Penulis Muda: Menelusuri pengalaman, pengamatan Putera


Oleh
PENA PERMATA

Saya masih ingat ketika Saudara Jaafar Hj Hamdan(kini Ketua I PEKASA) masih berkhidmat di DBP Kuala Lumpur, mengeluarkan suatu kenyataan di bahawa Sarawak tidak mempunyai penulis muda, maka ramai orang termasuk berasa dirinya penulis marah lalu tersinggung dengan kenyataan itu.

Hal itu diluahkan ketika “Perkampungan Penulis Muda di Melaka” beberapa tahun yang lalu. Akan tetapi kita harus menerima hakikat bahawa kita memang tiada penulis muda yang mampu ditonjolkan berdiri dengan pengarang muda dari negeri lain di Malaysia.

Saya berasakan hal itu adalah suara jujur Saudara Jaafar Hj Hamdan selaku orang yang kuat menggerakkan penulis di Sarawak, beliau melihat dari pengamatan dan kunjungan ke merata pelosok Sarawak. Tentunya beliau telah menilai dirnya dan kenyataan itu sebelum ia lahir dari jiwa jujurnya.

Bercakap soal penulis muda, dimana-mana pun memang sulit mencari penulis muda yang tahan uji. Memang ramai yang ingin dan mahu menjadi penulis, pengarang, pengkarya atau pelbagai jenama yang seumpama itu maknanya, tapi gagal menterjemahkan kesinambungan dalam bidang ini.

Menurut Dr. Jeniri Amir, seorang pensyarah di UNIMAS juga seorang pengkritik sastera dan juga pengkritik politik yang berani dan lantang, antara lain menyebut bahawa, “tiada orang yang mahu mengarahkan kita menjadi penulis.” Kita yang mahukan dan suka menjadi penulis. Maka oleh itu kita mesti menjalankan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat niat dan hajat yang sekian lama kita pendamkan.

Kita memang banyak berpolemik posisi dan takrif penulis muda itu sendiri. Penulis muda itu tidak mengira usia tetapi lebih fokus kepada usia kepengarangannya dalam bidang kreatif atau penulisan. Kalau seorang mahasiswa sudah menulis dan menghasilkan beberapa buku contohnya, kita tidak boleh melabelkan beliau sebagai penulis muda walaupun usianya muda belia, tapi umur kepengarangannya sudah semakin matang.

Penulis yang berusia boleh dianggap sebagai penulis muda kerana mengira saat ia mulai berjinak-jinak dengan dunia kepenulisan ini pada peringkat usia menghampiri senja. Tiada siapa pun yang patut menyalahkannya lewat menceburi bidang ini kerana memulaiya di saat-saat akhir usia emasnya, tetapi ia patut dicemburui kerana usaha menjadi penulis bukanlah suatu proses yang mudah.

Universiti atau pusat pengajian kita boleh mendidik mahasiswa menjadi penulis atau tetapi belum mampu melahirkan seorang penulis yang benar-benar berjaya , melibatkan diri dan kegiatan sepenuhnya dalam genre penulisan ini. Penulis bukanlah dilahirkan oleh universiti semata-mata, tetapi penulis perlu ke universiti untuk lebih afdal mendapatkan ilmu sastera, pengetahuan dan pelbagai ilmu bantu yang wajar dikuasai.

Di Sarawak, bukan suasana ini kita akan jumpa penulis muda yang berusia ini ialah Pak Sabin Talip seorang pesara kerajaan dan kini aktif dengan pelbagai kegiatan sastera. Terbaru dalam acara “Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 ” di Bintulu pada November 2010 ini beliau ada menyatakan kepada saya akan menerbitkan 2 buah manuskrip novelnya sendiri. Itu usaha yang layak dipuji. Soal kualiti pula soal yang lain, soalnya Pak Sabin telah menulis dan berjaya menghasilkan manuskripnya.

Mungkin di dalam PUTERA sendiri kita tidak jumpa situasi sebegini. Kita tokoh veteran di dalam PUTERA yang ikut bergiat aktif seperti Pak Hamid Syarif juga seorang pesara kerajaan yang berasal dari Trusan(kawasan Daerah Lawas) tetapi beliau belum sampai untuk menulis segala pengalaman dan rempah ratus kehidupan yang dilalui dalam bentuk tinta tulisan. Alangkah indah dan moleknya segala cerita yang dialami oleh beliau itu dalam kepelbagaian kegiatan dan program kalau disimpan dalam sebuah peti yang berharga sebuah buku, malangnya kita tidak mampu memaksa beliau untuk menulis walaupun beliau sudah sekian lama berada di dalam organisasi bahasa, sastera dan budaya di dalam PUTERA.

PUTERA secara jujurnya tidak ramai penulis apa lagi penulis muda. Itu hakikat yang kita harus terima biarpun pahit. Biarpu banyak bengkel dan acara penataran penulis dibuat tetapi hasilnya begitu juga. Inilah disuarakan oleh pihak DBP dalam setiap perbincangan. Setiap tahun DBP membelanjakan puluhan ribu malah ratusan manusia untuk dibimbing menjadi penulis, tapi masih banyak buku kreatif yang tidak laku yang jelas membawa gambaran bahawa para penulis yang dibengkelkan ini tidak membeli buku.

Bagaimanakah mahu menjadi penulis kalau tidak membaca? Demikian sungut dan rungutan seorang rakan dari DBP Sarawak dalam melihat perkara ini. Saya melihat ada kebenarannya dalam perkara ini. DBP sebagai sebuah badan kerajaan yang berteraskan rakyat memang bercita-cita mahu melahirkan pemikir, cerdik pandai melalui hasil pancaran dari tulisan dengan mengadakan pelbagai kursus penulisan, bengkel pelbagai genre dari cerpen, novel, drama, teater, puisi, esei kritikan, cerita rakyat dan macam-macam lagi mahu diajar kepada rakyat atau warga berjiwa seni yang meminati bidang ini. Tapi jumlah yang berjaya dan bertahan menjadi pengarang sehingga ke hari ini boleh dihitung.

Mahu menjadi penulis bukanlah kerja main-main dan melalui jalan pintas untuk “cepat naik” atau popular. Ini bukan macam bintang filem yang boleh jual pakej wajah cantik, suara merdu, lenggang bergaya tetapi hakikatnya penilaiannya ialah karya yang dihasilkan melalui penulisan.

Kita diuji oleh zaman, tulisan, himpitan dan segala macam peristiwa yang akan mematangkan kita. Ada yang meletup menjadi penulis hebat kerana sayembara, kerana bakat hebatnya, tetapi ada juga yang terus merangkak menulis dari bawah sehingga dewasa dan perkasa dalam penulisan tanpa diangkat dari sayembara. Walaupun sayembara itu adalah “indikator” atau penanda aras kejayaan seseorag penulis.

Tanpa banyak melabel sesiapa pun dalam hal ini, kita mesti akur akan hakikat itu. Tapi tidak semua kejayaan dalam sayembara itu boleh menyebabkan kita terus hebat dan berjaya. Cabaran ini juga yang mungkin melemahkan jiwa penulis muda yang ada untuk meneruskan bidang ini.

Sememangnya menulis itu umpama sebuah marathon yang jauh jaraknya, yang penting kita ada kesungguhan untuk sampai atau mencapai bagi menghasilkan karya. Kita harus konsisten berkarya supaya dapat dinilai dan dilihat oleh para pengkaji akan stamina kepengarangan kita. Ini dapat kita ambil contoh dari Saudara Jong Chian Lai, seorang penulis yang berstatus penerima “SEA Writers Award” di negeri Sarawak.

Begitu juga Saudara Zainal Abidin Haji Suhaili atau dikenali dengan nama Abizai yang sejak di bangku sekolah menanam minat menulis puisi dan bercita-cita menjadi penyair sehingga ditertawakan oleh rakan-rakannya, tetapi hari ini Abizai membuktikan bahawa ia seorang penyair besar yang luar biasa dilahirkan oleh PUTERA malah Sarawak Bumi Kenyalang.

Usia kepengarangan kita itu yang akan menentukan jaya atau gagalnya kita dalam bidang ini. Itu mengambil contoh satu dua pengarang mapan di Sarawak masa kini. Mereka berjaya bukanlah dalam jeda masa yang singkat, tetapi memerlukan puluhan tahun untuk membentuk jenama dan jati diri kepengarangan masing-masing. Hal ini sama ditempuhi oleh Jais Sahok, Awangku Merali Pengiran Mohammad, Saie Driss, Latifah Hj Sebli, Adi Badiozaman Tuah dan lain-lain.

Mungkin juga orang ada yang mempertikaikan bahawa apa ada pada penulis dalam nilai ekonomi? Sangkaan itu meleset, kalau kita mampu menerbitkan karya atau tulisan tentang mampu bersandarkan bidang ini untuk kehidupan. Ada puluhan penulis di Malaysia yang menulis novel ppular yang kaya raya, mempunyai rumah mewah sehingga 2, 3 buah.

Lebih lagi hebat kalau karya-karya di pilih untuk buku teks pelajar di sekolah. Boleh menjadi “jutawan” atau orang kaya baru. Ini antara contoh yang biasa. Saya teringat kata-kata seorang guru saya, “untuk menjadi penulis tidak akan miskin walaupun mungkin tidak kaya raya”. Hal ini terjadi kepada Pramoedya Ananta Toer, pengarang roman Indonesia yang tersohor itu, yang bukunya berjaya menjadi buku teks di Malaysia, tetapi hasilnya keuntungannya tidak diraih beliau mungkin kerana beliau disumbat dalam penjara. Tapi karya beliau dibicarakan dan dibincangkan di Nusantara yang mengenali karyanya dalam bahasa Melayu.

LIHAT MUKA 7



Penulis Putera di kalangan usia muda

DARI MUKA 8

Kembali melihat dalam suasana PUTERA. Kebanyakan pengarang PUTERA terdiri dari orang berusia muda seperti Abziai, Poul Nanggang, Jaya Ramba, David Belulok, Noor Abby, Abang Daud Abang Taha, Wira Mancha,Omar Sidek Murad, Abang Median Abang Said, Zabaaie Shuaini, Yan Kelana (sekadar beberapa nama) dan lain-lain. Mereka ini berusia dibawah 50 tahun.

Penulis muda yang dianggap baru muncul di PUTERA adalah seperti Maliah Adenan yang kini berhijrah ke Kuching bersama DBP Sarawak dan persatuan penulis PEKASA, Frankie Latif juga bersama PEKASA kini, David Belulok yang mulai menanjak maju dalam bidang cerpen, Sudan Ajang yang berjaya dalam penulisan rencana dan kewartawanan yang kebetulan bertugas sebagai wartawan di Utusan Borneo, sementara yang lain masih lagi di peringkat awal dalam mewarnai kanvas penulisan sastera seperti Yusran Junaidi,Wan Hairulhaizam, Morsalin Wasli, Sapiah Joll, James Nibong, Siti Rokiah Metali dan beberapa orang yang lain. Kita tidak mampu menyembunyikan perasaan gundah bahawa kita tiada atau ketandusan penulis muda di dalam PUTERA. Kali terakhir bengkel penulisan kreatif dibuat pada 2008 antara PUTERA dan DBP yang menghimpunkan sekitar 30 orang penulis di Miri, tapi sehingga saat ini masih belum dapat mencipta nama dan mengubah lanskap penulisan yang ada.

Kemampuan mereka ini menyaingi penulis mapan PUTERA terlalu jauh jaraknya. Setakat ini Maliah Adenan, David Belulok, Frankie Latif boleh kita banggakan kerana sudah mulai menerjah ke majalah “Tunas Cipta” khas untuk penulis muda. Selebihnya untuk maju mereka harus berusaha sendiri, tidakah terus-terusan minta disudu setiap kali. Apapun ini terpulang kita sendiri untuk maju dan bangun yang macam mana dalam karier kepenulisan kita.

Rasanya untuk menutup kegusaran saya dalam membentuk pelapis penulis di dalam PUTERA khasnya dalam jenama “penulis muda”, kita perlu terus merancakkan usaha pembinaan penulis atau penataran. Menghantar para penulis kita ke pelbagai bengkel dan menghasilkan tulisan yang mampu mereka terbitkan, banggakan sebagai hasil yang dijadikan bahan dokumentasi.

Kita tidak harus pura-pura dan berlagak penulis kalau tidak mampu menulis atau tiada benda yang ditulis. Dalam pada itu, kita harus juga mengadakan pertemuan penulis muda Sarawak yang belum dilaksanakan. Para peminat penulisan yang di bawah usia 40 tahun patut dikumpulkan dalam sebuah pertemuan. Kemudian diadakan penataran supaya karya-karya mereka dikemas dan baiki dalam bentuk isi, keindahan bahasa dan pelbagai aspek. Para penulis sedia boleh membantu mereka dengan pengalaman yang ada.

Tugas ini bukanlah tugas organisasi penulis sahaja, DBP atau Kementerian Kebudayaan tetapi juga masyarakat, kerajaan yang memerintah,ketua jabatan, ahli politik yang ada kuasa di tangan sama-sama turun gelanggang menyumbang idea dan kebijaksanaan agar budaya penulisan ini dapat dan mampu melahirkan generasi yang menelurkan tamadun ilmu kepada anak bangsanya. Ini bukan titik akhir di sini sahaja tetapi berterusan selagi kehidupan masih ada.

Perkara yang lebih besar lagi adalah menyediakan dana yang mencukupi untuk perkara ini berjalan dalam masyarakat kita. Contoh yang menarik sekarang ialah unsur sastera dalam kem PLKN melalui Program Penghayatan Sastera Budaya(PPSB). Hal ini tidak dikembangkan kerana sikap masyarakat kita termasuk penggubal dasar melihat sastera itu hal remeh temeh tidak menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa.

Kemudian hasil dari bengkel atau penataran itu tadi diterbitkan dalam apa bentuk sekalipun, supaya semangat berkarya itu terus membara di kalangan penulis muda ini. Dengan munculnya karya dalam bentuk antologi bersama atau apa-apa lagi bentuk persendirian dan sebagainya, akan membuat keyakinan tinggi para penulis ini untuk benar-benar menjiwai bidang yang “sunyi dan sepi ini” menurut Sasterawan Negara Dr Datuk A Samad Said.

Buku atau hasil karya mereka ini dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan untuk kumpulan ini supaya mendidik mereka berdikari sendiri mendapatkan tempat dan posisi dalam persaingan dengan penulis mapan.

Mengambil contoh di Sarawak, kalau takut pihak pertubuhan sastera menyeleweng dana yang ada, maka mengujud “Unit Bahasa Malaysia”(kalau tidak salah) di setiap Pejabat Residen harus dihidupkan lagi dan menjadi penggerak kepada kegiatan penulis muda yang ada.

Ini sebagai platform awal kita gunakan kalau ingin dapatkan dana daripada pemerintah yang dijalankan secara tersusun dan teratur. Maka kita mampu melihat hasilnya dalam masa yang panjang. Mungkin tidak dapat dituai atau dilihat hasilnya sekelip mata sahaja.

Kalau kita mempunyai kegiatan yang tersusun, program yang terancang dan terarah kemudian matlamat yang jelas maka usaha ini akan berbaloi. Maka warisan membina penulis itu bukan lagi dibuat seadanya sahaja, kerana saya menyatakan tadi untuk melahirkan penulis kita tidak mampu mendidiknya dari universiti tetapi jiwa dan rasa tanggungjawab kepengarangannya itu harus kita sokong dan gerakkan sepenuhnya.

Setelah kita bina semacam sebuah badan kesenian membolehkan anak-anak ini tadi mengembangkan bakat dan karya mereka dalam bentuk komresil. Kita boleh mengadaptasi produk seni dari kewujudan TIM(Taman Ismail Marzuki) di Indonesia.

Mungkin pada mulanya kita buat secara kecil-kecilan kemudian akan menjadi semacam dunia bisnes yang boleh menguntung industri pelancongan kita dengan pakej teks karya diterjemahkan dalam bentuk persembahan, nyanyian, teater, kebudayaan, drama, lagu puisi dan pelbagai kesenian yang boleh wujud dari penulisan ini sendiri.

Kalau ini kita mampu buat di Sarawak di setiap bahagian yang ada, maka rasanya pembinaan penulis itu tetap berbaloi bukanlah usaha sia-sia yang merugikan. Kalau kita melihat di peringkat kebangsaan mungkin seperti pembinaan “Istana Budaya” tapi sudah mencapai aras tinggi atau di peringkat negeri “kampung budaya” tetapi ini fokusnya hanya budaya tidak menyeluruh. Kita patut fikirkan acuan begitu.

UTUSAN SARAWAK, 3 MAC 2011

Permasalahan karya dan pengkritik


UNTUK tempoh 30 tahun lalu, sudah banyak penulis lahir di Sarawak. Jika pada dekad 1970-an dahulu Sarawak berdepan dengan masalah kekurangan karya sastera, kini sudah banyak karya diterbitkan pelbagai pihak, terutama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara karya atau pengarang dengan khalayak, berdiri di tengah-tengah ialah pengkritik sastera,” kata Dr. Jeniri Amir dalam makalahnya Kritikan Sastera di Sarawak: Antara Permasalahan Karya dan Pengkritik pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika sesetengah penulis mmungkin sahaja menganggap bahawa kritikan tidak penting untuk kehidupan kreatif mereka, hakikatnya pengkritik memainkan peranan signifikan dalam perkembangan dan pertumbuhan sastera.

Tiga wilayah dalam dunia sastera – pengarang, pembaca dan pengkritik jelasnya, sama-sama penting bagi menjamin pertumbuhan dunia sastera yang sihat dan subur.

Katanya, kritikan sastera sebagai satu disiplin ilmu yang saintifik dengan pendekatan dan teori tertentu bukan bertujuan hanya untuk mencari kelemahan dan kekuatan karya, sebaliknya perlu berperanan untuk mentafsir, mengamati, mengapresiasi dan menilai karya dengan objektif berdasarkan teori dan kerangka tertentu.

“Kritikan yang baik ialah kritikan yang bertanggungjawab dan beretika. Kritikan bukan untuk melemparkan cacian dan gunjingan. Kritikan bukan untuk mereka yang bersikap memihak, kurang teliti, tidak adil, prejudis atau bias. Sebaliknya kritikan menuntut kerja seni yang objektif, berimbang, analitis, matang emosi dan intelektual dengan pemikrian yang tajam.

“Pengkritik perlu berpegang kepada falsafah sentiasa menjunjung kebenaran dan berani kerana benar. Penghakiman yang dijatuhkannya terhadap karya yang dinilainya itu perlu berdasarkan ketepatan, keadilan, hujah, data dan maklumat yang sesuai dan tepat yang terdapat dalam teks atau di luar teks. Pengkritik harus bertanggungjawab terhadap segala hujah dan pendapat yang dilontarkannya,” katanya.

Kritikan jelasnya tidak terhad kepada karya yang dibicarakan, tetapi juga meliputi isu dan masalah yang melingkari karya berkenaan.

“Maksudnya, aspek sosiopolitik, ekonomi, persekitaran karya yang dianalisis itu perlu diambil kira apabila membedah karya berkenaan.

“Karya itu perlu dibicarakan dalam konteks zaman dan bukannya diperkatakan dalam kepakuman dan kekosongan.

“Karya tidak dihasilkan daripada kekosongan melainkan turut dipengaruhi oleh perkembangan sosial, politik, ekonomi, alam sekitar dan sebagainya yang berkembang dalam masyarakat. Bukankah karya sastera cerminan atau peniruan daripada gejala yang berlaku dalam masyarakat?”

Oleh itu jelas Jeniri, pengkritik perlu mempunyai pengalaman, pengetahuan dan wawasan yang jauh lebih luas dan mendalam untuk memungkinkannya melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

“Kritikan akan sentiasa berguna selagi dilakukan dengan jujur tanpa niat untuk menjatuhkan pengarangnya,” katanya.

Dengan mengkritik berdasarkan neraca yang objektif, kritis, analitis dan imaginatif, kritikan ujarnya boleh dianggap sebagai mangkin yang membantu menumbuhkan karya sastera.

Krikan sastera yang baik dapat memberi panduan berguna, malah motivasi dan inspirasi kepada pengarang, manakala kritikan yang sarat dengan cacian dan kenyataan negatif bersalutkan niat jahat dapat membunuh motivasi dan keghairahan pengarang untuk terus berkarya.

“Kritikan yang bersalutkan untur negatif dan niat jahat tidak baik untuk perkembangan sastera kita. Sesungguhnya, kritikan dapat menjadi penyuluh bukan sahaja kepada pengarang, tetapi juga kepada pembaca.

“Kritikan akan menjadi jambatan penghubung antara pengarang dengan khalayak sastera. Peranan pengkritik akan sentiasa diperlukan lebih-lebih lagi jika karya berkenaan sarat dengan falsafah, perlambangan dan kesukaran dari segi teknik dan gaya bahasa.

Kritikan mudahkan pembaca karya sastera

Ujar Jeniri, dengan adanya ulasan, tafsiran, analisis dan huraian bersandarkan hujah dan bukti yang konkrit, maka lebih mudah bagi khalayak umum yang mungkin tidak terdidik dalam sastera untuk lebih memahami karya sastera.

Secara tidak langsung usaha berkenaan akan dapat membangkitkan minat terhadap sastera dalam kalangan masyarakat pembaca umum, jelasnya.

“Hakikatnya, tiga dan tanggungjawab pengkritik adalah untuk mendekatkan karya dengan pembaca sehingga akhirnya jurang lebar antara pengarang dengan karya berupaya dijambatani.

“Dengan sifat karya sastera yang kompleks yang dibina oleh pelbagai unsur dan komponen, bantuan pengkritik sebagai pakar untuk menjelaskan dan mentafsirkan karya berkenaan adalah penting dan perlu. Kecuali persoalannya berapa orangkah pembaca sastera kita membaca kritikan sastera.”

Menurutnya, pembaca sastera yang serius tentu berusaha untuk lebih memahami teks yang dibacanya dengan membaca pandangan dan kritikan pengkritik, kerana kritikan biasanya menyelongkar, merungkai, dan menyuluh sisi-sisi kabur, gelap dan perlambangan dalam karya berkenaan.

Dengan itu tambahnya, pengkritik mendidik khalayak atau pembaca untuk menjadi khalayak yang lebih matang dan lebih mengerti, dan seterusnya mampu mengapresiasi teks lain dengan lebih baik.

“Tetapi dia perlu terlebih dahulu seorang yang matang dan stabil emosinya, tidak pilih kasih dalam menghakimi karya. Pengkritik harus dapat memberi 'insight', iaitu menelusuri dan menyelongkar pemikiran dan maksud yang terselindung di sebalik karya.

“Jika dunia pengkritik sendiri kecil dan sempit serta peribadinya tidak seimbang, bagaimanakah pengkritik berkenaan dapat membicarakan dunia kreatif dan sastera yang kompleks dengan baik?

“Justeru, pengkritik perlu mempunyai rasa seni dan kekuatan bahasa yang tinggi tahapnya bagi memungkinkannya melakukan tugasnya dengan baik. Dia harus mempertemukan unsur kesarjanaan dan seni sekali gus dalam kritikan yang dilakukannya.”

Pengkritik yang baik harus dapat memainkan peranan penting untuk mengenal pasti bakat yang baik, memberi rangsangan untuk bakat itu berkembang, dan memberi panduan kepada bakat berkenaan membaiki sebarang kelemahan dalam karyanya.

“Saya masih ingat lebih kurang 20 tahun lalu bagaimana ketika saya mula-mula membaca puisi karya Abizai, saya terus terpikat dan tersihir oleh karya beliau.

“Saya mengatakan beliau merupakan bakat baharu yang perlu diberi perhatian kerana potensinya, dan saya mengatakan bahawa, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika beliau akan muncul sebagai penyair besar suatu hari nanti.

“Ternyata agakan dan analisis saya itu tidak tersasar, kerana ahri ini, kita boleh berbangga kerana Abizai merupakan antar apenyair besar tanah air yang begitu menyerlah bakat dan potensinya, sebagaimana terbukti daripada keupayaan beliau memenangi pelbagai hadiah termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia.””


UTUSAN SARAWAK, 3 MAC 2011

Realiti, cabaran bahasa Melayu dan 1Malaysia

KERJA-KERJA memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara menjadi tanggung jawab bersama. Bahasa Malayu itu disepakati sebagai bahasa negara yang termaktub dalam Perlembagaan. 1Malaysia akan tempang tanpa keutuhan satu bahasa negara.

Menjelas perkara ini Bahasa Melayu dan 1Malaysia: Realiti dan Cabaran dalam ucap uatama sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Kuching baru-baru ini, Datuk A. Aziz Deraman mencadangkan, sikap pihak yang berwewenang perlu memahami dan bergerak dengan penuh komitmen bagi menjayakan dasar bahasa negara.

Menurutnya, rasional asal keperluan sebuah bahasa negara adalah untuk mencapai matlamat kestabilan politik, kemajuan ekonomi, perpaduan dan kesatuan sosial, selain pemupukan keperibadian kebangsaan melalui satu bahasa kebangsaan, sebab bahasa sekadar sistem linguistik, tetapi sistem kognitif yang melibatkan budaya.

“Sistem itu pula akan berkembang maju ke tahap kebudayaan tinggi. Manakala peradaban mana-mana bangsa sekali pun tidak akan terjelma tanpa amalan kebudayaan tinggi. Fahamilah hakinatnya!. Bahasa asas pembinaan tamadun bangsa.

“Apakah tidak ada kemungkinan diwujudkan sebuah Suruhanjaya Bahasa Negara (SBN)? Peranan dan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diangkat dengan diberikan matlamat, peranan dan fungsi yang lebih luas secara inovatif dengan diberikan matlamat, pranan dan fungsi yang lebih luas secara inovatif dan kreatif.

“Cadangan ini telah saya sebutkan secara spontan semasa Forum Wacana Bahasa Melayu, di Kangar pada 20 Januari lalu. Sebuah suruhanjaya boleh bertindak melalui 'kuasa', 'kuatkuasa' dan 'penguatkuasaan' undang-undag menyelesaikan masalah pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang belum tercapai sepenuhnya itu.

“SBN akan bertindak memantau penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi; menentukan wujudnya sebuah bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia atau menyelia kekuatan bahasa sebagai pengantar pendidikan mengikut keutamaan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta,” katanya.

Badan itu jelasnya, boleh menggerakkan perluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan atau meningkatkan prestasi bahasa Melayu sebagai penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi dan meluaskan penggunaannya dalam amalan industri (kecuali IKS) dan bidang profesional (perubatan, kejuruteraan, kepeguaman, kewangan dan seumpamanya).

“Apakah yang sepatutnya dilihat bersama dalam unjuran “Gerakan Baru” penegasan semula itu? Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam konteks ini kena diberikan perhatian serius,” tambahnya.

Jelasnya, perkara-perkara penting yang perlu diberikan perhatian melalui SBN antara lainnya adalah penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa negara; dasar bahasa negara dan fungsi bahasa Melayu; dan, senario pencapaian pelaksaan dasar bahasa negara.

Juga, permasalahan utama pelaksanaan yang memerlukan penyelesaian menyeluruh; peranan agensi perancangan bahasa khsususnya DBP yang menjadi komponen utama kepadanya – peranan agensi pengembangan bahasa seperti pihak-pihak berkuasa kerajaan di peringkat pusat, negeri, kerajaan tempatan.

“Malaysia akan segera menjadi sebuah negara maju. Apakah kemajuannya itu dicitrakan oleh kepelbagaian tanpa kesatuan, arah tujunya bersimpang siur? Tentu tidak! Jadi perancangan strategik bagi menyelesaikan masalah pembangunan, pengembangan dan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara menjelang 2020 hendaklah digubal segera.

“Pada masa yang sama bahasa Melayu yang sudah berada diu martabatnya itu boleh diperkasakan dengan melihat masalah-masalah utama dan menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat.

“Hal ini boleh dilakukan melalui penyelesaian masalah penguatkuasaan pelaksanaan bahasa kebangsaan di sektor awam selaras dengan penegasan aspirasi Perlembagaan Negara. Ketegasan pelaksanaannya dikenakan secara berhikmah ke atas sektor awam, swasta dan organisasi umum,” ujarnya.

UTUSAN SARAWAK, 24 FEBRUARI 2011

Teori dan karya sastera

"APA gunanya teori sastera? Jawapan yang paling mudah bagi menjawab pertanyaan yang cukup mudah ialah – teori sastera berusaha menjelaskan, mengklasifikasikan dan menggeneralisasikan apa-apa yang disebut karya sastera," kata Abang Patdeli Abang Muhi.

Berkata demikian dalam makalahnya Soal Pembangunan Sastera Kebangsaan di Sarawak pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010, Abang Patdeli menjelaskan, teori sastera atau apa-apa juga namanya menyediakan kriteria bagi penilaian sastera – adakah sesebuah karya sastera itu berharkat atau tidak?

Harkat sesebuah karya sastera jelasnya, dinilai dari segi mutunya, keaslian dan kekuatannya yang lain.

Justeru, dengan fungsi demikian rupa, katanya, kedudukan teori sastera menjadi cukup penting kepada pengkritik sastera yang berperanan menilai karya sastera, dan kepada sejarah yang berperanan untuk mencatat perjalanan pengarang dan sasterawan serta karya-karya sastera mereka.

Teori sastera juga membantu pembaca untuk menawarkan kerangka berfikir bagi mereka untuk memahami dunia karya sastera. Dunia karya sastera itu sasterawan dan latar belakangnya serta kepengarangannya.

"Jika kita, baik sebagai pembaca mahupun pengkritik karya sastera, ingin memahami dan menikmati karya, pemahaman kita akan kian baik apabila disertakan dengan pemahaman terhadap diri pengarang dan kepengarangan mereka.

"Apabila kita telah mengenali sasterawan itu, kita juga akan dapat memahami karya sastera mereka dengan lebih baik. Menurut Selden, karya sastera ialah anak kehidupan kreatif seseorang pengarang, dan mengungkapkan keperibadian pengarang," katanya.

Menurutnya, harkat sesebuah karya sastera itu juga ditentukan oleh kemampuan seseorang pengarang itu sendiri, yakni daya kespontanan, kekuatan emosi, keaslian, daya perenung, kedalaman nilai kehidupan dan keharmoniannya.

Hal-hal seperi demikian kata Abang Patdeli menyebabkan pentingnya peranan sasterawan dalam kajian sastera.

"Sastera dilahirkan hasil daripada rangsangan manusia untuk mengungkapkan diri tentang manusia, kemanusiaan dan alam semesta. Sastera juga adalah pengungkapan permasalahan hidup dan kehidupan, filsafat dan ilmu jiwa.

"Maka, sasterawan boleh dikatakan sebagai ahli ilmu jiwa dan filsafat yang mengungkapkan masalah hidup masalah hidup dan kehidupan, kejiwaan dan filsafat -- bukan dengan cara teknik akademik, melainkan melalui tulisan sastera."

Sebagai karya seni yang mengandungi budi, imaginasi dan emosi, saster ajuga sebagai karya kreatif dimanfaatkan sebagai konsumsi intelektual dan emosi, jelasnya.

"Maknanya, sastera yang dilahirkan oelh sasterawan diharapkan dapat memberi kepuasan estetik dan intelektual kepada pembaca.

"Ironinya, acap kali karya sastera tidak mampu dinikmati dan dimengerti sepenuhnya oleh sekelompok pembaca. Justeru, dalam permasalahan begini, peranan penelaah, peneliti dan pengkritik sastera amat diperlukan bagi mempermudah pemahaman sesuatu karya sastera itu."

Katanya, antara teori sastera dan karya sastera itu adalah saling mendukung, dan untuk memastikan sesuatu karya iru dapat dinilai dan dikritik dengan lebih seimbang.

"Maka, pendekatan dan teori sastera yang diaplikasikan hendaklah sesuai dengan inti pati karya sastera berkenaan," jelasnya.

UTUSAN SARAWAK, 24 FEBRUARI 2011






SUMPAH SETIA BAHASA

Kami, rakyat Malaysia, bersumpah bahawa kami akan terus setia memperjuangkan bahasa Melayu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Rukun Negara melalui prinsip 1Malaysia dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai:

· bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa;
· bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sains dan teknologi;
· bahasa perpaduan serta pembangunan negara yang menjamin kelangsungan bangsa
Malaysia;
· bahasa yang menjaga dan memupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan pemikiran
bangsa; dan
· bahasa yang membawa serta mengembangkan ilmu dan tamadun di negara dan di dunia.

Sesungguhnya, kami bertekad, bahawa kami tidak akan berganjak daripada perjuangan ini!

HARI PEJUANG BAHASA 152... kukuh bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu

PERKARA 152 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadamkan kerana Perkara 159 (2) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Bagi memperingati asas kewujudan bahasa kebangsaan ini, Hari Pejuang Bahasa 152 dicadangkan untuk diadakan pada 15 Februari setiap tahun bagi membina rasa kecintaan, memupuk semangat kesedaran dan nilai tanggungjawab untuk memikul amanah tentang betapa pentingnya meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya.

Program ini penuh simbolik bagi menggerakkan kesedaran, keinsafan dan kecintaan masyarakat mengenai sumbangan bahasa Melayu dalam konteks pembangunan Malaysia. Hari Pejuang Bahasa 152 ini akan menjadi medan untuk membincangkan pelan strategik dan arah tuju bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan serta pembangunan negara, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Tahun lepas, program ini diadakan di Kuala Lumpur. Tahun ini diadakan pula di Sarawak. Majlis perasmian di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dilakukan oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan merangkap Menteri Muda Perancangan dan Pembangunan Sumber, Haji Mohd Naroden Haji Jais. Beliau mewakili Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, merangkap Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Hari Pejuang Bahasa 152 di Sarawak merupakan anjuran DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).

Dalam ucapannya, Datuk Amar Awang Tengah berkata, memperkatakan tentang bahasa Malaysia setelah hampir 54 tahun merdeka, masyarakat harus memahami keperluan semasa yang selaras dan seiring dengan dasar pembangunan, suasana dunia, kepentingan maklumat dan asas matlamat dalam membina satu peradaban bangsa iaitu bangsa Malaysia.

“Saya percaya, dalam hal ini kita sebagai rakyat Malaysia masih berpegang teguh dengan perlembagaan yang sekian lama mendukung nilai kita sebagai rakyat Malaysia yang setia. Tentu sahaja, kita sebagai rakyat yang setia akan tetap mempertahankan perlembagaan negara kita dengan penuh rasa kecintaan yang luhur dan suci.

“Begitu juga halnya dengan Perlembagaan 152 yang jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu yang juga bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dalam pendidikan di negara kita yang berdaulat dan tercinta ini” katanya.

Menurutnya, bahasa Malaysia yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dalam pendidikan melalui detik panjang, penuh pancaroba, didesak dengan pelbagai cabaran dan dipertikai wibawanya.

Beliau percaya bahawa bahasa Malaysia masih yang terunggul sebagai bahasa dan medium komunikasi utama di negara ini. Di Sarawak sendiri, hanya pada 1985 bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi yang utama.

Perkara ini tambahnya, mempunyai alasan yang tersendiri, selaras dengan suasana budaya berkomunikasi di Sarawak di smaping kepelbagaian kaum dna etnik yang ada di negeri ini.

Keunikan dasar politik pembangunan melihat keperluan ekonomi dan sosial telah melalui peningkatan taraf hidup masyarakatnya, dan hal ini menjadi keutamaan kerajaan untuk menaik taraf kehidupan dalam semua aspek, dan salah satunya adalah aspek bahasa, katanya.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelasnya, yang menjelaskan bahasa Melayui sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu harus diteliti dengan konsep yang sesuai dengan alaf baru ini.

“Pertama, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa kebangsaan harus berupaya mendukung nilai kebangsaan dengan mengambil kira kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia. Nilai kebangsaan ini bukan hanya diterjemahkan melalui pengakuan sebagai rakyat Malaysia, tetapi juga perlu membuktikan rasa taat setia kepada dasar yang sedia ada.

“Kedua, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa rasmi harus mampu membawa pemahaman tentang situasi yang rasmi dalam konteks yang memerlukannya bertindak sebagai rasmi, sama ada secara penegasan dasar tanggungjawab atau melalui penekanan undang-undang. Ini kerana bahasa rasmi ini perlu melakukan pemupukan nilai-nilai kesedaran terhadap amanah dan tanggungjawab, khsususnya dalam pengertian sebagai seorang rakyat Malaysia.

“Ketiga, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa ilmu dalam pendidikan ini wajar memebri keyakinan kepada masyarakat secara menyeluruh tentang upayanya membina pemikiran, emosi dan kerohanian dalam semua bidang sama ada ilmu yang kita ikuti daripada sumber luar mahupun ilmu yang tercetus asli melalui kepakaran bangsa kita sendiri. Bahasa Malaysia bukan lagi berdiri atas keperluan semasa tetapi harus melihat ke hadapan dan mampu mentafsir masa depan dalam konteks keilmuan.

“Keempat, bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa perpaduan semestinya mempunyai nilai kesamaan dalam mewujudkan rasa kepunyaan terhadap bahasa itu, dan negara ini. Bahkan dalam dasar kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia ini, bahasa Malaysia sudah berada dalam landasan yang cukup kukuh dan arah yang betul.”

Katanya, bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu dalam pendidikan perlu menyerap dalam segenap pemikiran, kejiwaan dan kerohanian setiap rakyat tentang peri pentingnya membina peradaban melalui bahasa sendiri.

“Dalam soal ini, bukan bermakna kita perlu melakukan penolakan terhadap bahasa lain, tetapi keperluan terhadap bahasa Malaysia itu wajar timbul dalam nilai kepercayaan dalam setiap diri rakyat, dan bukan kerana terdesak oleh lkehendak undang-undang semata-mata,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 17 FEBRUARI 2011

Cadangan mengangkat harkat pengarang Sarawak

1.Sayembara mengarang fiksyen, terutama novel harus terus diadakan kerana ia merupakan kaedah yang cepat dan berkesan untuk mendapatkan hasil karya yang berkualiti tinggi.
2.Karya-karya yang telah memenangi hadiah harus diberikan penilaian secara serius, umpamanya melalui seminar yang khusus, atau melalui kajian-kajian pada peringkat sarjana atau Ph.D. Penciptaan karya sastera yang baik tanpa penilaian yang serius dan mendalam, tidak akan dapat mengangkat harkat karya tersebut.
3.Penulis-penulis yang telah memperlihatkan bakat yang baik melalui sayembara, wajar diberikan bimbingan dan penataran yang berterusan agar dapat dipertingkatkan kualiti penulisannya.
4.Hasil sayembara dalam apa-apa juga genre harus diterbitkan dalam bentuk buku dengan maklumat dan teknik penerbitan yang prestij. Usaha ini bukan sekadar pendokumentasian yang baik, malah dapat menyebarluaskannya kepada khalayak di seluruh negara.

Kata Haji hamzah Hamdani, hasil cipta sastera daripada pelbagai sayembara mengarang fiksyen, sama ada di peringkat negeri Sarawak ataupun kebangsaan, telah dapat mengangkat harkat penulis Sarawak.

“Namun ia harus sentiasa dikaji, dinilai dan ditulis sejarahnya secara ilmiah untuk tatapan dan panduan generasi pengarang dan pembaca yang lebih kemudian.

“Tugas ini harus dipikul oleh institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan pusat-pusat pengajian tinggi. Sejarah harus ditulis sebaik yang mungkin berdasarkan kajian dan penilaian yang objektif dan ilmiah,” katanya.

Menghidupkan roh Rosli Dhoby melalui teater

ISTILAH pejuang begitu besar maknanya, dalam Kamus Dewan edisi yang keempat menyatakan pejuang adalah orang yang berjuang untuk mempertahankan tanah airnya daripada dijajah oleh kuasa asing.

Nama-nama pejuang seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela memang bukan asing lagi dalam minda masyarakat Melayu khususnya di Semenanjung Malaysia.

Manakala di Sabah, sebut sahaja nama Mat Salleh, sudah pasti masyarakatnya akan berasa bangga kerana mempunyai seorang pejuang yang hebat dan tiada tandingannya suatu ketika dahulu.

Di Sarawak pula, kita juga mempunyai beberapa orang pejuang yang tidak mungkin kita lupakan iaitu Rosli Dhoby, Syarif Masahur dan Rentap. Jasa Rosli Dhoby begitu besar kepada masyarakat Bumi Kenyalang kerana beliau pernah membakar semangat masyarakat untuk bangkit menentang penjajah.

Dewasa ini, pelbagai hiburan dan kemajuan teknologi maklumat yang makin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya golongan belia. Mereka dilihat lebih gemar melayari laman sosial untuk bersembang seperti menerusi facebook, friendster, twitter, dan sebagainya.

Persoalannya ialah bagaimanakah cara kita boleh menghargai, mengingat dan mendekatkan diri dengan peristiwa-peristiwa bersejarah tanah air. Kita sebenarnya teringin untuk menyaksikan sendiri bagaimana keadaan peritnya pengorbanan yang telah diredahi dan dirasai tokoh-tokoh pejuang tanah air ini.

Sudah pastinya pentas seni seperti bidang teater merupakan platform yang terbaik di mana boleh menyuntik semangat dan merasai kembali roh perjuangan tokoh pahlawan negara kita. Kita tidak mahu golongan muda amnya semakin lena menikmati keamanan dan ketenangan di negara ini sehingga melupakan jasa tokoh-tokoh pejuang negara tercinta.

Atas dasar kesedaran akan pentingnya bahawa jasad Rosli Dhoby yang telah lama meninggal perlu ditiup kembali ke minda masyarakat kita. Maka muncul ilham, salah seorang karyawan Sarawak iaitu Abang Patdeli Abang Muhi menghasilkan sebuah skrip teater untuk dipentaskan.

Skrip teater yang beliau hasilkan bertajuk Rosli Dhoby :Luka Darul Hana (RD:LDH) telah berjaya dipementasan pada 27 dan 28 Disember 2010 bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS). Objektif pementasan ini dibuat adalah supaya roh Rosli Dhoby dapat dihidupkan kembali dan tidak tersirna dari ingatan masyarakat.

Pementasan teater RD:LDH tersebut adalah hasil usaha DBPCS yang telah bekerja keras untuk mencari tenaga produksi yang berpengalaman seperti pengarah teater untuk melatih peran-peran untuk mementaskan sebuah skrip kepada bentuk teater.

Pementasan teater ini sangat menarik kerana sangat dekat dengan naluri para peran iaitu bertemakan semangat juang pemuda Melayu. Siapa sangka, di sebalik ketaatan dan ketundukan masyarakat terhadap kedatang penjajah maka denga beraninya tampil seorang pemuda bernama Rosli Dhoby mengorak langkah maju melawan arus.

Tanpa rasa takut kepada orang Inggeris, Rosli Dhoby bertekad menumpahkan darah Gebenor Inggeris di Sibu pada ketika itu iaitu Sir Duncan Stewart. Beliau hanya bersenjatakan sebilah badik dan berjaya menitiskan keluar hujan merah dari baju Sir Duncan Stewart pada 3 Disember 1949.

Penonton yang pernah menyaksikan pementasan teater ini di Balai Budaya, DBPCS pastinya berasa puas dan terhibur kerana pementasan dibuat dipentaskan dua malam berturut-turut supaya dapat memberi peluang kepada penonton menghayati bagaimana perjuangan Rosli Dhoby dan juga berhibur dengan unsur-unsur komedi yang diselitkan oleh pengarah melalui kepintaran watak-watak pembantu ataupun peran yang telah berjaya mengamatkan suasana perjalanan cerita yang serius.

Keserasian pelakon dengan watak yang dipegang adalah amat penting supaya pelakon mampu menonjolkan suasana yang realiti seperti mana yang dialami pada era perjuangan Rosli Dhoby menentang penjajah.

Atas azam tidak mahu ditindas demi mengangkat maruah bangsa, agama dan negara mendorong Rosli Dhoby menghentikan nafas Sir Duncan Stewart. Rosli Dhoby tidak kisah dikatakan pemberontak, asalkan orang Inggeris sedar bahawa orang Melayu bukanlah bangsa yang senang dipergunakan dan dipijak sesuka hati.

Bidang seni teater sememangnya suatu bidang yang amat mencabar kepada tenaga produksinya. Komitmen dan kerjasama dalam kalangan ahli produksi dan juga para pelakon adalah sangat dituntut.

Selagi sesebuah produksi belum memuaskan pengarah, selagi itulah latihan akan sentiasa dibuat untuk memperbaiki segala kekurangan yang mampu diubah demi untuk menghasilkan sebuah pementasan teater yang baik iaitu untuk mengajar, mendorong, menghiburkan dan mampu memberikan kepuasan kepada para penonton yang hadir.

Misalnya pementasan teater Rosli Dhoby dilihat banyak memberi manfaat kepada golongan muda terutama dari segi nilai patriotismenya. Sebenarnya usia muda adalah peringkat yang terbaik untuk kita menanam semangat mempertahankan negara dari dijajah oleh bangsa asing.

Bagi memperbaiki kualiti persembahan para pelakon dan juga memantapkan lagi kemahiran teknikal ahli produksi yang terlibat dengan pementasan teater RD:LDH terutamanya dari segi elemen-elemen artistiknya. Maka, pihak pengurusan DBPCS telah bersetuju untuk mengadakan satu sesi diskusi tentang pementasan teater RD:LDH yang akan dibuat pada 12 Febuari 2011, iaitu pada hari Sabtu bertempat di Balai Budaya, DBPCS bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Panel-panel yang akan dijemput untuk berdiskusi tentang pementasan teater RD:LDH ini adalah dalam kalangan penggiat teater yang memang berpengalaman luas dalam bidang teater, antaranya ialah Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah (Pensyarah Unimas), Ismail Hamdan (Pegawai Kebudayaan, JKKN Sarawak), Ahmad Badwi Nerawi (Penggiat Teater Bangsawan), Abdillah Untong (Pegawai Kebudayaan, KPSU Sarawak).

Antara persoalan-persoalan yang akan disentuh sepanjang diskusi tersebut ialah mengenai kerelevanan naskah, vokal pelakon, Penataan (bunyi, cahaya, busana, pentas, set dan prop) dan juga aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pementasan teater RD:LDH.

Pada 26 Febuari 2011, pihak DBPCS akan menghantar satu kumpulan teater ke sibu untuk mementaskan skrip yang sama iaitu Rosli Dhoby: Luka Darul Hana. Sehubungan itu, salah satu persiapan yang terbaik sebelum pementasan ini diadakan ialah dengan mengadakan satu sesi diskusi.

Pementasan teater Rosli Dhoby dipersetujui untuk dipentaskan semula pada 26 Febuari 2011 bertempat di Dewan SMB Methodist, Sibu. Pementasan akan bermula pada jam 8.00 malam. Orang ramai dialu-alukan untuk datang menyaksikan pementasan teater ini tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sinopsis pementasan teater RD:LDH adalah mengisahkan hari-hari terakhir Rosli Dhoby ketika beliau berada di dalam penjara-sesungguhnya tidak banyak diketahui tentang keberanian Rosli Dhoby menikam Sir Duncan Stewart, dan apakah yang mendorong beliau untuk membunuh Gabenor Inggeris itu.

Dan juga, tidak banyak yang diketahui tentang konflik yang dialami oleh Rosli Dhoby ketika di penjara pada saat terakhir kehidupan beliau. Apakah fundelmental dan signifikan perjuangan Rosli Dhoby? Kaum manakah yang dominan dalam perjuangan menentang penjajahan yang licik dan serakah itu? Siapakah kekasih Rosli Dhoby? Apakah yang dialami oleh Rosli Dhoby ketika di dalam penjara? Semua jawapan kepada persoalan tersebut terjawab di dalam pementasan teater Rosli Dhoby: Luka Darul Hana.

Antara barisan pelakon yang akan melakonkan naskah drama Rosli Dhoby:Luka Darul Hana di atas pentas nanti ialah Hasrul Mohamad sebagai Rosli Dhoby, Syazwani Abdul Hamid sebagai Hani, Kahar Jini sebagai Haji Zaidi, Zakaria Hasan sebagai Tuan Dawson, Ferrazzillah Haji Mohd sebagai Duncan Stewart dan Siti Hasrina Mohd Shamsuddin sebagai Puan Duncan.

Peran-Peran lain yang berperanan sebagai watak pembantu ialah Sabri Bujang, Mohd. Ghazali Jeman, Mohd. Khaider Khaldin, Malek Hassan, Hartini Adurahaman, Wezan Saili, Iswandy Suhaili, Ernie Doris Usin Abdullah, Kamarulizam Hassan, Norfazrie Isquandy Nurul Zailani Moshidi, Zulkefli Md. Jasin dan Marlia Afeeza binti. Razali.

Melalui teater kita dapat mengapresiasikan sendiri bagaimana keadaan sebenar yang dialami oleh pejuang-pejuang ini pada saat-saat perjuangan mereka. Kita mengharapkan supaya negara Malaysia terus aman dan masyarakat kita akan terus berpegang kuat dengan amalan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri kita iaitu YAB. Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Andai kata, suatu hari nanti Bumi Kenyalang digegarkan semula oleh sesuatu kuasa asing yang cuba merosakan kepimpinan yang sedia ada, kita menyeru seluruh masyarakat Bumi Kenyalang supaya mempunyai roh seperti Rosli Dhoby iaitu mempunyai jiwa yang berani demi mempertahankan ibu pertiwi daripada jatuh ke tangan penjajah.

Sayembara kaedah berkesan cungkil bakat penulis


SAYEMBARA mengarang fiksyen atau cereka merupakan kaedah yang berkesan dalam usaha mencungkil bakat-bakat penulis. Dalam sejarah perkembangan sastera di Malaysia, ramai penulis berbakat yang muncul hasil daripada pelbagai sayembara mengarang.

Haji Hamzah Hamdani berkata, walaupun kadang-kadang ada suara-suara sinis yang menyindir para penulis yang hanya menulis apabila ada sayembara, namun pada hakikatnya ia menjadi kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk melahirkan para penulis yang berbakat.

Menurutnya, para penulis akan terdorong untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti apabila menyertai sesuatu sayembara. Setiap karya akan dinilai olah panel penilai yang diiktiraf kepakaran mereka dalam bidang kesusasteraan.

“Oleh kerana itu, karya-karya yang terpilih sebagai pemenang adalah karya-karya yang telah teruji nilainya berdasarkan ukurtara karya sastera yang berkualiti,” katanya membentangkan Sayembara Pengarangan Fiksyen Dari Aspek Kuantiti dan Kualiti: Pengalaman Menilai Karya Pengarang Sarawak pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu.

Katanya, sayembara mengarang fiksyen harus tetap diadakan demi melahirkan karya-karya berkualiti tinggi.

Kaedah itu jelasnya, bukan hanya mendorong para penulis mencipta karya berkualiti kerana ada tawaran hadiah, malah yang penting memberikan pengiktirafan kepada bakat seseorang penulis, serta mendorong untuk penulis berkembang seterusnya.

Kata Hamzah, dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Sarawak, penubuhan Biro Kesusasteraan Borneo pada 1959 untuk memaju dan mengembangkan bahasa dan kesusasteraan memberikan sumbangan yang penting.

Peraduan Menulis Cerpen Panjang yang diadakan pada 1967 telah menghasilkan novelet berjudul Menunggu Esok (1970) karya Salbiah Painah (kini Datuk). Novelet ini karya penting di Sarawak setelah novel Melayi Sarawak (1932) karya Muhammad Rakawi Yusuf.

“Walaupun memperlihatkan bakat kreatif yang agak menyerlah dalam penulisan fiksyen, namun Salbiah Painah lebih menumpukan kepada penghasilan drama radio yang mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar,” katanya.

Apabila DBP menubuhkan pejabat cawangannya di Sarawak pada 1977, antara usaha utamanya ialah menggalakkan pertumbuhan bakat sastera melalui kegiatan Peraduan Menulis Sastera Kreatif sejak 1978, meliputi genre cerita kanak-kanak, cerpen, puisi dan drama pentas serta radio.

Antologi cerpen yang dihasilkan ialah Menanti Subuh, Suatu Pencarian, Antara Dua Kepercayaan dan Kedamaian yang Hilang. Antologi puisi pula ialah Lagu Kenangan. Drama pentas dan radio termuat dalam antologi-antologi Bumiku Oh Bumiku, Jantungnya Berdegup Lagi dan Tukang Ensera.

Tiga novel yang lahir daripada siri Peraduan Menulis Sastera Kreatif pada dekad 1980-an ialah Gugurnya Langit Hijau Nanga (1986) karya Jong Chian Lai, Kenyalang Terbang Bebas (1987) karya Jamilah Morshidi dan Ranjau Semalam (1986) karya Awang Rosli Awang Jaya.

“Melalui kegiatan peraduan mengarang karya kreatif ini, bakat-bakat penulis dari Sarawak dapat diketengahkan ke peringkat kebangsaan melalui penerbitan buku yang tersebar ke seluruh Malaysia,” tambahnya.

Penulis yang timbul hasil Peraduan Menulis Sastera Kreatif ialah Majuni Palera, Saiee Driss, Dedo Nanas, Bedui Une, Openg Onn, Zaini Ozea, Erham Sahari, Khatem Ariffin, Latifah Haji Shebli, Jeniri Amir, Mohammad Sebli, Shahri Abdul Rahman, Jong Chian Lai, Ahmad Sabu, Awangku Merali Pengiran Mohamed, Ratnawati Jamil, Jais Sahok, Awang Rosli Awang Jaya, Suhai Ragas, Lena Piee, Jamilah Morshidi, Zakeria Embi dan Madian Haji Dahlan.

Daripada senarai itu, tidak ramai penulis yang benar-benar menyerlah dalam usia kepengarangan yang panjang dalam genre fiksyen. Tokoh penulis yang paling menyerlah ialah Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengiran Mohamed dan Jais Sahok. Namun penulis yang paling terkemuka ialah Jong Chian Lai yang menerima S.E.A. Write Awards pada 2006.

Pada dekad 1990-an katanya, sayembara mengarang fiksyen genre novel menghasilkan novel-novel yang menyerlahkan peningkatan bakat penulis Sarawak. Pada 1993, dalam Sayembara Menulis Novel Esso-GAPENA I, Jong Chian Lai berjaya mendapat hadiah kedua (tiada pemenang hadiah pertama) melalui novel Pemberontakan, yang mengangkat kisah pemberontakan pelombong Cina di Bau terhadap pemerintahan James Brooke pada pertengahan abad ke-19. Novel ini terpilih sebagai salah sebuah novel penting abad ke-20.

Hasil Peraduan Menulis Sastera Kreatif 1995/1996, menyerlahkan novel Ngayau Air (2002) karya Hambi Bolhi. Turut mendapat hadiah ialah Nilai Sebuah Pengertian (2001) karya Radzemah Bolhassan, Ngoncong (2002) karya Jais Sahok dan Mesap (2002) karya Jali Haji Kenoi.

Melalui tiga sayembata mengarang anjuran DBP Cawangan Sarawak pada dekad pertama abad ke-21, beberapa novel yang menarik terhasil. Peraduan Menulis Novel Shell-DBP Cawangan Sarawak 2002 menghasilkan novel-novel Suara dari Rimba (2008) karya Jong Chian Lai, Epilog Nusantara (2008) karya Hamli Bolhi dan Bara Yang Menyala (2008) karya Jaya Ramba.

Bersempena sambutan Jubli Delima Sarawak Merdeka dalam Malaysia (2003), melalui Peraduan Menulis Sastera Kreatif Berunsur Sejarah, lahir novel-novel Libau Rentap Rimba (2008) karya Harry Usup, Naluri Hidayah (2007) karya Sarimah Alit, dan Katarsis Perjuangan (2007) karya Mohd Faizal Jamil.

Pada 2004, diadakan Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak, yang menghasilkan dua novel Marga Timur dari St Anthony (2009) karya Jong Chian Lai. Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006, penulis Sarawak yang berjaya mendapat hadiah penghargaan ialah Mohamad Faizal Jamil melalui novel Anak Ruma' Kadang (2007).

Antara orang lama, orang baru


PERIHAL orang lama dan orang baru memang sebenarnya payah untuk dihurai. Ada dua, tiga aliran makna boleh dijaluri. Lama biasanya merujuk kepada panjang masanya membuat sesuatu. Dalam kes pengarang, maka pengarang lama ialah pengarang yang telah wujud, ada dan terlibat dalam jangka masa panjang. Malangnya, lama juga dalam bidang gubahan fesyen membawa implikasi tidak moden lagi – ketinggalan zaman.

Pegawai Penyelidik Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Saiee Driss berkata, kalau merujuk kepada korpus kesusasteraan, lama membawa maksud wujud pada zaman atau sebelum ini atau zaman dahulu, tua atau kuno.

“Bagaimana dalam seni memasak kuih-muih lama merujuk kepada kewujudan berlarutan sambung bersambung seperti kuih lama yang wujud sejak dahulu lagi.

“Oleh kerana karangan dihasilkan oleh pengarang adalah sesuatu hidangan untuk hati dan jiwa, maka supaya lebih senang menyamakannya dengan kuih-muih, maka konsep lama dan baru dalam kepengarangan sama dengan konsep lama dan baru dalam penyediaan kuih-muih, katanya.

Membincangkan makalahnya, Perkembangan Pengarangan Kreatif di Sarawak: Antara Orang Lama dan Orang Baru di Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu, Saiee berkata, “Saya sendiri kurang selesa membincangkan hal lama dan baharu dalam dunia penulisan kerana lama selalunya merujuk kepada sesuatu yang lapuk terutama disebabkan usianya.”

Dalam dunia penulisan jelasnya, usia tidak ada kaitan dengan kepengarangan dan kualiti karya.

“Ada orang menulis ketika usia lanjut (atau setelah menjadi orang lama) dan sebagai mengisi usia emas lalu kegiatan itu menjadi. Ada pula yang masih dalam sekolah menengah sudah ada dua, tiga buku diterbitkan. Sebaliknya ada penulis semakin senja semakin cerah kilau karyanya dan semakin mewah kerana karyanya. Karya mereka semakin moden dan semakin inovatif.

“Obsesi terhadap lama dan baru kurang penting apabila kita melihat kedudukan sastera dalam satu skop yang sempit: siapa lebih hebat, orang lamakah orang bahary? Siapa lebih bijak, orang lamakah, orang baharu?”

Itu tambahnya kerja buang masa dan bukan kebijakan seni dan sastera kerana dalam seni dan sastera tidak ada uku rlama dan baharu. Sebab itu, karya Shahespeares yang sudah ratusan tahun masih dikaji dan dikagumi. Karya Homer yang sudah ribuan tahun masih dianggap bijak.

“Di sebaliknya juga, disebabkan karya seni khususnya sastera itu bukan diukur daru segi lama dan baharu atau muda dan tua. Maka, karya anak-anak muda boleh mengatasi karya orang yang lebih lama dalam bidang berkenaan.

“Malah, pernah seorang guru mengajar sastera dikalahkan oleh muridnya dalam satu peraduan terbuka. Ini membuktikan yang skala lama baharu atau tua muda tidak diguna pakai apabila menilai karya sastera, terutama sastera kreatif.”

Ujarnya, harus diingat kegigihan dan masa dilaburkan oleh seseorang penulis menyiapkan karyanya, juga bukan menjadi penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah karya.

“Saya pernah dengar penulis yang kalah merungut mengatakan dia melaburkan banyak masa dan duit untuk melakukan penyelidikan demi menulis novelnya, tetapi gagal. Kalaulah jumlah masa dan wang ringgit atau tenaga menjadi ukuran, mudahlah berjaya dengan melaburkan sebanyak-banyaknya dalam menghasilkan sesebuah karya sastera kreatif,” katanya.

Istilah pengarang Sarawak dalam konsep 1Malaysia


Kata Saiee Driss, “Satu hal yang harus diambil kira apabila membaca tajuk Istilah pengarang Sarawak dalam konsep 1Malaysia, tajuk ini tidak memberi batas jelas maksud 'sastera kreatif' dan konteks sosiopolitik dan demografi. Dengan itu, sastera kreatif meliputi genre sastera kretaif dalam semua bahasa di Sarawak dengan sastera dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang paling dominan diikuti oleh sastera bahasa Cian dan Iban.”

Menurutnya, memang sastera bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu lebih dekat dengan kumpulan yang hadir kerana hampir kesemuanya menulis dalam bahasa Melayu.

Namun kita tidak sama sekali boleh menolak kewujudan dan kehadiran karya-karya dalam bahasa Inggeris yang terus wujud dan sebahagian penulis yang menulis dalam bahasa Inggeris menyiarkan karya di negara-negara luar. Ada seorang penulis kita yang menulis dalam bahasa Inggeris dan menyiarkannya di Kanada mendapat pengiktirafan dan hadiah peringkat Amerika Utara.”

Terdapat juga persatuan bahasa Inggeris berpusat di utara Sarawak sudah mula menerbitkan buku-buku yang dijual di kedai-kedai buku utama.

Untuk pengetahuan, ahli-ahli persatuan penulis Iban yang anggotanya terdiri kebanyakannya daripada guru-guru dan profesional Iban sejak sedekad lalu berjaya melahirkan novel moden dalam bahasa Iban diterbitkan dalam format cukup canggih dengan teknologi moden.

Saya tidak hairan sedikit masa lagi novel-novel ini akan dipasarkan melalui internet dalam bentuk percetakan hardcopy dan e-book. Ini kerana mereka lebih gigih dan bekerja keras menghadapi tekanan tanpa sokongan dan bantuan kemudahan seperti orang yang menulis dalam bahasa Melayu.”

Juga, ada penulis Iban sekarang menghasilkan novel dalam bahasa Iban dan bahasa kebangsaan. Antaranya ialah Jaya Ramba dan Harry Umbar.

Juga harus diketahui ada banyak persatuan kesenian dan kesusasteraan bahasa Tiong Hua di Sarawak yang menghasilkan karya dan dipasarkan sedikti sahaja di Sarawak, sebaliknya dipasarkan di luar negara.

Dalam satu wawancara dengan Wu An, seorang penyair bahasa Mandarin dari Sarawak yang dianggap penyair dunia oleh khalayak sastera bahasa Mandarin dunia, saya diberitahu bahawa para penulis dalam bahasa Mandarin dari Sarawak banyak menerbitkan buku.

Melalui persatuan mereka, buku-buku itu dijual/dihantar ke universiti-universiti yang menawarkan pengajian bahasa dan budaya Cina di seluruh dunia. Dengan itu, buku-buku mereka menjadi bahan rujukan dan kajian oleh pensyarah dan mahasiswa dari universiti-universiti itu. Dengan itu, para penulis berkenaan sering dijemput untuk memberi ceramah dan kuliah di universiti berkenaan sebagai tetamu.”

Sepanjang diketahuinya, kata Saiee, tidak ada program dan strategi pemasaran demikian dilaksanakan oleh persatuan penulis tempatan, termasuk di dalam negara sendiri. Perihal atau peringatan (bukan amaran) terhadap hakikat itu telah disebutnya dalam makalahnya mengenai rebranding dan repositioning penulis dan sastera kebangsaan di Sarawak.

Saya menerima tafsiran bahawa sastera kreatif di dalam ujudl yang diberikan kepada saya ialah sastera kreatif bahasa Melayu atau bahasa Malaysia atau bahasa kebangsaan Malaysia yang selama ini didomininasikan oleh pengarang Melayu atau mengaku diri Melayu dan ditegaskan akan kemelayuannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mewujudkan Bahagian Penulis Pelbagai Kaum, iaitu satu langkah undur dan bertentangan dengan Gagasan 1Malaysia.

Saya pernah berhujah panjang dengan dua, tiga rakan tentang pengkelasan kepada penulis kebangsaan dan penulis pelbagai kaum yang saya rasa pengwujudan dan pengiktirafan tentang wujudnya penulis pelbagai kaum adalah satu pengisytiharan hanya penulis Melayu yang standart dan yang pelbagai kaum ini inferior.

Ini selari dengan pandangan golongan orientaslis yang meletakkan budaya barat sebagai paksi budaya dan tamadun tinggi dan yang lain itu oriental atau asing dan harus diletakkan di tempatnya sahaja,” jelas Saiee.



Bicara Orang Muda ...ruang karyawan muda luah perasaan

TIGA hari menjelang 2011, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) menganjurkan Bicara Orang Muda atau singkatannya B.O.M yang dilihat salah satu usaha 'mengebom' ataupun mungkin menghentam atau juga cara melepaskan apa-apa yang terbuku di hati terhadap dunia kesusasteraan di Bumi Kenyalang.

Setiap panel (seramai empat orang) termasuk pengerusi B.O.M menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menyurakan rasa tidak puas hati dalam banyak hal.

Yang utama, mereka berusaha menjentik hati pihak-pihak tertentu untuk lebih memberikan tumpuan dan perhatian kepada penulis muda (penulisbaru ataupun sudah berusia tetapi baharu menulis?).

Lebih-lebih lagi kalangan auidens yang hadir bukannya calang-calang orang. Kesemuanya (tanpa perlu menyatakan nama) merupakan orang yang terlibat secara langsung dalam perkembangan dan pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya di Darul Hana ini. Memang apa-apa yang diutarakan sedikit-sebanyak berupaya menjentik hati kalangan audiens.

Keseluruhannya, perkara yang banyak diketengahkan adalah tentang ruang dan peluang yang terbatas bagi kalangan penulis muda untuk berkarya. Antaranya, wujud perbezaan antara penulis Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Dengan kata lain, penulis Sarawak tidak begitu dikenali oleh tanah seberang (Semenanjung). Tidak kurang pula dikatakan penulis muda tidak diberikan peluang untuk membentangkan kertas kerja.

Melihat kenyataan ini, Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malayais (Gapena), Haji Hamzah Hamdani seolah-olah mencabar agar penulis di negeri ini (terutama) Pekasa mengadakan satu seminar di Kuala Lumpur dengan mengetengahkan penulis Sarawak sebagai panel.

“Cari dana dan buat seminar di Kuala Lumpur. Biar penulis Sarawak yang bercakap dan bercerita tentang penulisan di Sarawak. Kita akan dengar. Dengan ini, penulis di sana (Semenanjung) akan mengenali penulis di sni,” katanya.

Walaupun diluahkan semasa mengulas sekali gus menutup B.O.M, namun dengan pengalamannya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, khususnya sebagai Pengarah, maka cabaran ini harus disahut oleh penulis muda Sarawak. Ini ada benarnya kerana jika “...jika kita tidak ketengahkan diri, orang lain tidak akan kenal dengan kita.”

Mengenai B.O.M, Haji Hamzah tertarik apabila melihat orang muda bercakap yang menunjukkan bahawa mereka (penulis muda) sudah banyak peningkatan, dan mereka lebih agresif.

Katanya, “Sudah banyak peluang diberikan kepada penulis muda. Rebut peluang yang ada dan berusaha baiki karya. Ini penting.”

Mengenai adanya pilih kasih dalam pemilihan pemenang Hadiah Sastera Perdana, katanya, perkara itu tidak wujud kerana panel hanya melihar karya itu sendiri dan bukan melihat karya itu dihasilkan oleh orang Sarawak, Sabah atau Semenanjung.

Mengenai rasa tidak puas hati sesetengah pihak tentang kemenangan empat penulis Sarawak dalam Hadiah Sastera Perdana baru-baru ini, Dahiri Saini pula menjelaskan, pada 2002004/5, seramai tiga penulis Sarawak menang hadiah itu, tetapi tidak ada sesiapa yang menyatakan rasa tidak puas hati.

“Isu ini sebenarnya tidak patut timbul,” kata Dahiri sambil menjelaskan bahawa tanpa DBP, orang tidak akan kenal dirinya adalah penulis.

Dalam B.O.M, Dahiri turut menyatakan rasa kecewanya apabila melihat banyak buku yang dihasilkannya masih berlambak dan tidak terjual.

Oleh itu, dia mencadangkan agar Pekasa mewujudkan jawatankuasa khas untuk memasarkan buku penulis.

“Saya melihat Pekasa harus membeli buku yang dihasilkan oleh ahlinya dengan harga semurah mungkin untuk dijual semula. Ketika menulis, kita harus ada strategi pasaran. Ketahui apakah yang dimahukan oleh khalayak?”

Sementara itu, Mohd Ali menjelaskan, seseorang penulis harus mencipta nama dahulu (menang peraduan), baru orang lain mengenali dan seterusnya menghargai apa-apa yang dihasilkan.

“Saya sebelum ini rasa terpinggir juga. Saya terlibat dengan penulisan melalui peraduan Esei Standart Malaysia. Saya menang. Kemudian, saya menambah ilmu pengetahuan dengan mengikuti bengkel pertama saya anjuran Jabatan Kesenian Sarawak pada 2005/2006. Di situ saya jumpa SM Zakir dan Rahimidin Zahari.

“Bagi mengembangkan bakat, saya mengeluarkan wang sendiri pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) di Kuala Lumpur. Sebab itu karya saya banyak tersiar di Kuala Lumpur berbanding di Sarawak.”

Mengenai pemerkasaan bahasa, dengan nada yang tinggi dan kecewa, dia menyatakan bahawa orang yang mengajak memartabatkan bahasa Melayu tidak mencerminkan dia menggunakanm bahasa Melayu.

“Ketika program yang berkaitan bahasa Melayu, Bulan Bahasa dan sebagainya, masih ada yang menggunakan bahasa Inggeris. Jika dia juga menggunakan bahasa Inggeris, bagaimana orang lain nak ikut serta gunakan bahasa Melayu?

“Jika sektor awam tidak menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu, bagaimana nak mengajak sektor swasta guna bahasa Melayu? Bagi saya, sebagai badan bertanggungajawab dalam bahasa Melayu, haramkan penggunaan bahasa Melayud di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini kerana kedudukannya sebagai pejuang bahasa.”

Sementara itu, Rosani Hiplee pula diajukan beberapa persoalan tentang pencarian seseorang penulis – adakah mencari kepuasan, sanjungan atau honorarium?

“Kadang-kadang persoalan mempunyai jawapan sendiri. Jawapan untuk soalan ini terlalu umum. Terserah kepada individu penulis itu sendiri,” katanya.

Mengenai proses penulisan katanya, “Penulisan merupakan proses menulis resah yang membahagiakan. Sebelum menulis, saya berasa resah selagi tidak meluahkan apa-apa yang dirasakan.”

Penulis di negara ini katanya, sukar untuk mendapat tempat khusus berbanding di negara lain. Di sana (negara luar), filem mengambil beberapa puisi sebagai petikan.

“Berdasar pengalaman, kebarangkalian pelajar (anak muda) tidak minat puisi mungkin ada sebab dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, guru cuma mengajar. Guru ini (sastera) bukan dari aliran sastera.”

Menurutnya, untuk berjaya, seseorang penulis harus berpegang kepada satu genre sahaja sebelum mengembangkan bakat ke genre lain.

Jika gagal menghantar karya, seseorang harus hantar ke media lain. “Dahulu, saya cari media untuk menyalurkan karya. Saya menyertai peraduan dan menghantar karya ke Dewan Siswa. Kita mesti berani mencuba. Jangan berhenti berusaha.”

Giliran Mohd Faizal Jamil, dia banyak menyatakan bahawa sebagai kakitangan DBP, dia tetap perlu bersaing dengan penulis sedia ada yang bukan kakitangan badan berkenaan.

“Ini adalah cabaran. Saya tidak ambil kesempatan bekerja di DBP. Sepanjang berkarya, saya buat secara senyap-senyap. Sebenarnya penulis luar lebih beruntung. Karya saya perlu juga melalui tapisan sebelum diterbitkan. Saya jarang diberikan peluang untuk menunjukkan bakat.

“Walaupun demikian, sentiasa ada kakitangan DBP ytang memberikan semangat untuk menulis. Keutamanaan untuk kakitangan DBP adalah tidak benar,” katanya yang mula terlibat dalam sastera apabila diambil bekerja di DBP pada 2000 setelah tamat kontrak sebagai artis rakaman di NAR Record di Kuala Lumpur.

“Mula-mula saya ditempatkan di kedai buku DBP. Di sekeliling adalah buku. Di situ saya membaca beberapa puisi. Di situ timbul minat terhadap sastera. Saya mula menulis walaupun tidak mendapat asuhan DBP menjadi penulis.”

Dalam diam-diam dia menyertai Puisi Hari Kualiti pada 2001 di Kuala Lumpur. Mendapat tempat ketiga. Sejak itu, hampir setiap tahun menang hinggakan ada yang mengatakan dia tidak perlu lagi menyertai peraduan itu.

Faizal dalam B.O.M turut menyatakan rasa kecewa kerana penulis muda jarang diberikan ruang untuk menghasilkan kertas kerja dan seterusnya membentangkannya kepada khalayak.

Setelah kejayaan B.O.M siri pertama, Pekasa akan mengadakan kegiatan serupa pada masa akan datang. Sekali gus, memberikan lebih ruang kepada penulis muda mengetengahkan idea dan meluahkan perasaan yang terbuku demi kebaikan.

Utusan Sarawak, 22 Januari 2011

Bahasa sebagai asas komuniti

KEPELBAGAIAN dalam masyarakat dari segi bahasa bermakna juga kepelbagaian dalam aspek-aspek budaya yang lain. Ini disebabkan setiap bahasa berasaskan sekumpulan orang yang menggunakannya sebagai alat berkomunikasi antara mereka dan alat melahirkan fikiran dan mewujudkan aspek-aspek budaya.

“Kumpulan orang yang seperti inilah yang kita namakan komuniti bahasa. Istilah komuniti bahasa (language community) juga membawa makna komuniti orang yang pada asasnya mempunyai cara hidup dan berbagai-bagai aspek budaya, yang bersifat kebendaan dan bukan kebendaan, yang sama.

“Secara am, kita menyebut komuniti yang berkenaan sebagai suku kaum. Dengan demikian, asas sesuatu kaum adalah bahasanya. Bertitik tolak dari bahasa, setiap suku kaum mempunyai aspek-aspek budaya sendiri,” kata Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar membentangkan Bahasa dan Sastera Sukuan Sebagai Sumbangan Peningkatan Penyatuan Masyarakat Pelbagai Kaum sempena Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 baru-baru ini.

Menurutnya melalui bahasa juga, setiap suku kaum mempunyai cara mengungkapkan pengertian dan tafsirannya mengenai alam sekelilingnya dengan caranya sendiri, kerana bahasanya memungkinkan dia berbuat demikian.

Dengan itu, jelasnya, ahli-ahli sesuatu kaum dapat memberi gambaran tentang alam fizikal, yakni kawasan geografinya, dan juga gambaran tentang tingkah laku manusia dan cara berfikir mereka melalui bahasanya sendiri.

“Dengan begitu banyaknya komuniti bahasa, dan dengan itu suku kaum, yang ada di Malaysia, maka persepsi pertama yang ada pada sesiapa pun, terutama sekali yang belum pernah datang ke Malaysia, ialah perbezaan lahir yang nyata antara suku-suku kaum itu.

“Orang luar sering tertanya bagaimanakah suku-suku kaum ini berhubung dan dengan itu mendekati satu sama lain. Jawapan yang standard ialah kita mempunyai bahasa bersama, iaitu bahasa Melayu, yang dikenal juga sebagai bahasa Malaysia,” katanya.

Bahasa sebagai sumber sejarah budaya komuniti

Menurut Profesor Asmah, jika bahasa dianggap hanya sebagai alat berhubung satu sama lain, yakni alat komunikasi, maka komunikasilah sahaja fungsinya.

“Komunikasi bermakna menyampaikan maklumat dari penutur A kepada penutur atau kumpulan penutur B. Itulah makna komunikasi dan keperluannya kepada manusia. Komunikasi yang seperti itu merupakan hubungan luaran sahaja, seperti halnya kita berkomunikasi dengan komputer apabila kita melayari laman web.”

Katanya, dalam penyatuan masyarakat pelbagai kaum, komunikasi hendaklah lebih daripada setakat permukaan kulit. Komunikasi melalui bahasa hendaklah dapat membawa kepada hormat-menghormati antara suku kaum, dan sikap ini dapat dibina dengan menghormati budaya suku kaum lain yang hidup bersama dalam masyarakat yang besar. Budaya dan tradisi sesuatu suku kaum itu tersimpul dalam bahasanya.

Ujarnya, rekod bertulis yang memberi gambaran tentang sejarah komunikasi bahasa, terutama sekali dari segi alam lingkungan hidup ahli-ahlinya serta juga hidup serta hasil fikiran dan gambaran emosi mereka merupaskan kaedah yang baru dalam sejarah tamdun manusia.

“Apakah berlaku sebelum adanya rekod bertulis itu? Ketiadaan gambaran yang jelas mengenai keadaan komuniti bahasa sebelum adanya rekod bertulis juga berlaku pada komuniti bahasa bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di seluruh dunia.

“Bagaimanakah kita memperolehi pengetahuan tentang keadaan komuniti prasejarah tanpa rekod bertulis? Ada dua cara, iaitu melalui arkeologi dan bahasa. Tetapi arkeologi memberi maklumat yang terhad yang tergambar pada benda-benda konkrit yang merupakan peninggalan lama, seperti bangunan atau bahagian-bahagian bangunan dan artifak-artifak yang diperbuat daripada batu, tembaga dan sebagainya.”

Bahan-bahan itu katanya, tidak dapat menggambarkan aspek-aspek pemikiran, sususan masyarakat dan cara hidup orang yang terlibat lebih daripada apa-apa yang dapat dipandangan dengan mata.

“Dengan itu, kita tidak dapat beralih kepada cara yang kedua, iaitu bahasa. Dalam bahasalah tersimpulnya sejarah sesuatu komuniti itu dari awal hingga akhir. Melalui aspek-aspek dalam bahasalah kita dapat memperolehi sejarah perkembangan sesuatu komuniti itu, gambaran alam dan cara hidup serta perasaan dan emosi orang-orangnya sehingga kepada yang sehalus-halusnya, sistem kepercayaan dan hasil pemikiran yang bersifat falsafah hidup serta peraturan hidup mereka, dan sebagainya.”


Utusan Sarawak, 8 Januari 2011

Keserumpunan bahasa dan orangnya

PROFESOR Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar menjelaskan, lazimnya, apabila orang bercakap tentang keserumpunan bahasa, maksudnya terbatas kepada adanya persamaan antara bahasa yang dapat dilihat secara lahir.

Katanya, “Misalnya, ada persamaan antara bahasa Iban rumah dengan bahasa Melayu rumah, atau nama bahasa Iban panjai dengan bahasa Melayu panjang. Juga cara menghitung orang Iban sama dengan cara menghitung orang Melayu. Jika orang Melayu menghitung dari satu hinga kepada ribu, demikian juga halnya dengan orang Iban.”

Pada masa yang sama jelasnya, terdapat juga perbezaan antara kedua-dua bahasa ini, terutama sekali dalam kosa katanya. Berdasarkan hitungan leksikostatistik (yang dilakukan pada kosa kata asasi atau basic core vocabulary), antara bahasa Iban dengan bahasa Melayu terdapat kira-kira 65 peratus persamaan.

Persamaan ini jauh lebih tinggi daripada bahasa Iban, lebih dekat dengan bahasa Melayu dibandingkan dengan perkaitan antara bahasa Melayu dengan bahasa Jawa, katanya dan menambah, perbandingan yang seperti ini boleh dilakukan ke atas mana-mana bahasa yang berasal dari keluarga atau rumpun yang sama.

“Ciri-ciri persamaan antara bahasa merupakan petunjuk warisan bersama, yakni ada nenek moyang yang sama. Dalam jargon linguistik bahasa-bahasa itu berasal dari bahasa purba (proto-language) yang sama. Perbezaan pula menggambarkan perkembangan yang berlaku pada tiap-tiap bahasa itu mereka berpisah satu sama lain dan dengan demikian bermigrasi meninggalkan kawasan induk.

“Sebenarnya bahasa tidak berpisah dengan sendirinya. Yang berpisah itu adalah penuturnya. Mereka bermigrasi meninggalkan tempat asal dan mencari tempat kediaman yang lebih selesa bagi diri dan keluarga.

“Mereka keluar dari tempat asal secara berpuak-puak dan mendirikan komuniti bahasa yang baru di tempat lain. Perkaitan antar abahasa-bahasa serumpun bermakna bahawa pada suatu masa dahulu kala, bahasa-bahasa ini mempunyai bahasa induk yang sama,” katanya.

Kefahaman antara komuniti

Kata Asmah, “...para penyelidik lingustik berminat mengkaji bahasa-bahasa serumpun dari segi sistem bahasa: fonologi (bunyi), nahu, dan perbendaraan kata. Mereka menghasilkan penulisan yang lengkap (dalam bentuk tesis dan buku). Dari usaha mereka itu, timbullah hasil-hasil lain seperti kamus, buku-buku untuk pengajaran bahasa dalam kelas POL, dan juga lebiuh akademik, iaitu karya-karya perbandingan bahasa, yang juga meliputi rekonstruksi bahasa induk.”

Semuan hasil kajian jelasnya, memang baik dan membantu dalam memperkenalkan bahasa komuniti-komuniti serumpun kepada masyarakat Malaysia pada amnya. Usaha-usaha itu patut diteruskan, dan boleh dianggap sebagai usaha dalam kajian bahasa-bahasa serumpun di Malaysia.

“Kebanyakan ahli lingustik yang mengusahakan kajian yang seperti ini tidak memahami bahasa yang dikaji itu. Kepakaran mereka terletak pada pengetahuan tentang sistem dan struktur bahasa. Dari segi makna bahasa, barangkali mereka memahami perkataan-perkataan secara terpisah, dan luar dari konteks penggunaannya.

“Jika mereka dapat bercakap dalam bahasa yang dikaji, pengetahuan bahasa hanya sekadar menggunakan ayat-ayat mudah dalam pertuturan sahaja. Kefahaman yang lebih mendalam tentang cara berfikir, perasaan dan emosi, dan juga aspek-aspek yang halus dalam budaya komuniti yang dikaji itu tidak ada, disebabkan mereka tidak betul-betul mencuba mendalami bahasa komuniti berkenaan,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 8 Januari 2011

Menilik proses pengukuhan budaya

TERDAPAT tiga mekanisme utama bagaimana pemartabatan bahasa dan sastera dapat meningkatkan keutuhan budaya se-Malaysia. Pertama, menerusi kewujudan citra perpaduan yang dipupuk natijah daripada penggunaan bahasa komunikasi sepunya, iaitu bahasa Melayu. Kedua, menerusi penerapan jati diri hasil daripada penghayatan sejarah dan nilai ketatanegaraan dalam komponen sastera kebangsaan.

Dr. Ramzah Dambul pada Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 baru-baru ini menjelaskan, tatkala kedua-dua aspek tersebut berjaya diolah, maka akan terbitlah mekanisme ketiga iaitu penataran semangat patriotisme susulan daripada percikan kombinasi rasa kekitaan dan kebanggaan pada identiti asli milik mereka.

Menurutnya, konsep negara-bangsa, yang mula terbit dalam wacana siasah antarabangsa pada beberapa dasawarsa terakhir abad ke-20, merupakan satu manifestasi pengukuhan budaya bangsa sesebuah negara.

Konsep ini menggagaskan bahawa kumpulan rakyat sesebuah pemerintahan mempunyai satu bentuk ketaatan yang saling mengikat antara stau sama lain, realtif kepada identiti negara yang dihuni. Ini berbeza dengan zaman sebelum negara-bangsa, yang memperlihatkan kepelbagaian ragam ketaatan rakyat sesbeuah wilayah.

Bukti kepada kejayaan ini dapat dilihat kepada keutuhan tamadun Jepun yang terpupuk dan terpelihara sejak zaman Meiji, kegemilangan kesatuan negara China yang telah merentas pelbagai dinasti, serta keutuhan beberapa contoh kerajaan Barat yang berjaya memacu tamadun fizikalnya dengan efektif, mislanya Great Britain yang memulakan revolusi industri dan resolusi hijau pada penghujung abad ke-19.

Salah satu kunci yang menunjangi pencapaian-pencapaian tersebut ialah kerana wujudnya dasar bahasa dan sastera sepunya di peringkat nasional. Ia sekali gus boleh mencatu pemikiran dan jalur idealisme sekalian warga untuk berpusat kepada satu hala yang sama,” katanya.

Justeru jelasnya, pemartabatan satu skema bahasa dan sastera kebangsaan yang homogen boleh merintis kepada pemgukuhan pelbagai cabang dan dimensi budaya sesebuah negara, yang merangkumi aspek politik, sosioekonomi dan sosiobudaya.

Bagaimanakah pula tiga mekanisme tersebut dapat dioperasikan secara tuntas supaya dapat menatar matlamat budaya yang disasarkan? Ia dapat dilaksanakan menerusi dasar pendidikan dan iltizam politik, kerana kedua-dua aspek ini adalah teras kepada hala tuju sesebuah negara.”

Tambahnya, pendidikan berfungsi untuk melentur dan membentuk generasi muda supaya kelak membesar sebagai warga yang ampuh dengan elemen-elemen budaya seperti gagasan Kroeber dan Kluckhon.

Manakala, iltizam politik daripada penguas apemerintahan (sama da di peringkat persekutuan, negeri, mahupun unit-unit pentadbiran yang lebih kecil) akan mengolah dan memurnikan dasar-dasar penting negara.

Inilah yang bakal mencorakkan kesepaduan arah tuju kurikulum dan modus pendidikan. Dalam hal ini, pendidikan adalah faktor perantara kepada matlamat yang ingin dicapai. Manakala, ilrizam politik adalah prasyarat yang bertindak sebagai faktor pencetus yang memulakan proses dan modus operasi. Kedua-dua faktor haruslah wujud serentak, dan saling mendokong antara stau sama lain.”

Bahasa dan sastera kebangsaan dalam konteks Memartabatkan Bahasa dan Sastera Kebangsaan dalam Upaya Mempertingkat Ketahanan Budaya se-Malaysia merujuk kepada bahasa Melayu sebagai paksi.

Bahasa ini telah lama tumbuh dalam diri warga Malaysia dan subur berfungsi sebagai alat pemikiran rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini merujuk kepada elemen kedua dan ketiga bagi definisi budaya (Kroeber dan Kluckhon, 1952).

Tiga landasan lazim yang boleh mengungkap pengertian budaya oleh Kroeber dan Kluckhon ialah pertama, cita rasa yang anggun terhadap bidang kesenian halus dan kemanusiaan (juga dikenali sebagai budaya tinggi).

Kedua, satu bentuk integrasi di antara ilmu, kepercayaan dan tingkah laku yang terhasil daripada kapasiti pemikiran simbolik serta pembelajaran sosial.

Ketiga, satu aset perkongsian bersabit dengan sikap, nilai, matlamat dan amalan yang dipegang bersama oleh sesebuah institusi, organisasi atau kumpulan.

Berdasarkan rumusan dua sarjana ini, konteks budaya secara amnya merangkumi cita rasa estetik dan kemanusiaan, ilmu dan pemikiran, serta norma dan etika kehidupan. Maksudnya, budaya adalah satu dimensi yang lengkap untuk menggambarkan ketamadunan sesebuah komuniti dan negara.

Keraguan yang berbangkit – bolehkah elemen bahasa dan sastera menjadi tunjang pengangkat bagi satu aspek segadang budaya? Atau, dalam konteks spesifik, mampukah bahasa dan sastera kebangsaan mempertingkat budaya se-Malaysia?,” ujarnya.

Utusan Sarawak, 1 Januari 2011