Sayembara kaedah berkesan cungkil bakat penulis


SAYEMBARA mengarang fiksyen atau cereka merupakan kaedah yang berkesan dalam usaha mencungkil bakat-bakat penulis. Dalam sejarah perkembangan sastera di Malaysia, ramai penulis berbakat yang muncul hasil daripada pelbagai sayembara mengarang.

Haji Hamzah Hamdani berkata, walaupun kadang-kadang ada suara-suara sinis yang menyindir para penulis yang hanya menulis apabila ada sayembara, namun pada hakikatnya ia menjadi kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk melahirkan para penulis yang berbakat.

Menurutnya, para penulis akan terdorong untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti apabila menyertai sesuatu sayembara. Setiap karya akan dinilai olah panel penilai yang diiktiraf kepakaran mereka dalam bidang kesusasteraan.

“Oleh kerana itu, karya-karya yang terpilih sebagai pemenang adalah karya-karya yang telah teruji nilainya berdasarkan ukurtara karya sastera yang berkualiti,” katanya membentangkan Sayembara Pengarangan Fiksyen Dari Aspek Kuantiti dan Kualiti: Pengalaman Menilai Karya Pengarang Sarawak pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu.

Katanya, sayembara mengarang fiksyen harus tetap diadakan demi melahirkan karya-karya berkualiti tinggi.

Kaedah itu jelasnya, bukan hanya mendorong para penulis mencipta karya berkualiti kerana ada tawaran hadiah, malah yang penting memberikan pengiktirafan kepada bakat seseorang penulis, serta mendorong untuk penulis berkembang seterusnya.

Kata Hamzah, dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Sarawak, penubuhan Biro Kesusasteraan Borneo pada 1959 untuk memaju dan mengembangkan bahasa dan kesusasteraan memberikan sumbangan yang penting.

Peraduan Menulis Cerpen Panjang yang diadakan pada 1967 telah menghasilkan novelet berjudul Menunggu Esok (1970) karya Salbiah Painah (kini Datuk). Novelet ini karya penting di Sarawak setelah novel Melayi Sarawak (1932) karya Muhammad Rakawi Yusuf.

“Walaupun memperlihatkan bakat kreatif yang agak menyerlah dalam penulisan fiksyen, namun Salbiah Painah lebih menumpukan kepada penghasilan drama radio yang mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar,” katanya.

Apabila DBP menubuhkan pejabat cawangannya di Sarawak pada 1977, antara usaha utamanya ialah menggalakkan pertumbuhan bakat sastera melalui kegiatan Peraduan Menulis Sastera Kreatif sejak 1978, meliputi genre cerita kanak-kanak, cerpen, puisi dan drama pentas serta radio.

Antologi cerpen yang dihasilkan ialah Menanti Subuh, Suatu Pencarian, Antara Dua Kepercayaan dan Kedamaian yang Hilang. Antologi puisi pula ialah Lagu Kenangan. Drama pentas dan radio termuat dalam antologi-antologi Bumiku Oh Bumiku, Jantungnya Berdegup Lagi dan Tukang Ensera.

Tiga novel yang lahir daripada siri Peraduan Menulis Sastera Kreatif pada dekad 1980-an ialah Gugurnya Langit Hijau Nanga (1986) karya Jong Chian Lai, Kenyalang Terbang Bebas (1987) karya Jamilah Morshidi dan Ranjau Semalam (1986) karya Awang Rosli Awang Jaya.

“Melalui kegiatan peraduan mengarang karya kreatif ini, bakat-bakat penulis dari Sarawak dapat diketengahkan ke peringkat kebangsaan melalui penerbitan buku yang tersebar ke seluruh Malaysia,” tambahnya.

Penulis yang timbul hasil Peraduan Menulis Sastera Kreatif ialah Majuni Palera, Saiee Driss, Dedo Nanas, Bedui Une, Openg Onn, Zaini Ozea, Erham Sahari, Khatem Ariffin, Latifah Haji Shebli, Jeniri Amir, Mohammad Sebli, Shahri Abdul Rahman, Jong Chian Lai, Ahmad Sabu, Awangku Merali Pengiran Mohamed, Ratnawati Jamil, Jais Sahok, Awang Rosli Awang Jaya, Suhai Ragas, Lena Piee, Jamilah Morshidi, Zakeria Embi dan Madian Haji Dahlan.

Daripada senarai itu, tidak ramai penulis yang benar-benar menyerlah dalam usia kepengarangan yang panjang dalam genre fiksyen. Tokoh penulis yang paling menyerlah ialah Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengiran Mohamed dan Jais Sahok. Namun penulis yang paling terkemuka ialah Jong Chian Lai yang menerima S.E.A. Write Awards pada 2006.

Pada dekad 1990-an katanya, sayembara mengarang fiksyen genre novel menghasilkan novel-novel yang menyerlahkan peningkatan bakat penulis Sarawak. Pada 1993, dalam Sayembara Menulis Novel Esso-GAPENA I, Jong Chian Lai berjaya mendapat hadiah kedua (tiada pemenang hadiah pertama) melalui novel Pemberontakan, yang mengangkat kisah pemberontakan pelombong Cina di Bau terhadap pemerintahan James Brooke pada pertengahan abad ke-19. Novel ini terpilih sebagai salah sebuah novel penting abad ke-20.

Hasil Peraduan Menulis Sastera Kreatif 1995/1996, menyerlahkan novel Ngayau Air (2002) karya Hambi Bolhi. Turut mendapat hadiah ialah Nilai Sebuah Pengertian (2001) karya Radzemah Bolhassan, Ngoncong (2002) karya Jais Sahok dan Mesap (2002) karya Jali Haji Kenoi.

Melalui tiga sayembata mengarang anjuran DBP Cawangan Sarawak pada dekad pertama abad ke-21, beberapa novel yang menarik terhasil. Peraduan Menulis Novel Shell-DBP Cawangan Sarawak 2002 menghasilkan novel-novel Suara dari Rimba (2008) karya Jong Chian Lai, Epilog Nusantara (2008) karya Hamli Bolhi dan Bara Yang Menyala (2008) karya Jaya Ramba.

Bersempena sambutan Jubli Delima Sarawak Merdeka dalam Malaysia (2003), melalui Peraduan Menulis Sastera Kreatif Berunsur Sejarah, lahir novel-novel Libau Rentap Rimba (2008) karya Harry Usup, Naluri Hidayah (2007) karya Sarimah Alit, dan Katarsis Perjuangan (2007) karya Mohd Faizal Jamil.

Pada 2004, diadakan Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak, yang menghasilkan dua novel Marga Timur dari St Anthony (2009) karya Jong Chian Lai. Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006, penulis Sarawak yang berjaya mendapat hadiah penghargaan ialah Mohamad Faizal Jamil melalui novel Anak Ruma' Kadang (2007).

No comments: