ISTILAH pejuang begitu besar maknanya, dalam Kamus Dewan edisi yang keempat menyatakan pejuang adalah orang yang berjuang untuk mempertahankan tanah airnya daripada dijajah oleh kuasa asing.
Nama-nama pejuang seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela memang bukan asing lagi dalam minda masyarakat Melayu khususnya di Semenanjung Malaysia.
Manakala di Sabah, sebut sahaja nama Mat Salleh, sudah pasti masyarakatnya akan berasa bangga kerana mempunyai seorang pejuang yang hebat dan tiada tandingannya suatu ketika dahulu.
Di Sarawak pula, kita juga mempunyai beberapa orang pejuang yang tidak mungkin kita lupakan iaitu Rosli Dhoby, Syarif Masahur dan Rentap. Jasa Rosli Dhoby begitu besar kepada masyarakat Bumi Kenyalang kerana beliau pernah membakar semangat masyarakat untuk bangkit menentang penjajah.
Dewasa ini, pelbagai hiburan dan kemajuan teknologi maklumat yang makin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya golongan belia. Mereka dilihat lebih gemar melayari laman sosial untuk bersembang seperti menerusi facebook, friendster, twitter, dan sebagainya.
Persoalannya ialah bagaimanakah cara kita boleh menghargai, mengingat dan mendekatkan diri dengan peristiwa-peristiwa bersejarah tanah air. Kita sebenarnya teringin untuk menyaksikan sendiri bagaimana keadaan peritnya pengorbanan yang telah diredahi dan dirasai tokoh-tokoh pejuang tanah air ini.
Sudah pastinya pentas seni seperti bidang teater merupakan platform yang terbaik di mana boleh menyuntik semangat dan merasai kembali roh perjuangan tokoh pahlawan negara kita. Kita tidak mahu golongan muda amnya semakin lena menikmati keamanan dan ketenangan di negara ini sehingga melupakan jasa tokoh-tokoh pejuang negara tercinta.
Atas dasar kesedaran akan pentingnya bahawa jasad Rosli Dhoby yang telah lama meninggal perlu ditiup kembali ke minda masyarakat kita. Maka muncul ilham, salah seorang karyawan Sarawak iaitu Abang Patdeli Abang Muhi menghasilkan sebuah skrip teater untuk dipentaskan.
Skrip teater yang beliau hasilkan bertajuk Rosli Dhoby :Luka Darul Hana (RD:LDH) telah berjaya dipementasan pada 27 dan 28 Disember 2010 bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS). Objektif pementasan ini dibuat adalah supaya roh Rosli Dhoby dapat dihidupkan kembali dan tidak tersirna dari ingatan masyarakat.
Pementasan teater RD:LDH tersebut adalah hasil usaha DBPCS yang telah bekerja keras untuk mencari tenaga produksi yang berpengalaman seperti pengarah teater untuk melatih peran-peran untuk mementaskan sebuah skrip kepada bentuk teater.
Pementasan teater ini sangat menarik kerana sangat dekat dengan naluri para peran iaitu bertemakan semangat juang pemuda Melayu. Siapa sangka, di sebalik ketaatan dan ketundukan masyarakat terhadap kedatang penjajah maka denga beraninya tampil seorang pemuda bernama Rosli Dhoby mengorak langkah maju melawan arus.
Tanpa rasa takut kepada orang Inggeris, Rosli Dhoby bertekad menumpahkan darah Gebenor Inggeris di Sibu pada ketika itu iaitu Sir Duncan Stewart. Beliau hanya bersenjatakan sebilah badik dan berjaya menitiskan keluar hujan merah dari baju Sir Duncan Stewart pada 3 Disember 1949.
Penonton yang pernah menyaksikan pementasan teater ini di Balai Budaya, DBPCS pastinya berasa puas dan terhibur kerana pementasan dibuat dipentaskan dua malam berturut-turut supaya dapat memberi peluang kepada penonton menghayati bagaimana perjuangan Rosli Dhoby dan juga berhibur dengan unsur-unsur komedi yang diselitkan oleh pengarah melalui kepintaran watak-watak pembantu ataupun peran yang telah berjaya mengamatkan suasana perjalanan cerita yang serius.
Keserasian pelakon dengan watak yang dipegang adalah amat penting supaya pelakon mampu menonjolkan suasana yang realiti seperti mana yang dialami pada era perjuangan Rosli Dhoby menentang penjajah.
Atas azam tidak mahu ditindas demi mengangkat maruah bangsa, agama dan negara mendorong Rosli Dhoby menghentikan nafas Sir Duncan Stewart. Rosli Dhoby tidak kisah dikatakan pemberontak, asalkan orang Inggeris sedar bahawa orang Melayu bukanlah bangsa yang senang dipergunakan dan dipijak sesuka hati.
Bidang seni teater sememangnya suatu bidang yang amat mencabar kepada tenaga produksinya. Komitmen dan kerjasama dalam kalangan ahli produksi dan juga para pelakon adalah sangat dituntut.
Selagi sesebuah produksi belum memuaskan pengarah, selagi itulah latihan akan sentiasa dibuat untuk memperbaiki segala kekurangan yang mampu diubah demi untuk menghasilkan sebuah pementasan teater yang baik iaitu untuk mengajar, mendorong, menghiburkan dan mampu memberikan kepuasan kepada para penonton yang hadir.
Misalnya pementasan teater Rosli Dhoby dilihat banyak memberi manfaat kepada golongan muda terutama dari segi nilai patriotismenya. Sebenarnya usia muda adalah peringkat yang terbaik untuk kita menanam semangat mempertahankan negara dari dijajah oleh bangsa asing.
Bagi memperbaiki kualiti persembahan para pelakon dan juga memantapkan lagi kemahiran teknikal ahli produksi yang terlibat dengan pementasan teater RD:LDH terutamanya dari segi elemen-elemen artistiknya. Maka, pihak pengurusan DBPCS telah bersetuju untuk mengadakan satu sesi diskusi tentang pementasan teater RD:LDH yang akan dibuat pada 12 Febuari 2011, iaitu pada hari Sabtu bertempat di Balai Budaya, DBPCS bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Panel-panel yang akan dijemput untuk berdiskusi tentang pementasan teater RD:LDH ini adalah dalam kalangan penggiat teater yang memang berpengalaman luas dalam bidang teater, antaranya ialah Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah (Pensyarah Unimas), Ismail Hamdan (Pegawai Kebudayaan, JKKN Sarawak), Ahmad Badwi Nerawi (Penggiat Teater Bangsawan), Abdillah Untong (Pegawai Kebudayaan, KPSU Sarawak).
Antara persoalan-persoalan yang akan disentuh sepanjang diskusi tersebut ialah mengenai kerelevanan naskah, vokal pelakon, Penataan (bunyi, cahaya, busana, pentas, set dan prop) dan juga aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pementasan teater RD:LDH.
Pada 26 Febuari 2011, pihak DBPCS akan menghantar satu kumpulan teater ke sibu untuk mementaskan skrip yang sama iaitu Rosli Dhoby: Luka Darul Hana. Sehubungan itu, salah satu persiapan yang terbaik sebelum pementasan ini diadakan ialah dengan mengadakan satu sesi diskusi.
Pementasan teater Rosli Dhoby dipersetujui untuk dipentaskan semula pada 26 Febuari 2011 bertempat di Dewan SMB Methodist, Sibu. Pementasan akan bermula pada jam 8.00 malam. Orang ramai dialu-alukan untuk datang menyaksikan pementasan teater ini tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Sinopsis pementasan teater RD:LDH adalah mengisahkan hari-hari terakhir Rosli Dhoby ketika beliau berada di dalam penjara-sesungguhnya tidak banyak diketahui tentang keberanian Rosli Dhoby menikam Sir Duncan Stewart, dan apakah yang mendorong beliau untuk membunuh Gabenor Inggeris itu.
Dan juga, tidak banyak yang diketahui tentang konflik yang dialami oleh Rosli Dhoby ketika di penjara pada saat terakhir kehidupan beliau. Apakah fundelmental dan signifikan perjuangan Rosli Dhoby? Kaum manakah yang dominan dalam perjuangan menentang penjajahan yang licik dan serakah itu? Siapakah kekasih Rosli Dhoby? Apakah yang dialami oleh Rosli Dhoby ketika di dalam penjara? Semua jawapan kepada persoalan tersebut terjawab di dalam pementasan teater Rosli Dhoby: Luka Darul Hana.
Antara barisan pelakon yang akan melakonkan naskah drama Rosli Dhoby:Luka Darul Hana di atas pentas nanti ialah Hasrul Mohamad sebagai Rosli Dhoby, Syazwani Abdul Hamid sebagai Hani, Kahar Jini sebagai Haji Zaidi, Zakaria Hasan sebagai Tuan Dawson, Ferrazzillah Haji Mohd sebagai Duncan Stewart dan Siti Hasrina Mohd Shamsuddin sebagai Puan Duncan.
Peran-Peran lain yang berperanan sebagai watak pembantu ialah Sabri Bujang, Mohd. Ghazali Jeman, Mohd. Khaider Khaldin, Malek Hassan, Hartini Adurahaman, Wezan Saili, Iswandy Suhaili, Ernie Doris Usin Abdullah, Kamarulizam Hassan, Norfazrie Isquandy Nurul Zailani Moshidi, Zulkefli Md. Jasin dan Marlia Afeeza binti. Razali.
Melalui teater kita dapat mengapresiasikan sendiri bagaimana keadaan sebenar yang dialami oleh pejuang-pejuang ini pada saat-saat perjuangan mereka. Kita mengharapkan supaya negara Malaysia terus aman dan masyarakat kita akan terus berpegang kuat dengan amalan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri kita iaitu YAB. Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Andai kata, suatu hari nanti Bumi Kenyalang digegarkan semula oleh sesuatu kuasa asing yang cuba merosakan kepimpinan yang sedia ada, kita menyeru seluruh masyarakat Bumi Kenyalang supaya mempunyai roh seperti Rosli Dhoby iaitu mempunyai jiwa yang berani demi mempertahankan ibu pertiwi daripada jatuh ke tangan penjajah.
No comments:
Post a Comment