ARTIKEL 1:
Rosni Ili johanDeklamasi Puisi Kemerdekaan negeri
ARTIKEL 2:
Menurutnya, ketika sesetengah penulis mmungkin sahaja menganggap bahawa kritikan tidak penting untuk kehidupan kreatif mereka, hakikatnya pengkritik memainkan peranan signifikan dalam perkembangan dan pertumbuhan sastera.
Tiga wilayah dalam dunia sastera – pengarang, pembaca dan pengkritik jelasnya, sama-sama penting bagi menjamin pertumbuhan dunia sastera yang sihat dan subur.
Katanya, kritikan sastera sebagai satu disiplin ilmu yang saintifik dengan pendekatan dan teori tertentu bukan bertujuan hanya untuk mencari kelemahan dan kekuatan karya, sebaliknya perlu berperanan untuk mentafsir, mengamati, mengapresiasi dan menilai karya dengan objektif berdasarkan teori dan kerangka tertentu.
“Kritikan yang baik ialah kritikan yang bertanggungjawab dan beretika. Kritikan bukan untuk melemparkan cacian dan gunjingan. Kritikan bukan untuk mereka yang bersikap memihak, kurang teliti, tidak adil, prejudis atau bias. Sebaliknya kritikan menuntut kerja seni yang objektif, berimbang, analitis, matang emosi dan intelektual dengan pemikrian yang tajam.
“Pengkritik perlu berpegang kepada falsafah sentiasa menjunjung kebenaran dan berani kerana benar. Penghakiman yang dijatuhkannya terhadap karya yang dinilainya itu perlu berdasarkan ketepatan, keadilan, hujah, data dan maklumat yang sesuai dan tepat yang terdapat dalam teks atau di luar teks. Pengkritik harus bertanggungjawab terhadap segala hujah dan pendapat yang dilontarkannya,” katanya.
Kritikan jelasnya tidak terhad kepada karya yang dibicarakan, tetapi juga meliputi isu dan masalah yang melingkari karya berkenaan.
“Maksudnya, aspek sosiopolitik, ekonomi, persekitaran karya yang dianalisis itu perlu diambil kira apabila membedah karya berkenaan.
“Karya itu perlu dibicarakan dalam konteks zaman dan bukannya diperkatakan dalam kepakuman dan kekosongan.
“Karya tidak dihasilkan daripada kekosongan melainkan turut dipengaruhi oleh perkembangan sosial, politik, ekonomi, alam sekitar dan sebagainya yang berkembang dalam masyarakat. Bukankah karya sastera cerminan atau peniruan daripada gejala yang berlaku dalam masyarakat?”
Oleh itu jelas Jeniri, pengkritik perlu mempunyai pengalaman, pengetahuan dan wawasan yang jauh lebih luas dan mendalam untuk memungkinkannya melaksanakan tugasnya dengan berkesan.
“Kritikan akan sentiasa berguna selagi dilakukan dengan jujur tanpa niat untuk menjatuhkan pengarangnya,” katanya.
Dengan mengkritik berdasarkan neraca yang objektif, kritis, analitis dan imaginatif, kritikan ujarnya boleh dianggap sebagai mangkin yang membantu menumbuhkan karya sastera.
Krikan sastera yang baik dapat memberi panduan berguna, malah motivasi dan inspirasi kepada pengarang, manakala kritikan yang sarat dengan cacian dan kenyataan negatif bersalutkan niat jahat dapat membunuh motivasi dan keghairahan pengarang untuk terus berkarya.
“Kritikan yang bersalutkan untur negatif dan niat jahat tidak baik untuk perkembangan sastera kita. Sesungguhnya, kritikan dapat menjadi penyuluh bukan sahaja kepada pengarang, tetapi juga kepada pembaca.
“Kritikan akan menjadi jambatan penghubung antara pengarang dengan khalayak sastera. Peranan pengkritik akan sentiasa diperlukan lebih-lebih lagi jika karya berkenaan sarat dengan falsafah, perlambangan dan kesukaran dari segi teknik dan gaya bahasa.
Kritikan mudahkan pembaca karya sastera
Ujar Jeniri, dengan adanya ulasan, tafsiran, analisis dan huraian bersandarkan hujah dan bukti yang konkrit, maka lebih mudah bagi khalayak umum yang mungkin tidak terdidik dalam sastera untuk lebih memahami karya sastera.
Secara tidak langsung usaha berkenaan akan dapat membangkitkan minat terhadap sastera dalam kalangan masyarakat pembaca umum, jelasnya.
“Hakikatnya, tiga dan tanggungjawab pengkritik adalah untuk mendekatkan karya dengan pembaca sehingga akhirnya jurang lebar antara pengarang dengan karya berupaya dijambatani.
“Dengan sifat karya sastera yang kompleks yang dibina oleh pelbagai unsur dan komponen, bantuan pengkritik sebagai pakar untuk menjelaskan dan mentafsirkan karya berkenaan adalah penting dan perlu. Kecuali persoalannya berapa orangkah pembaca sastera kita membaca kritikan sastera.”
Menurutnya, pembaca sastera yang serius tentu berusaha untuk lebih memahami teks yang dibacanya dengan membaca pandangan dan kritikan pengkritik, kerana kritikan biasanya menyelongkar, merungkai, dan menyuluh sisi-sisi kabur, gelap dan perlambangan dalam karya berkenaan.
Dengan itu tambahnya, pengkritik mendidik khalayak atau pembaca untuk menjadi khalayak yang lebih matang dan lebih mengerti, dan seterusnya mampu mengapresiasi teks lain dengan lebih baik.
“Tetapi dia perlu terlebih dahulu seorang yang matang dan stabil emosinya, tidak pilih kasih dalam menghakimi karya. Pengkritik harus dapat memberi 'insight', iaitu menelusuri dan menyelongkar pemikiran dan maksud yang terselindung di sebalik karya.
“Jika dunia pengkritik sendiri kecil dan sempit serta peribadinya tidak seimbang, bagaimanakah pengkritik berkenaan dapat membicarakan dunia kreatif dan sastera yang kompleks dengan baik?
“Justeru, pengkritik perlu mempunyai rasa seni dan kekuatan bahasa yang tinggi tahapnya bagi memungkinkannya melakukan tugasnya dengan baik. Dia harus mempertemukan unsur kesarjanaan dan seni sekali gus dalam kritikan yang dilakukannya.”
Pengkritik yang baik harus dapat memainkan peranan penting untuk mengenal pasti bakat yang baik, memberi rangsangan untuk bakat itu berkembang, dan memberi panduan kepada bakat berkenaan membaiki sebarang kelemahan dalam karyanya.
“Saya masih ingat lebih kurang 20 tahun lalu bagaimana ketika saya mula-mula membaca puisi karya Abizai, saya terus terpikat dan tersihir oleh karya beliau.
“Saya mengatakan beliau merupakan bakat baharu yang perlu diberi perhatian kerana potensinya, dan saya mengatakan bahawa, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika beliau akan muncul sebagai penyair besar suatu hari nanti.
“Ternyata agakan dan analisis saya itu tidak tersasar, kerana ahri ini, kita boleh berbangga kerana Abizai merupakan antar apenyair besar tanah air yang begitu menyerlah bakat dan potensinya, sebagaimana terbukti daripada keupayaan beliau memenangi pelbagai hadiah termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia.””
"APA gunanya teori sastera? Jawapan yang paling mudah bagi menjawab pertanyaan yang cukup mudah ialah – teori sastera berusaha menjelaskan, mengklasifikasikan dan menggeneralisasikan apa-apa yang disebut karya sastera," kata Abang Patdeli Abang Muhi.
Berkata demikian dalam makalahnya Soal Pembangunan Sastera Kebangsaan di Sarawak pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010, Abang Patdeli menjelaskan, teori sastera atau apa-apa juga namanya menyediakan kriteria bagi penilaian sastera – adakah sesebuah karya sastera itu berharkat atau tidak?
Harkat sesebuah karya sastera jelasnya, dinilai dari segi mutunya, keaslian dan kekuatannya yang lain.
Justeru, dengan fungsi demikian rupa, katanya, kedudukan teori sastera menjadi cukup penting kepada pengkritik sastera yang berperanan menilai karya sastera, dan kepada sejarah yang berperanan untuk mencatat perjalanan pengarang dan sasterawan serta karya-karya sastera mereka.
Teori sastera juga membantu pembaca untuk menawarkan kerangka berfikir bagi mereka untuk memahami dunia karya sastera. Dunia karya sastera itu sasterawan dan latar belakangnya serta kepengarangannya.
"Jika kita, baik sebagai pembaca mahupun pengkritik karya sastera, ingin memahami dan menikmati karya, pemahaman kita akan kian baik apabila disertakan dengan pemahaman terhadap diri pengarang dan kepengarangan mereka.
"Apabila kita telah mengenali sasterawan itu, kita juga akan dapat memahami karya sastera mereka dengan lebih baik. Menurut Selden, karya sastera ialah anak kehidupan kreatif seseorang pengarang, dan mengungkapkan keperibadian pengarang," katanya.
Menurutnya, harkat sesebuah karya sastera itu juga ditentukan oleh kemampuan seseorang pengarang itu sendiri, yakni daya kespontanan, kekuatan emosi, keaslian, daya perenung, kedalaman nilai kehidupan dan keharmoniannya.
Hal-hal seperi demikian kata Abang Patdeli menyebabkan pentingnya peranan sasterawan dalam kajian sastera.
"Sastera dilahirkan hasil daripada rangsangan manusia untuk mengungkapkan diri tentang manusia, kemanusiaan dan alam semesta. Sastera juga adalah pengungkapan permasalahan hidup dan kehidupan, filsafat dan ilmu jiwa.
"Maka, sasterawan boleh dikatakan sebagai ahli ilmu jiwa dan filsafat yang mengungkapkan masalah hidup masalah hidup dan kehidupan, kejiwaan dan filsafat -- bukan dengan cara teknik akademik, melainkan melalui tulisan sastera."
Sebagai karya seni yang mengandungi budi, imaginasi dan emosi, saster ajuga sebagai karya kreatif dimanfaatkan sebagai konsumsi intelektual dan emosi, jelasnya.
"Maknanya, sastera yang dilahirkan oelh sasterawan diharapkan dapat memberi kepuasan estetik dan intelektual kepada pembaca.
"Ironinya, acap kali karya sastera tidak mampu dinikmati dan dimengerti sepenuhnya oleh sekelompok pembaca. Justeru, dalam permasalahan begini, peranan penelaah, peneliti dan pengkritik sastera amat diperlukan bagi mempermudah pemahaman sesuatu karya sastera itu."
Katanya, antara teori sastera dan karya sastera itu adalah saling mendukung, dan untuk memastikan sesuatu karya iru dapat dinilai dan dikritik dengan lebih seimbang.
"Maka, pendekatan dan teori sastera yang diaplikasikan hendaklah sesuai dengan inti pati karya sastera berkenaan," jelasnya.
UTUSAN SARAWAK, 24 FEBRUARI 2011