HARI PEJUANG BAHASA 152... kukuh bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu

PERKARA 152 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadamkan kerana Perkara 159 (2) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Bagi memperingati asas kewujudan bahasa kebangsaan ini, Hari Pejuang Bahasa 152 dicadangkan untuk diadakan pada 15 Februari setiap tahun bagi membina rasa kecintaan, memupuk semangat kesedaran dan nilai tanggungjawab untuk memikul amanah tentang betapa pentingnya meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya.

Program ini penuh simbolik bagi menggerakkan kesedaran, keinsafan dan kecintaan masyarakat mengenai sumbangan bahasa Melayu dalam konteks pembangunan Malaysia. Hari Pejuang Bahasa 152 ini akan menjadi medan untuk membincangkan pelan strategik dan arah tuju bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan serta pembangunan negara, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Tahun lepas, program ini diadakan di Kuala Lumpur. Tahun ini diadakan pula di Sarawak. Majlis perasmian di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dilakukan oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan merangkap Menteri Muda Perancangan dan Pembangunan Sumber, Haji Mohd Naroden Haji Jais. Beliau mewakili Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, merangkap Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Hari Pejuang Bahasa 152 di Sarawak merupakan anjuran DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).

Dalam ucapannya, Datuk Amar Awang Tengah berkata, memperkatakan tentang bahasa Malaysia setelah hampir 54 tahun merdeka, masyarakat harus memahami keperluan semasa yang selaras dan seiring dengan dasar pembangunan, suasana dunia, kepentingan maklumat dan asas matlamat dalam membina satu peradaban bangsa iaitu bangsa Malaysia.

“Saya percaya, dalam hal ini kita sebagai rakyat Malaysia masih berpegang teguh dengan perlembagaan yang sekian lama mendukung nilai kita sebagai rakyat Malaysia yang setia. Tentu sahaja, kita sebagai rakyat yang setia akan tetap mempertahankan perlembagaan negara kita dengan penuh rasa kecintaan yang luhur dan suci.

“Begitu juga halnya dengan Perlembagaan 152 yang jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu yang juga bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dalam pendidikan di negara kita yang berdaulat dan tercinta ini” katanya.

Menurutnya, bahasa Malaysia yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dalam pendidikan melalui detik panjang, penuh pancaroba, didesak dengan pelbagai cabaran dan dipertikai wibawanya.

Beliau percaya bahawa bahasa Malaysia masih yang terunggul sebagai bahasa dan medium komunikasi utama di negara ini. Di Sarawak sendiri, hanya pada 1985 bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi yang utama.

Perkara ini tambahnya, mempunyai alasan yang tersendiri, selaras dengan suasana budaya berkomunikasi di Sarawak di smaping kepelbagaian kaum dna etnik yang ada di negeri ini.

Keunikan dasar politik pembangunan melihat keperluan ekonomi dan sosial telah melalui peningkatan taraf hidup masyarakatnya, dan hal ini menjadi keutamaan kerajaan untuk menaik taraf kehidupan dalam semua aspek, dan salah satunya adalah aspek bahasa, katanya.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelasnya, yang menjelaskan bahasa Melayui sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu harus diteliti dengan konsep yang sesuai dengan alaf baru ini.

“Pertama, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa kebangsaan harus berupaya mendukung nilai kebangsaan dengan mengambil kira kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia. Nilai kebangsaan ini bukan hanya diterjemahkan melalui pengakuan sebagai rakyat Malaysia, tetapi juga perlu membuktikan rasa taat setia kepada dasar yang sedia ada.

“Kedua, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa rasmi harus mampu membawa pemahaman tentang situasi yang rasmi dalam konteks yang memerlukannya bertindak sebagai rasmi, sama ada secara penegasan dasar tanggungjawab atau melalui penekanan undang-undang. Ini kerana bahasa rasmi ini perlu melakukan pemupukan nilai-nilai kesedaran terhadap amanah dan tanggungjawab, khsususnya dalam pengertian sebagai seorang rakyat Malaysia.

“Ketiga, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa ilmu dalam pendidikan ini wajar memebri keyakinan kepada masyarakat secara menyeluruh tentang upayanya membina pemikiran, emosi dan kerohanian dalam semua bidang sama ada ilmu yang kita ikuti daripada sumber luar mahupun ilmu yang tercetus asli melalui kepakaran bangsa kita sendiri. Bahasa Malaysia bukan lagi berdiri atas keperluan semasa tetapi harus melihat ke hadapan dan mampu mentafsir masa depan dalam konteks keilmuan.

“Keempat, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa perpaduan semestinya mempunyai nilai kesamaan dalam mewujudkan rasa kepunyaan terhadap bahasa itu, dan negara ini. Bahkan dalam dasar kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia ini, bahasa Malaysia sudah berada dalam landasan yang cukup kukuh dan arah yang betul.”

Katanya, bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu dalam pendidikan perlu menyerap dalam segenap pemikiran, kejiwaan dan kerohanian setiap rakyat tentang peri pentingnya membina peradaban melalui bahasa sendiri.

“Dalam soal ini, bukan bermakna kita perlu melakukan penolakan terhadap bahasa lain, tetapi keperluan terhadap bahasa Malaysia itu wajar timbul dalam nilai kepercayaan dalam setiap diri rakyat, dan bukan kerana terdesak oleh lkehendak undang-undang semata-mata,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 17 FEBRUARI 2011

No comments: