoalan ialah sejauh mana sastera etnik dapat memperkasan sastera kebangsaan? Menjawab soalan ini, Saiee Driss menjelaskan, “Dr. Jeniri Amir ada mengatakan kepelbagaian tema. Kita telah dapat menerima kepelbagaian tema dari barat, dari China, dan masyarakat India. Jadi apa salahnya kita menerima tema-tema atau persoalan-persoalan yang wujud dalam etnik yang tempatan.”

Katanya, kepelbagaian tema, aspek-aspek atau kaedah-kaedah untuk melihat isu mungkin berbeza antara orang Melanau berbanding dengan Melayu, Iban melihat sesuatu isu.

“Isu tanah misalnya. Bagi orang Melanau lain cerita kerana orang Melanau terlibat tetapi orang Melayu tidak terlibat. Tetapi orang Iban dengan tanah NCR, mereka terlibat. Jadi kita boleh melihat aspek itu apabila penulis berbangsa Iban menulis tentang NCR. Ada aspek yang tidak difahami oleh orang Melayu.”

Dengan itu, tambahnya, kefahaman tentang isu-isu semasa atau tempatan boleh menjadi lebih mantap.

“Itulah sumbangan daripada sastera sukuan dan sastera kebangsaan membolehkan perbincangan isu itu dari sudut yang pelbagai daripada budaya yang pelbagai.”

Abang Patdeli Abang Muhi pula memberitahu, sastera etnik sebenarnya adalah hasil sastera yang dihasilkan oleh kaum-kaum tertentu.

“…dan dalam kaum-kaum tertentu itu, banyak nilai-nilai yang positif yang terkandung dalam sastera etnik itu/sastera daerah. Misalnya, kalau dalam masyarakat Iban ada konsep sarakup yang bermakna perpaduan. Jadi konsep itu harus kita ketengahkan menjadi satu nilai di peringkat nasional. Itu boleh membantu.”

Usaha ini akan membantu dari segi memperkayakan kosa kata bahasa kebangsaan. “Misalnya, kalau kita banyak memperkenalkan perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu Sarawak, ini boleh membantu memperkayakan bahasa kebangsaan.”

Ada istilah-istilah yang tidak ada dalam bahasa kebangsaan kita boleh masukkan. Jadi itu memperkaya. Satu lagi ialah perkayakan dari segi nilai-nilai murni yang boleh dikongsikan bersama. Misalnya dalam bahasa Melayu Sarawak kita ada ‘bedurok’ misalnya. Dalam bahasa Melayu baku tidak ada.

“Jadi nilai-nilai itu dapat memperkayakan. Satu lagi yang paling penting ialah apabila sastera etnik itu kita perkenalkan, maka mereka akan faham, masyarakat akan faham tentang budaya masyarakat lain.

“Kalau kita sudah faham budaya masyarakat lain, tidak akan timbul masalah ketidakfahaman kerana ketidakfahaman itu yang selalunya mengakibatkan orang berpecah-belah. Maka, kita dapat menyatupadukan masyarakat.”

Sastera etnik itu jelasnya, seharusnya mendukung sastera kebangsaan. “Barulah kita dapat mengatakan sastera kebangsaan itu dimiliki semua kaum.”

Sementara itu, Jais Sahok pula berkata, “…dapat, cuma macam mana pada penerimaan audiens. Kemudian sastera etnik itu yang hendak asimilasi ke dalam sastera kebangsaan memerlukan satu pemahaman yang kreatif. Kalau tidak, sastera kebangsaan akan kekal dianggap sastera kebangsaan, dan sastera etnik kekal dianggap sastera etnik.”

Dengan itu, sastera etnik akan kekal dalam kotaknya sendiri kecuali ada bijak pandai sastera yang mengasimilasikan kemasukannya.

“Kalau ia (sastera etnik dan sastera kebangsaan) dapat dintigerasikan atau diasimilasikan, saya rasa ia dapat menyumbang. Dalam sastera etnik, pemikiran sama sahaja kerana dihasilkan melalui pemikiran-pemikiran dan proses-proses kreatif tertentu.

“Cuma gaya sastera etnik lebih banyak diceduk, diambil dan dikumpul dari sastera lisan yang kemudiannya diadun ke dalam bentuk tulisan. Proses ini ada unsur persamaan cuma pada zaman penghasilannya. Sekalipun didokumenkan sekarang tetapi zaman penghasilannya berbeza,” katanya.

Zaman penghasilan sastera etnik, tamadun manusia masih sedikit rendah walaupun pemikirannya tinggi, jelasnya.

Sastera sekarang penuh dengan unsur-unsur pendidikan; kemajuan dunia pendidikan, dan, keilmuan ciptaan manusia ditambah dengan ilmu wahyu.

“Sebab dalam sastera etnik, ilmu wahyu pun kurang. Asimilasi ilmu wahyu kurang melainkan yang dihasilkan secara sengaja berunsur agama agak tinggi tetapi keseluruhan rendah. Jadi kalau konteks itu tidak diasimilasikan secara integratif, ia akan kekal berpetak-petak.”

(akan disiarkan di Utusan Sarawak, Rabu, 24 Disember 2008)